PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

ZAKAT FITRAH: PENYUCIAN JIWA DAN HARTA


Sempena dengan kedatangan Bulan Ramadhan yang sekian lama dirindui, marilah jadikan bulan yang penuh keberkatan ini untuk kita merebut pangkat ketaqwaan yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata’ala dengan kita sentiasa berusaha melaksanakan tuntutan aqidah dan keimanan iaitu mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya ketaqwaan itu merupakan anak kunci syurga. Taqwa jualah neraca utama penilaian Allah Subhanahu Wata’ala terhadap hamba-hamba-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

"Wahai manusia!, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-kaum, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya."

Allah Subhanahu Wata’ala memuliakan Bulan Ramadhan dengan menjanjikan pelbagai ganjaran pahala, hikmah dan kelebihan untuk para hambaNya yang ingin mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Padanya mengandungi rahmat, keampunan dan pembebasan dari bencana azab api neraka yang tidak terperi sakitnya. Padanya juga diperintahkan untuk memperbanyakkan amal ibadah sebagai memenuhi tuntutan syariah terhadap Bulan Ramadhan. Agungnya Bulan Ramadhan ialah kerana padanya Allah Subhanahu Wata’ala mensyariatkan ibadah puasa dan Zakat Fitrah.

Zakat Fitrah juga adalah lambang dan bukti seorang hamba yang mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada mereka dengan diberikan sebahagiannya kepada saudara seIslam yang menderita dan kesusahan. Zakat Fitrah juga diwajibkan kepada seluruh umat Islam bertujuan untuk menyucikan dan memperkayakan jiwa, membersihkan harta serta menutup kekurangan yang berlaku sepanjang berpuasa di bulan Ramadhan.

Sesungguhnya seorang hamba yang mensyukuri nikmat pemberian-Nya merupakan hamba yang benar-benar dicintai oleh Allah Subhanahu Wata’ala bahkan mereka akan dikurniakan rahmat, keberkatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam surah Ibrahim, ayat 7:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Sesungguhnya tiada ganjaran yang lebih besar dari Allah Subhanahu Wata’ala melainkan apabila seseorang itu dapat memenuhi hajat saudaranya yang lain di waktu amat memerlukan. Bayangkan, pada waktu kita berasa seronok dan gembira untuk menyambut ‘Idilfitri, anak-anak kita mendapat baju dan kasut baru, isteri kita seronok dengan kuih-muih beraneka jenis dan rumah kita dihias indah, namun ada di kalangan insan yang sedih dan berduka kerana tidak mampu memberikan makan dan minum yang cukup untuk anak-anak mereka. Apatah lagi untuk membeli walau sehelai pakaian dan kasut baru untuk menyambut Idilfitri. Siapakah yang sanggup untuk menggembirakan hati-hati mereka?. Sebenarnya, hak milik mereka yang fakir dan miskin ini berada di tangan kita semua.

Marilah kita melunaskan kewajipan zakat demi memastikan kegembiraan ‘Idilfitri dapat dikongsi bersama. Allah Subhanahu Wata’ala menjanjikan keuntungan di akhirat kepada orang yang memenuhi keperluan saudaranya yang lain seperti yang dinyatakan di dalam Surah Al-Hasyr, ayat 9 :

Dan mereka mengutamakan orang-orang (yang berhijrah itu) lebih daripada diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orangorang yang berjaya”.

Justeru, janganlah berasa rugi untuk berzakat. Tiada kejayaan yang hakiki melainkan ia adalah atas anugerah dan pemberian daripada Allah Subhanahu Wata’ala yang hanya dikurniakan kepada kalangan hamba-hamba-Nya yang setia dan patuh kepada suruhan-Nya. Allah Subhanahu Wata’ala menjanjikan pahala, ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan terhadap hamba-hambaNya yang ikhlas melaksanakan kewajipan zakat. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Ar-Rum, ayat 39:

"Dan sesuatu pemberian zakat yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda".

