PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

NATIJAH RAMADHAN: JALAN MENUJU TAQWA



Marilah kita menjadikan ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini benar-benar mencapai matlamat taqwa yang dituntut oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagaimana Firman-Nya di dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa”.

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang agung. Padanya Allah mewajibkan kita berpuasa di siang hari. Pada bulan ini juga Allah Subhanahu Wata’ala telah membuka seluas-luasnya pintu pengampunan, khususnya kepada hamba-hamba-Nya yang mengharapkan keampunan daripada-Nya. Ini dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith;

Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu dari Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sabdanya: Sesiapa yang mengerjakan puasa Bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Ta’ala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, marilah kita bersama bertaubat dan merafa’ sembah memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata’ala atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Betapa hinanya kita, sanggup menderhakai Allah Subhanahu Wata’ala sedangkan dalam masa yang sama kita masih hidup, makan dan minum rezeki milik Allah Subhanahu Wata’ala. Agungnya Ramadhan juga kerana Al-Quran mula diturunkan pada bulan ini. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 :

(Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”.

Ramadhan menjadi cukup istimewa kerana Allah Subhanahu Wata’ala menjadikan di dalamnya malam Al-Qadr yang mempunyai ganjaran yang amat besar. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman di dalam surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam al-qadr; dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-qadr itu?. Malam al-qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar”.

Islam sebagai agama yang progresif sentiasa mengajak umatnya supaya meningkatkan usaha pembaikan dalam setiap masa dan waktu dalam kehidupan. Usaha perubahan merupakan suatu yang wajib dilakukan oleh setiap individu muslim demi mencapai kemajuan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

Oleh itu, Ramadhan merupakan bulan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita untuk melaksanakan usaha-usaha perubahan, tajdid dan Islah pada diri, keluarga, masyarakat dan negara dari sudut rohani dan jasmani. Ini boleh dicapai dengan kita memperbanyakkan amalan zikir, selawat, bersolat dan memelihara anggota tubuh zahir dan batin daripada melakukan perkara-perkara lagha (sia-sia) dan maksiat.

Ramadhan juga merupakan bulan jihad. Di dalam bulan ini kita diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala supaya berjihad melawan musuh yang berada di dalam diri manusia iaitu hawa nafsu. Sesungguhnya seorang insan yang istiqamah melaksanakan kebaikan sebenarnya mereka telah memanfaatkan senjata ketaatan untuk memerangi hawa nafsu agar sentiasa terdidik untuk setia patuh kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

Orang yang mujahid itu ialah orang yang berjihad melawan nafsu dan menundukkannya supaya patuh kepada Allah Subhanahu Wata’ala”.
(Riwayat At-Tarmizi)

Sekiranya nafsu dapat dididik, maka akan lahirlah manusia yang cemerlang akhlak dan budi pekertinya. Sesungguhnya Ramadhan adalah medan terbaik untuk membentuk jiwa dan mendidik nafsu demi mencapai darjat hamba Allah yang bertaqwa.

Ramadhan merupakan bulan tarbiyyah diri dan kehidupan. Ia merupakan bulan untuk seorang muslim itu melatih dirinya agar sentiasa setia, taat dan patuh kepada segala suruhan dan perintah Allah Subhanahu Wata’ala. Melalui sikap ini, akan melahirkan individu muslim yang memiliki akhlak, sikap dan syakhsiah yang mulia sesuai dengan tuntutan Ilahi yang menjadikan kita sebagai makhluk ciptaan yang terbaik.

Sepanjang sebulan Ramadhan kita dididik dan ditarbiyyah supaya bersifat sabar, sentiasa melakukan kebaikan, menjaga lidah dan perbuatan dan mendidik hati dan nafsu. Oleh sebab itu, sepanjang bulan Ramadhan ini, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyuruh kita memperbanyakkan amal kebaikan dan menjauhi kemungkaran sebagai tarbiyyah diri dan jiwa kita demi mencapai darjat taqwa yang merupakan kunci kejayaan insan di dunia hingga akhirat.

Bulan Ramadhan juga berperanan untuk membangunkan jiwa. Amal-amal ibadah yang dihidangkan sepanjang bulan Ramadhan merupakan makanan yang mengenyangkan jiwa dan hati kita. Selama 11 bulan kita mengenyangkan perut kita dengan makanan yang lazat, maka Ramadhan datang bukan untuk mengenyangkan jasad kita sebaliknya ia datang untuk menyuburkan jiwa kita.

