PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

SAMA-SAMA BERMUJAHADAH MEMERANGI DADAH


Krisis dan kemelut sosial Negara berada pada tahap yang amat membimbangkan. Antara masalah yang dihadapi adalah penyalahgunaan dadah, penagihan, pengedaran dan penyeludupannya mengepalai senarai gejala-gejala negatif tersebut seolah-olah sudah hilang jalan penyelesaiannya. Kita semua sedar bahawa dadah tersenarai sebagai musuh nombor satu negara yang telah mengorbankan banyak jiwa, tenaga dan harta negara.


Walau apapun halangan, kita tidak boleh berputus asa dalam usaha menentang serangan musuh ini. Sebagai umat Islam, kesedaran dan tanggungjawab menentang habis-habisan musuh Negara itu hendaklah sentiasa ada dalam diri kita. Kita hendaklah bermujahadah menentang musuh Islam yang menggunakan dadah sebagai salah satu strategi dan taktik kotor mereka untuk melemahkan umat Islam dan sekaligus memusnahkan Islam.

Dadah ialah apa-apa jua bahan kimia, sama ada asli atau tiruan, apabila dimasuk dan diresapkan ke dalam tubuh badan dengan apa cara sekalipun, disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi jasmani, rohani dan tingkah laku. Penggunaan dadah yang berterusan akan membawa padah kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa, Negara dan agama.

Kesan seseorang yang melibatkan diri dalam penyalahgunaan najis dadah sama ada penagihan, pengedaran atau penyeludupan akan sanggup melakukan apa sahaja seperti mencuri, menyamun, membunuh, memperhambakan diri, menggadai maruah dan sanggup dipenjara malah dibunuh sekalipun.

Sebarang penyalahgunaan, termasuk penyalahgunaan dadah hukumnya di sisi syarak adalah haram dan dengan itu adalah ditegah sama sekali menggunakannya. Dadah hanya boleh digunakan untuk tujuan perubatan yang sah mengikut syarak.

Pengambilan atau penyalahgunaan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang diqiaskan kepada arak. Dadah termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan dan yang menghilangkan akal. Arak dan dadah menatijahkan kesan yang sama iaitu memabukkan atau kerana terdapat keburukan-keburukan terhadap individu dan masyarakat yang mengambilnya. Atas alasan inilah hukumnya haram.

Sabda Rasulullah s.a.w.;

"Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram".  (Riwayat Muslim)


Tiga sebab utama pengharaman dadah iaitu;

Pertama: Dadah bukan sahaja membawa kepada mabuk, tetapi juga membawa kepada hilangnya akal, dari itu ia adalah haram di sisi Islam.

Kedua  : Dadah membawa kebinasaan harta benda kerana ianya membawa pengangguran.

Ketiga : Dadah membawa kepada kebinasaan jiwa kerana ianya menyebabkan penagih mati lebih awal.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 29:

"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela-merelai di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesame sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu".

Pengharaman dadah bukan sahaja kepada sesiapa memakannya, malahan kepada sesiapa yang memperniagakannya, membuat, mengedar, menyimpan dan sebagainya. Islam sangat realistik dan tujuan syarak yang lima itu ialah menjaga akal, harta, nyawa, agama dan keturunan. Justeru itu pengharaman dadah berlaku kerana;

Pertama  :  Dadah boleh menghancurkan rumahtangga. Sekiranya individu yang terlibat dengan dadah itu adalah ketua keluarga, nescaya keadaan akan menjadi lebih parah, nafkah dan didikan keluarga terabai. Ada suami yang memaksa isteri melacurkan diri malah ada ayah yang memaksa anaknya memberikan wang kepadanya untuk membeli dadah.


Kedua     :  Dadah boleh mencetuskan perbuatan jenayah. Jenayah sememangnya ada kaitan langsung dengan penyalahgunaan dadah dalam semua bentuknya, hilang punca kewarasan diri dan akhirnya mendorong kepada mencuri, merampas, memeras ugut, merompak dan membunuh.

