PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

GENERASI AL-QURAN GENERASI RABBANI


Sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan hadirnya peristiwa besar Nuzul Al-Quran pada bulan ini marilah kita menggandakan amal ibadah dengan menjadikan Al-Quran sebagai panduan, sebagai rujukan dan sebagai pembentuk jiwa agar kita begitu hampir dan bertaqwa kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan mendapat kebaikan di dunia mahupun di akhirat.


Al-Quran diturunkan bertujuan untuk memimpin dan menunjuki manusia ke jalan yang benar dan diredhai oleh Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 9:

"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat benar (agama Islam), dan menyampaikan berita gembira yang menggembirakan bagi orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".

Rasulullah SAW telah berjaya mentarbiyyah dan membina para sahabat sebagai Generasi Al-Quran, yang benar-benar faham tentang al-Quran sehingga sanggup berkorban kerana Allah.

Ada di antara mereka sanggup mengorbankan jiwa dan raga lantas gugur syahid sebagai syuhada'. Sebahagiannya pula, setiap inci tubuh badan mereka dipenuhi dengan luka-luka kesan libasan pedang, sebahagiannya sanggup menyerahkan harta benda mereka untuk Allah. Ada yang kehilangan ahli keluarga tersayang. Namun mereka tidak pernah merasa rugi dengan kehilangan semua itu, malah mereka sanggup berjuang dan berjihad semata-mata mempertahankan aqidah dan membela agama Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 23:

"Antara orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah; maka antara mereka ada yang telah selesai menunaikan janjinya (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran serta mereka pula tidak berubah sedikit pun (apa yang mereka janjikan)".

Inilah generasi Al-Quran yang berjaya dilahirkan oleh Rasulullah SAW daripada kalangan sahabat sehinggalah Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia dan berjaya dianuti oleh sebahagian besar umat di dunia ini.

As-Syahid Syed Qutub telah menulis dalam kitabnya maa'lim fit-tariq, bahawa para sahabat baginda adalah generasi Al-Quran terbaik yang pernah lahir di tengah umat manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 110:

"Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)".

Syed Qutub mempersoalkan kenapa generasi terbaik Islam tidak muncul pada hari ini?, sedangkan Al-Quran dan hadis masih berada di tangan umat Islam dan ianya tetap terpelihara seperti zaman sebelumnya?.

Beliau memberikan jawapan bahawa generasi Al-Quran hanya akan dapat dilahirkan kembali apabila umat Islam memiliki dan melaksanakan tiga langkah seperti yang dilakukan oleh Nabi dan di kalangan generasi sahabat terdahulu. Langkah-langkah tersebut ialah:

Pertama : Umat Islam perlu mencintai Al-Quran dan menjadikannya sebagai satu-satunya sumber rujukan dalam kehidupan. Ini bermakna, Al-Quran harus ditanam dalam hati dan fikiran, serta menjadi roh dalam setiap nafas kehidupan.

Kedua : Umat Islam hendaklah memiliki ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap perintah-perintah Allah dalam Al-Quran. Al-Quran mestilah dipelajari tidak hanya untuk menjadi bahan kajian dan diperdengarkan bacaan semata-mata, tetapi benar-benar untuk dilaksanakan. Syed Qutub menjelaskan, Al-Quran perlu disatukan dalam jiwa raga umat Islam dan digunakan dalam kehidupan mereka. Al-Quran tidak sepatutnya hanya tersimpan dalam karya-karya ilmiah semata-mata, tetapi ia mesti difahami dan diamalkan.

Ketiga : Syed Qutub turut menegaskan bahawa umat Islam hendaklah meninggalkan jahiliah moden termasuk cara hidup serta pemikirannya.

Marilah sama-sama kita mencorak dan membina generasi hari ini supaya menjadi generasi Rabbani yang dapat melaksanakan seluruh tuntutan Al-Quran dalam kehidupan. Usaha tersebut dapat dicapai dengan melaksanakan langkah-langkah berikut :

Pertama : Menjadikan Al-Quran sebagai hidayah atau petunjuk.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 2:

"Kitab Al-Quran ini sebenarnya tidak ada sebarang keraguan (sebagai sesuatu yang datangnya daripada Allah S.W.T dan sempurnanya); kemudiannya ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang mahu bertaqwa".

Kedua : Hendaklah berpegang kepada agama Islam sahaja sebagai agama yang hak dan benar serta diredhai oleh Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 3:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama kamu".

Ketiga : Mentauhidkan Allah dengan aqidah yang sahih.

Firman Allah dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1-4:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Dia tidak beranak dan Dia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun Yang sebanding dengan-Nya".

Keempat : Menjadikan Al-Quran sebagai neraca dalam menentukan antara kebenaran dan kebatilan.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 42:

"Dan janganlah kamu mencampur-adukkan Yang benar itu Dengan Yang salah, dan kamu sembunyikan Yang benar itu pula pada hal kamu semua mengetahuinya".

Kelima : Mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT.

Firmannya dalam Surah An-Nisa' ayat 36:

"Dan beribadahlah kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya Dengan sesuatu pun ".

Keenam : Menjadikan Islam sebagai paksi perpaduan sesama ummah dengan menjadikan Al-Quran sebagai rujukan utama.

Allah berfirman dalam Surah An-Nisa' ayat 59:

"Wahai orang Yang beriman, Taatilah Allah dan Taatilah Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang Yang berkuasa) daripada kalangan kamu. kemudian jika kamu berselisih pandapat Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih baik pula akibatnya".

Ketujuh : Membina sakhsiah dan akhlak ummah berlandaskan Al-Quran sebagaimana dijelaskan oleh Aishah mengenai peribadi Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud:

"Adalah keseluruhan akhlaknya ialah Al-Quran". (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Kelapan : Menegakkan hukum dan syariat Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 105:

"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau mengadili di antara manusia dengan apa yang telah diwahyukan oleh Allah kepadamu; janganlah Engkau menjadi pembela bagi orang yang khianat".

Ayuhlah, saya menyeru diri saya, keluarga dan tuan-tuan hadirin sekalian kembalilah kita mengagungkan Al-Quran, jadikanlah ia rujukan dan tegakkanlah hukum-hakamnya untuk kesejahteraan kita di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan dengan itu dapatlah kita melahirkan generasi rabbani serta akan mendapat kesejahteraan kita di dunia dan di akhirat.

"Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu daripada jalan Allah, itulah yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahana kamu bertaqwa".

(Al-An'am :153)

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...