Beruntunglah orang yang berusaha gigih mensucikan jiwa dan hartanya dengan berzakat. Marilah kita merebut hadiah Allah ini dengan cara kita memastikan harta-harta yang kita miliki telah ditunaikan zakat sebagai bukti pengabdian kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sesungguhnya seseorang yang enggan menunaikan Zakat Fitrah dengan sengaja, maka mereka sebenarnya berdosa besar. Bahkan mereka masih tetap dituntut menunaikannya walaupun mereka terpaksa menunaikannya di penghujung hayatnya. Ini kerana mereka telah dianggap berhutang dengan Allah dan sesungguhnya hutang terhadap Allah adalah lebih utama untuk diselesaikan. Dikhuatiri orang yang meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan zakat fitrahnya maka Allah Subhanahu Wata’ala akan memberikan azab yang keras kepada mereka.

Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘Anhu berkata, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

Diwajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum hari raya maka ia menjadi zakat fitrah yang maqbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain”.

Menurut pandangan sebahagian ulama’ apabila menghuraikan hadith tersebut bahawa, seseorang yang melengah-lengahkan bayaran zakat fitrah sehingga luput waktunya yang ditentukan, bukan sahaja berdosa, bahkan wajib ia membayarnya sesudah itu. Selagi zakat fitrah itu belum ditunaikan, maka zakat itu tetap menjadi hutang yang ditanggungnya, sehingga ia membayarnya walaupun pada akhir hayatnya. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu benar-benar terlupa, maka mereka tidak berdosa, tetapi tetap juga wajib menqadha’kan zakatnya itu. Ini berdasar kepada pandangan ijma’ ulama’ antaranya ialah Syeikh Dr. WahbatuzZuhaili di dalam kitabnya bertajuk: Al-Fiqhul-Islami wa Adillatuhu, jilid ke 2, muka surat 908 menyatakan bahawa:

kewajiban zakat fitrah dan harta itu tidak gugur dari orang yang lupa membayarnya dan dia tetap wajib mengqadha’ zakat fitrah dan zakat harta itu”.

Oleh yang demikian, seseorang yang bersungguh-sungguh menjaga ibadah puasanya pada siang hari dan memenuhi malamnya dengan amal ibadah tetapi mereka lalai untuk melaksanakan kewajipan zakat fitrah hingga luput waktunya, maka dikhuatiri segala amal ibadahnya itu tidak diterima di sisi Allah Subhanahu Wata’ala sehinggalah kewajipan zakat fitrah diselesaikan. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

Puasa pada Bulan Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi, tidak diangkat ke langit kecuali apabila ditunaikan zakat fitrah”.
(Riwayat Abu Hafs Ibn Syahin).

Selain daripada itu, Allah Subhanahu Wata’ala memberi peringatan yang cukup keras kepada hamba-hamba-Nya yang enggan menunaikan zakat. Banyak ayat Allah Subhanahu Wata’ala yang menyatakan tentang ancaman tersebut. Di antaranya, Allah berfirman di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 180:

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan harta yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan”.

Justeru, marilah kita bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata’ala atas segala kesalahan, kesilapan dan dosa yang telah kita lakukan. Tiada jalan yang mudah untuk selamat daripada kesengsaraan di Padang Mahsyar dan seksaan yang amat pedih di dalam Neraka Jahannam melainkan kita menjadi hamba Allah Subhanahu Wata’ala yang soleh dan bertaqwa. Pastikan zakat fitrah yang tertangguh wajib diselesaikan segera sebelum ajal maut datang menjemput kita pada bila-bila masa.

Selain itu, pastikan juga hasil pendapatan dan gaji yang diperolehi, emas dan perak yang dipakai atau disimpan, wang simpanan di bank, KWSP, saham-saham yang halal, perniagaan, pertanian dan penternakan telah dibersihkan dengan ditunaikan zakatnya. Sesungguhnya melalui zakat yang ditunaikan, segala harta yang kita miliki akan menjadi penyelamat diri kita daripada azab api neraka yang tidak terperi sakitnya.

Bersempena dengan keberadaan kita di bulan Ramadhah Al-Mubarak ini, marilah kita bersama-sama berusaha mengukuhkan iman dan mendidik hati kita menjadi seorang hamba Allah yang menegakkan ketuhanan Allah Subhanahu Wata’ala. Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga Ramadhan yang sedang kita lalui pada tahun ini memberi natijah kemenangan yang besar dalam diri dan seluruh kehidupan kita di dunia dan di akhirat seterusnya menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa, Insya-Allah. Semoga kita beroleh kerahmatan, kebahagiaan dan kecemerlangan yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya rabbal ‘Alamin. (At-Taubah: 71)

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.


Sumber : JAIS

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...