Samada kita sedar ataupun tidak, kita telah melewati dua pertiga Ramadhan. Hari-hari yang bakal kita tempuhi adalah hari-hari terakhir yang penuh dengan pelbagai tawaran yang amat menakjubkan daripada Allah SWT.
Dalam mengoptimumkan amalan kita di hari-hari terakhir Ramadhan ini, Rasulullah s.a.w telah memberikan garis panduan yang jelas untuk kita teladani.
Hadis daripada ummul mukminin bahawa Saidatina ‘Aisyah r.a. berkata:
"Adalah Rasulullah s.a.w. apabila menjelang 10 hari (yang akhir daripada bulan Ramadan), maka Baginda menghidupkan malam-malam Ramadan, dan Baginda mengejutkan ahli keluarganya bangun beribadah kepada Allah, dan Baginda lebih tekun beribadat, dan mengetatkan kain (tidak mendekati isteri-isteri Baginda di dalam lingkungan masa tersebut)". (Riwayat Muslim)
"Adalah Rasulullah s.a.w. lebih giat beribadat pada sepuluh terakhir (bulan Ramadhan) melebihi hari-hari lainnya". (Riwayat Muslim)
Kedua-dua hadith ini menjelaskan pendirian serta amalan Rasululah s.a.w. menjelang sepuluh terakhir bulan Ramadan. Pendirian Rasulullah s.a.w. adalah mesti menggandakan aktiviti ibadat kepada Allah SWT; mesti lebih banyak berbanding dengan sebelumnya. Ini kerana hari-hari terkahir ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
Manakala daripada segi amalan pula, Baginda s.a.w. melipatgandakan aktiviti ibadah; mendirikan malam (qiamullail), mengejutkan ahli keluarganya supaya sama-sama mengambil bahagian beribadat kepada Allah SWT, menghidupkan malam dengan solat-solat sunat, memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran, memohon keampunan kepada Allah SWT, beriktikaf di masjid dan berderma ke jalan Allah SWT.
Sebagai menyahut seruan dan saranan Rasulullah s.a.w di dalam menghidupkan sepuluh terakhir Ramadhan, langkah dan aktiviti ibadah berikut perlulah kita lakukan:
Pertama : Mempertingkatkan niat dan azam untuk menghidupkan sepuluh terakhir Ramadhan. Dengan azam yang kukuh, InsyaAllah kita mampu menghidupkan Ramadhan dengan penuh bersemangat dan beristiqamah.
Kedua : Membuat perancangan yang teliti segala aktiviti ibadat yang ingin dilakukan. Ini penting supaya aktiviti ibadat yang dirancang tidak akan tergendala separuh jalan sahaja. Sekiranya kita mampu merancang untuk perkara-perkara lain dalam kehidupan kita seharian, maka aktiviti Ramadhanpun mestilah mampu kita rancangkan. Perancangan ini melibatkan perlaksanaan ibadat secara menyeluruh pada siang hari dan juga malamnya.
Realiti hidup bekerja mencari rezeki terkadang menjadikan kita lupa erti ibadat yang sebenar. Untuk menghidupkan sunnah Nabi ini, maka perlulah kita melaksanakan konsep ibadat dalam bekerja. Kita perlulah bekerja sambil berzikir, mencari rezeki sambil mendengar al-Quran, menjalankan tugas dengan mengambil peluang yang diizinkan untuk mengerjakan solat sunat Dhuha, mencari rezeki sambil berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT dan begitu jugalah segala aktiviti yang lain.
Perancangan ibadat di waktu malam juga perlulah dilakukan dengan teliti. Perancangan ini berkaitrapat dengan cara pemakanan seseorang. Berbukalah sekadar mengalas perut dan bukannya seperti mereka yang tidak menjamah makanan beberapa hari. Berbuka puasa secara sihat dapat mempertingkatkan stamina untuk beribadat di malam hari.