Apabila jiwa kita kenyang dengan amal-amal ma’ruf, maka ia akan hidup segar memberi sinar hidayah dan kekuatan rohani manusia. Manusia yang hidup dengan jiwa yang hidup dan hati yang suci bersih akan melahirkan manusia yang berakhlak mulia dan memiliki syakhsiah serta budi pekerti yang luhur. Segala tindakan, pemikiran dan ucapan kita yang keluar dari jiwa yang suci bersih akan memberi manfaat kepada makhluk di sekeliling kita dan membangunkan juga jiwa mereka untuk menyebar-luaskan kebaikan ke seluruh alam.

Melalui ibadah puasa yang dilakukan dengan kesungguhan dihiasi pula dengan amal-amal ibadah yang lain seperti menyantuni golongan fakir, miskin dan anak-anak yatim, menunaikan zakat, bersedekah, memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, bertarawih, berqiamullail dan lain-lain, sebenarnya ia merupakan ubat yang paling mujarab untuk membersihkan jiwa kita daripada kuman-kuman mazmumah di samping mendorong kita kepada kehidupan yang bahagia dan diredhai Allah Subhanahu Wata’ala. Rasulullah Sallallahu ‘Alai Wasallam telah bersabda seperti diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin ‘Auf Radhiallahu ‘Anhu, maksudnya:

Sesungguhnya Allah telah memfardhukan puasa Ramadhan dan aku sunatkan bagi kamu menghidupkan malamnya, maka sesiapa yang berpuasa dan melakukan ibadah qiam (ibadah malam) disertai dengan keimanan dan kerana menuntut keredhaan Allah, nescaya kelak dia bersih dari dosa-dosanya seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya”.
(Riwayat Ibn Majah)

Bulan Ramadhan adalah bulan kebajikan. Ia merupakan hadiah Allah Subhanahu Wata’ala kepada seluruh makhluknya. Beruntunglah kepada sesiapa yang berusaha merebut seberapa banyak hadiah Allah yang disediakan sepanjang bulan Ramadhan. Allah Subhanahu Wata’ala menjanjikan hadiah kasih sayang, keampunan dan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Inilah merupakan kebajikan yang cukup agung yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada makhluk-makhluk-Nya.

Tunaikanlah kewajipan berzakat dan perbanyakkanlah bersedekah di dalam bulan ini, kerana bagi setiap kebajikan yang dilakukan, Allah menjanjikan gandaan pahala yang tidak terkira banyaknya. Dari Salman Radhiallahu ‘Anhu katanya, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah berucap kepada kami pada hari yang akhir dari Bulan Sya’aban sabdanya yang bermaksud;

Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam Bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara kebajikan, samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain.  Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu, samalahseperti ia menunaikan tujuh puluh perkara yang diwajibkan pada bulan-bulanyang lain”.
(Riwayat Ibn Khuzaimah)

Dalam sebuah hadith qudsi, Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam meriwayatkan dari Allah Subhanahu Wata’ala Firman-Nya:

"Semua amal anak Adam digandakan pahalanya dari sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Maka puasa itu hanya untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Dia meninggalkan keinginan syahwat, makan dan minum kerana-Ku”.
(Riwayat Muslim)

Maka beruntunglah kepada sesiapa yang merebut peluang yang Allah sediakan ini dengan memperbanyakkan amal ibadah dan rugilah orang yang mensia-siakan peluang ini dengan kekal melakukan kemaksiatan dan kemungkaran. 

Buat akhirnya, marilah kita merenung kepada diri kita. Adakah Ramadhan yang telah dilalui benar-benar membawa kesan yang baik kepada diri kita. Sekiranya kita merasakan bahawa Ramadhan yang lalu banyak kekurangan yang berlaku, pastikan Ramadhan kali ini benar-benar membawa perubahan yang besar dalam kehidupan kita. Ini termasuklah melaksanakan Solat Tarawih 20 rakaat sepertimana ia dilaksanakan di Masjidil-Haram, Mekah dan Masjidin-Nabawi, Madinah serta bertadarus Al-Quran.

Bersyukurlah kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas izin-Nya jua, kita dapat menikmati bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Marilah kita membuktikan tanda syukur kita dengan bermujahadah melaksanakan usaha yang terbaik demi mencapai wawasan yang dinyatakan di dalam Al-Quran iaitu sebagai hamba Allah yang bertaqwa, Insya-Allah.

"Wahai insan yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklahEngkau di dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia; dan masuklahke dalam syurga-Ku". (Al-Fajr: 27 – 30)


Sumber : JAIS

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...