Ketiga     :  Dadah merosakkan diri sendiri. Penagih yang sudah sebati dengan ketagihan dadah amat sukar dipulihkan semula. Mereka hilang daya ketahanan diri, kotor, busuk, jijik dan yang paling bahaya ialah boleh menjadi hilang ingatan, gila dan akhirnya mati kerana najis dadah.


Keempat  :  Dadah boleh membawa penyakit. Penagih mudah terdedah kepada penyakit maut yang sangat ditakuti terutamanya HIV atau AIDS menerusi perkongsian jarum suntikan dan boleh pula memindahkan penyakit itu kepada orang lain yang tidak bersalah.


Kelima  :  Dadah mendorong manusia untuk membunuh diri. Islam mengharamkan membunuh diri dengan apa jua cara dan sebab sekalipun. Pengambilan dadah boleh membawa kepada kematian.


Klinik C & C  telah disediakan oleh kerajaan yang berkonsepkan PUSPEN Terbuka, di mana mereka yang terlibat dengan gejala dadah boleh mendapatkan rawatan pemulihan secara percuma dan kemasukan secara sukarela tanpa melalui proses perundangan atau tangkapan. Pihak keluarga atau majikan juga boleh merujuk ahli keluarga dan pekerja mereka yang terlibat dengan dadah untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di Klinik C & C 1Malaysia. Klinik ini merupakan kaedah di dunia yang dilaksanakan bagi membantu penagih menghindarkan gejala buruk menagih dadah.

Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra'd ayat 11;

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".


Kesedaran terhadap kesan buruk dan bahaya penyalahgunaan dadah telah sampai ke tahap yang menyeluruh dalam anggota masyrakat. Namun rasa kebersamaan dalam menunaikan tanggungjawab memerangi musuh Negara dan agama ini masih belum menjiwai hati dan nurani rakyat Negara ini. Umat Islam harus tersentak dengan statistik yang membabitkan orang Melayu Islam yang menjuarai gejala penyalahgunan dadah. Sekadar tersentak sahaja masih belum cukup, mereka perlu merasa terpanggil dan terus menampilkan diri, sama-sama berjuang, sama-sama bermujahadah untuk membanteras dadah, demi untuk menyelamatkan bangsa dan ummah daripada kemusnahan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6;

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Tugas pembinaan generasi muda yang berkualiti, bebas daripada sebarang gejala negatif yang menghancurkan, adalah tanggungjawab kita semua. Kita inginkan generasi yang sihat jasmanai dan rohani, mampu menghadapi cabaran hari depan, mampu bersaing di peringkat tempatan dan global.

Kita perlu merasa bimbang dan khuatir untuk meninggalkan generasi yang lemah, generasi yang tewas kepada serangan dadah, generasi yang dibelit oleh berbagai masalah dan gejala sosial yang sangat memuakkan. Kita perlu merasa pilu, silu dan malu, jika kita tinggalkan generasi dalam keadaan begitu. Marilah menjadi tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat membanteras bahaya dadah agar jaminan generasi hari ini dan akan datang selamat daripada najis dadah.

Marilah kita bermuhasabah, menilai diri dan keluarga supaya kekal istiqamah dengan Islam. Marilah kita pastikan keluarga dan masyarakat sentiasa mengamalkan Islam serta menghindarkan diri daripada ancaman dadah.

Tingkatkan kerjasama supaya wujud sikap tegur-menegur demi kebaikan masyarakat. Dadah boleh melibatkan anak kita, saudara kita, keluarga kita, cucu kita, jiran dan orang yang kita sayangi. Janganlah ada sikap mementingkan diri sendiri. Kasihkan anak-anak jiran tetangga dan berdoa supaya bahana dadah tidak menjadi bala kepada masyarakat.

"Hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang dhaif itu (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka, oleh itu hendaklah mereka bertqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar (menepati syarak)"

( An-Nisa': 9)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...