PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

TARBIYYAH ALLAH KEPADA RASUL-NYA : PENGAJARAN BAGI MANUSIA

Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulNya ke alam ini adalah daripada kalangan hamba-Nya yang terpilih.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya, maka menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan yang terpilih, kemudian menjadikan mereka dua golongan, dan menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan itu. Kemudian menjadikan mereka bersuku-suku, dan menjadikan aku yang terbaik dalam suku itu. Kemudian menjadikan mereka dalam keluarga-keluarga, dan Allah menjadikan keluargaku yang terbaik di dalam semua keluarga mereka, dan yang terbaik dalam keturunan". (Riwayat At-Tirmidzi)

Pengutusan Rasulullah S.A.W juga telah membawa kesan yang sangat besar pada penduduk dunia dan seluruhnya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107:

"Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Ini bermula dengan wahyu pertama yang diberikan kepada Baginda s.a.w yang berupa tarbiyyah dan didikan bermulanya sesuatu itu dengan pembacaan, pemahaman dan pembelajaran.

Firman Allah SWT dalam surah Al-‘Alaq ayat 1;

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)".

Ayat tersebut mengajar kita bahawa pembudayaan ilmu bermula dengan asas iqra' sebagaimana Allah SWT menghantarkan Malaikat Jibril untuk mentarbiyyah dan mengajar Muhammad S.A.W membaca. Kemudian dengan itu Nabi mempelajari serta memahami tauhid dan aqidah. Selanjutnya mengenali erti kehidupan di dunia mesti berlandaskan padanya dan berlandaskan syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT sehinggalah kesejahteraan di akhirat itu dapat diraih.

Inilah hasil tarbiyyah yang diberikan kepada para sahabat Rasulullah S.A.W sehingga mereka mampu mengubah landskap dunia daripada kesesatan jahiliyyah kepada kebenaran Islam.

Jaminan keberlangsungan dan penghormatan dunia kepada Islam adalah juga tertakluk kepada sejauh mana umat Islam unggul dalam bidang ilmu pengetahuan dan mampu berdaya saing di persada dunia yang penuh mencabar. Tanpa ilmu dan pengetahuan umat Islam akan ketinggalan dan mundur.

Allah SWT juga mentarbiyyah Rasulullah S.A.W untuk mengamalkan ilmu yang telah dipelajarinya supaya dilaksanakan dalam bentuk amalan biasa atau ibadah. Ini dapat dilihat Rasulullah SAW ditarbiyyah oleh Allah supaya bangun malam, beribadah dan membaca al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Muzammil ayat 1-5;

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah di waktu malam (untuk bersolat tahajjud), kecuali sedikit masa (yang diperuntukkan untuk berehat), iaitu separuh daripada waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada waktu itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan ‘tartil' (perlahan-lahan), sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah-perintah yang berat)".

Ibadah yang kita lakukan hendaklah benar-benar khusyuk sehingga dapat kita merasakan kelazatan hubungan kita dengan Allah SWT dan merasakan kepuasan dari ibadah yang kita kerjakan itu. Bahkan kita hendaklah merasa tamak dalam beribadah yakni tidak cukup dengan apa yang telah kita lakukan. Kita akan sentiasa berusaha untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan ibadah-ibadah sunat seperti melakukan qiamullail dan sebagainya. Sesungguhnya qiamullail adalah merupakan perkara yang paling kuat yang dapat memelihara dan mengukuhkan iman kita.

Firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 6;

"Sebenarnya beribadah malam itu lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tepat bacaannya".

Ibadah itu bukan hanya sekadar si hamba itu melahirkan tanda syukur kepada Allah SWT malah yang lebih penting ialah sejauh mana ibadah itu dapat membawa si hamba itu menghampirkan diri dengan lebih dekat kepada Allah SWT. Sesungguhnya Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini hendaklah berjalan di dalam rangka ibadah dan taat hanya kepada Allah SWT. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT dalam surah Az-zariat ayat 56;

"(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku".

Oleh itu, untuk menjadikan ibadah kita keseluruhannya di dalam rangka mengabdikan diri kepada Allah maka perlulah kita berhubung terus dengan Allah SWT dalam apa jua perkara yang hendak kita lakukan. Kita sentiasa menghubungkan hati kita dengan Allah SWT sehingga dapat kita merasakan apa yang disebut sebagai ihsan yakni kita melakukan ibadah kepada Allah seolah-plah kita melihat-Nya, meskipun kita tidak melihat-Nya maka kita yakin bahawa Allah melihat apa yang kita lakukan.

Kita juga hendaklah sering membaca dan mengamati al-Quran terutamanya di waktu fajar kerana bacaan di waktu itu adalah sangat afdhal. Fahamilah isi kandungannya agar jiwa kita merasa peka dan terkesan hasil berdamping dengan al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah Shaad ayat 29;

"(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang penuh keberkatan untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar".

Di samping itu juga, kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT di dalam apa jua urusan dan perkara baik yang hendak kita kerjakan kerana doa adalah intipati bagi segala ibadah. Allah SWT berfirman dalam surah Ghafir ayat 60;

Tuhan kamu berfirman : "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu...".

Kewajipan seterusnya yang merupakan tanggungjawab Rasul menyampaikan risalah tauhid di atas muka bumi ini telah dilaksanakan sepenuhnya oleh Baginda SAW. Arahan Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya agar bangun serta memberikan peringatan atau amaran kepada kaumnya, memberikan pengajaran dan isyarat kepada golongan ilmuan Islam dan umat Islam seluruhnya supaya tugas menyeru umat kepada Islam serta memberikan peringatan itu adalah merupakan tugas yang wajib dilakukan khususnya dewasa ini apabila umat semakin jauh meninggalkan Islam. Firman-Nya dalam surah al-Muddasthir ayat 1-5;

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia) dan kepada Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan (pada) pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan, dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi".

Inilah perjalanan tarbiyyah yang dilakukan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya dan telah memberikan isyarat dan pengajaran kepada kita bahawa setelah proses mendalami ilmu pengetahuan, pengukuhan diri dengan amal ibadah kepada Allah SWT kemudian tugas berdakwah dan memberikan peringatan adalah merupakan tugas yang mesti dilaksanakan.

Hebatnya Rasulullah SAW di persada dakwah dan jihad adalah hasil dedikasi Baginda dengan berpaut, bertawakkal dan bertaqarrub dengan Allah SWT.

Kesimpulannya, pengajaran yang kita boleh diambil ialah;

Pertama : Memperkukuhkan diri dengan ilmu pengetahuan adalah asas kepada kejayaan seorang mukmin.

Kedua : Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan beramal ibadah sehingga peringkat ‘ihsan'.

Ketiga : Tadabbur bacaan al-Quran dan menghayati isi kandungan, memahami serta melaksanakan segala hukum-hakamnya.

Keempat : Bertawakkal kepada Allah setelah berusaha dan berdoa adalah merupakan senjata bagi kejayaan seorang mukmin.

Kelima : Kewajipan berdakwah dan menyeru umat kepada Islam adalah tanggungjawab utama ke atas umat Islam.

"Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang Rasul dengan perintah : "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut (syaitan dan apa sahaja yang disembah selain Allah)". Maka antara mereka ada yang diberi hidayah oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan umat-umat yang mendustakan (rasul-rasul mereka)". (Al-Nahl: 36)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...