Ketiga : Lakukan aktiviti ibadat waktu malam secara teratur dan mengikut keselesaan masing-masing, antaranya;
1. Mendirikan solat sunat terawih secara berjamaah di masjid ataupun surau serta dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan menghayati maknanya.
2. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT tanpa mengenal erti penat dan jemu.
3. Mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan zikir memohon keampunan daripada-Nya. InsyaAllah! Allah SWT tidak pernah jemu mendengar permintaan hamba-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 186:
"Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran".
Antara doa Rasulullah s.a.w. menjelang sepuluh terakhir Ramadhan adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud iaitu:
"Wahai Tuhanku sesungguhnya Kamu amat pemaaf, Kamu amat suka memaafkan , maka maafkanlah daku".
Selain daripada solat sunat tarawih digalakkan juga melakukan solat sunat tasbih, tahajjud, hajat, taubat, witir, beriktikaf dalam masjid dan juga memperbanyakkan sedekah.
Contohilah Rasulullah s.a.w. di mana Baginda merupakan orang yang paling banyak bersedekah terutamanya di bulan Ramadhan. Sifat pemurah Nabi ini diceritakan oleh Abdullah bin Abbas sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Disamping itu, Rasulullah juga, berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukan ibadat di malam hari untuk mendapatkan lailatul qadar.
Dalam konteks kehidupan pada hari ini, kita bersyukur kerana ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini telah bertungkus lumus menyediakan pelbagai program untuk menghidupkan suasana di bulan Ramadhan. Ini menunjukkan sikap prihatin mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan agama. Bahkan untuk memastikan setiap ahli qariah mendapat peluang beribadat kepada Allah SWT dengan lebih baik dan sempurna.
Maka, pada hari ini tidak timbul lagi persoalan bagi seseorang itu untuk berkata bahawa "saya tidak mampu menghidupkan Ramadhan", atau "saya tidak mempunyai panduan untuk menghidupkan Ramadhan", atau "bagaimana cara yang sewajarnya?" atau "saya tidak bermotivasi untuk menghidupkan Ramadhan" dan pelbagai persoalan lagi.
Sudah tiba masanya umat Islam hari ini berhenti bertanya "apa"? Atau "kenapa"? Atau memberi pelbagai alasan. Umat Islam perlu berfikiran positif dan mesti berkata: "Aku boleh melakukannya dan sama-sama mengambil bahagian". Sikap inilah yang perlu ada pada jiwa umat lslam hari ini tanpa mengira jantina, umur, pangkat dan kedudukan. Marilah kita memperkuatkan tekad dan azam untuk sama-sama menyertai sahabat-sahabat kita yang lain untuk menghidupkan hari-hari terakhir Ramadhan pada kali ini. Namun, sekiranya kita tidak mampu untuk bersama-sama sahabat kita di rumah Allah, maka kejutkanlah ahli keluarga supaya dapat sama-sama menghidupkan Ramadhan bersama seisi keluarga di rumah masing-masing.
Di kesempatan ini, marilah kita berusaha menghayati dan menghidupkan Ramadhan bersama-sama dengan pihak masjid lebih-lebih lagi untuk malam terakhir Ramadhan. Kita tidak pasti adakah kita masih mampu untuk meneruskan ibadat Ramadhan pada keesokan hari? Adakah kita masih lagi diberi nikmat untuk melihat dunia ini keesokan hari. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini.
Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18-19:
"Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat Menyeluruh Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu jadi seperti orang yang telah melupakan Allah (tidak mentaati perintah-Nya), lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka sendiri (untuk melakukan ketaatan dan kebajikan). Mereka itulah orang yang fasiq".
Oleh itu lakukanlah perancangan yang teliti dalam menempuh hari-hari Ramadhan. Jangan biarkan hari-hari terakhir Ramadhan berlalu begitu sahaja menjadikan kita lalai dan lupa kepada Allah SWT.
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa. Sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu dia berbuka maka wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain (di luar bulan Ramadhan). Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan (dengan ketetapan yang demikian) dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran; dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur". (Al-Baqarah: 185)
No comments:
Post a Comment