PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

WAKAF DAN PERANANNYA DALAM MENJANA EKONOMI UMMAH


Wakaf adalah salah satu ibadah yang unik dan istimewa kerana ianya dapat menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi ummah. Ini kerana, pewakaf akan mendapat ganjaran pahala yang berkekalan daripada Allah SWT selagi mana harta yang diwakafkan itu dimanfaatkan. Ibnu Umar r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai harta wakaf yang bermaksud:

"Wahai Rasulullah, aku telah menerima sebidang tanah di Khaibar. Aku tidak pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang perlu aku lakukan dengannya?" Sabda Baginda : "Sekiranya mahu, engkau wakaflah ia dan sedekahkan hasilnya." Ibnu Umar r.a berkata lagi lalu Umar sedekahkan tanah ini sambil berkata : "Tanah ini sama sekali tidak akan dijual atau dihadiahkan atau diwariskan. Hasilnya akan disedekahkan kepada fakir miskin, kaum keluarga, hamba-hamba, orang berada di jalan Allah, Ibnu Sabil dan para tetamu. Tidak salah bagi penjaga tanah tersebut memakan hasilnya atau pun memberi makan orang lain tanpa menyimpan harta".

Seorang muslim yang sanggup untuk menyumbangkan hartanya ke jalan Allah SWT pastinya akan mendapat ganjaran dan pujian di sisi Allah SWT. Dalam ertikata yang lain seseorang yang sanggup untuk mewakafkan harta yang dicintainya ke jalan Allah, pastinya akan meletakkan dirinya pada darjat yang mulia di sisi Penciptanya.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 92;

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan (mendermakan) sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesuatu apa jua yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".


Maka dengan itu, harta wakaf yang kekal zatnya dapat dikembangkan untuk menjana kekuatan ekonomi umat Islam dan dapat dimanafaatkan hasilnya kepada semua lapisan masyarakat walaupun sumbangan yang diberikan adalah sedikit sahaja. Inilah antara hikmah, keunikan dan keberkatan yang wujud di dalam amalan wakaf.

Orang yang mewakafkan hartanya dengan niat yang ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah SWT, pastinya Allah SWT akan menggandakan ganjara pahala kepadanya disamping menggantikan harta pewakaf tanpa sedikitpun dikurangkan.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 261;

"Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui".

Sejarah dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa ibadah wakaf memainkan peranan penting di dalam mengukuhkan ekonomi umat Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Perkara ini terus dibudayakan dikalangan para sahabat, tabien, tabi' tabien dan umat yang seterusnya. Kitab "Al-Fiqh Al-Manhaji" dalam Bab Wakaf, telah menukilkan kata-kata Imam As-Syafie r.a :

"Aku mendapat tahu bahawa lapan puluh orang sahabat di kalangan Ansar telah melakukan sedekah muhramat (Wakaf) ".

Ibnu Batutah, seorang pelayar Islam semasa melawat Damsyik telah mencatatkan bahawa, terdapat pelbagai bentuk wakaf telah dilaksanakan. Antaranya ialah wakaf untuk meningkatkan lagi kemudahan awam seperti jalanraya dan kaki-kaki lima bagi kemudahan orang ramai. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa wakaf amat memberikan manfaat kepada masyarakat dalam sesebuah negara.

Sebagai seorang yang beriman kita perlu yakin bahawa harta yang kita wakafkan ke jalan Allah SWT pasti akan digantikan oleh Allah SWT, sebagaimana dalam surah Saba' ayat 39 :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki".

Ingatlah sidang jumaat sekalian, apabila seseorang itu meninggal dunia, maka hartanya, warisnya dan amalannya akan mengiringinya ke kubur, semuanya akan pulang melainkan amalannya yang dilakukan di dunia ini. Dan amalan inilah yang akan diperhitungkan oleh Allah SWT di alam kubur kelak. Rasulullah s.a.w juga telah berpesan kepada kita bahawasanya amalan kita akan terputus apabila roh kita berpisah daripada jasad melainkan tiga perkara sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;

"Apabila mati seorang anak adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara : Sedekah jariah, ilmu yang memberi manafaat dan anak yang soleh yang mendoakan baginya".

(Riwayat At-Tirmidzi)

Harta yang telah diwakafkan adalah milik Allah SWT. Oleh kerana itu, pewakaf dan waris-warisnya tidak berhak lagi untuk menuntut dan mempertikaikan harta yang telah diwakafkan itu. Sebagai pewakaf, kita hendaklah yakin dan percaya bahawa pentadbir bertanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan harta wakaf tersebut mengikut niat pewakaf itu.

Marilah kita berlapang dada untuk menghidupkan dan membudayakan semula amalan berwakaf di kalangan masyarakat. Berusaha menjelaskan kepada masyarakat bahawa wakaf boleh dilakukan dengan bayaran wang tunai atau potongan gaji melalui Saham Wakaf Selangor yang diwujudkan oleh MAIS dan diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Selangor. Kaedah ini bagi memudahkan orang ramai berwakaf tanpa mengira pangkat dan darjat. Semua orang mampu untuk berwakaf dengan kadar minimum sebanyak RM10.00 tanpa ada had maksimum. Pewakaf juga boleh memanfaatkan resit wakaf yang dikeluarkan oleh pihak Perbadanan Wakaf Selangor untuk mendapatkan pelepasan cukai pendapatan.

Disarankan agar ibadah wakaf dapat di suburkan kembali dan dibudayakan dalam masyarakat. Ini kerana wakaf mampu memartabatkan ekonomi umat Islam sebagaimana yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat suatu ketika dahulu. Sekiranya di negara-negara timur tengah seperti Mesir, Oman dan Kuwait telah mewujudkan satu badan khas bertaraf kementerian yang bertanggungjawab kepada pembangunan harta wakaf maka tidak mustahil kita juga mampu untuk melaksanakannya pada suatu hari nanti.

Rebutlah peluang keemasan ini untuk kita membuktikan kecintaan kita kepada Allah SWT dengan berwakaf mengikut kemampuan masing-masing bagi pembangunan umat Islam sekaligus memartabatkan imej Islam di muka bumi Allah SWT ini. Insya Allah, dengan adanya keikhlasan, berfikiran positif dan semangat bantu-membantu dikalangan kita, ianya mampu menjana kekuatan dan kesejahteraan umat Islam sekaligus meletakkan kedudukan agama Islam di ditempat tertinggi di dalam segala bidang.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah (membela dan menegakkan agama Allah) dengan harta dan diri kamu. Yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikatnya yang sebenar)".

(As-Shaff : 10-11)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...