Terdapat tiga ayat di dalam al-Qur’an yang saling berulang, yang dapat kita gunakan untuk mengetahui betapa besar kedudukan ibubapa dan betapa penting tuntutan untuk berbuat baik kepada mereka. Ayat-ayat tersebut adalah:
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.... [al-Nisa’ 4:36][1]
Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa....” [al-An’aam 6:151]
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. [al-Isra’ 17:23]
Jika kita mengkaji ketiga-tiga ayat di atas, akan ditemui bahawa ia memiliki tiga kesamaan:
Pertama:
Ayat-ayat di atas kesemuanya menghubungkan perintah berbuat baik kepada ibubapa dengan perintah mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dalam susunan kata yang lain, setelah diperintahkan kepada kita untuk mentauhidkan-Nya, yakni dengan mengesakan-Nya dan beribadah kepada-Nya sahaja, Allah memerintahkan kita untuk berbuat baik kepada kedua ibubapa. Ini menjadi ukuran pertama tentang betapa besar kedudukan ibubapa dan betapa penting tuntutan untuk berbuat baik kepada mereka. Seandainya kedudukan dan tuntutan ini adalah “biasa-biasa” sahaja, nescaya Allah tidak akan meletakkannya di tangga kedua selepas perintah mentauhidkan-Nya.
Perlu difahami bahawa mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak semata-mata dengan berkata “Tidak ada tuhan melainkan Allah”. Apa yang tersemat di hati dan terukir di lisan perlu dibuktikan kemantapan dan kemurniannya dengan perbuatan, yakni amal ibadah. Seterusnya amal ibadah itu terbahagi kepada dua jenis:
Ibadah yang bersifat “menegak (vertical)”, iaitu yang melibatkan hubungan antara kita dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini adalah ibadah-ibadah yang masa, tempat dan caranya telah ditentukan secara terperinci oleh Allah dan Rasul-Nya. Wudhu’, solat, puasa, haji dan zikir termasuk dalam kategori ini.
Ibadah yang bersifat “mendatar (horizontal)”, iaitu yang melibatkan hubungan antara kita dengan sesama makhluk. Ini adalah ibadah-ibadah yang telah ditentukan secara umum manakala perincian pengamalannya diserahkan kepada manusia, selari dengan suasana masing-masing. Berbuat baik kepada ibubapa, jiran, sesama manusia, haiwan dan alam sekitar termasuk dalam kategori ini. Pada waktu yang sama tidak berjumpa dengan bomoh, tidak berdoa kepada sesama makhluk dan tidak mempercayai kekuasaan tertentu pada kejadian tertentu juga termasuk dalam kategori ini.
Berbuat baik kepada ibubapa termasuk salah satu bentuk pembuktian akan kemantapan dan kemurnian tauhid kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tidak sempurna tauhid seseorang yang hanya bersolat dan berpuasa akan tetapi dia tidak mengendahkan hal ehwal ibubapanya. Demikian juga, tidak sempurna tauhid seseorang jika dia hanya memerhatikan ibubapanya sehingga melalaikan kewajipan solat, puasa dan sebagainya. Ketauhidan seseorang hanya akan mencapai tahap kesempurnaan jika dia memerhatikan dengan adil ibadah yang bersifat menegak dan mendatar.
Demi kefahaman yang lebih baik, marilah kita ikuti penjelasan Muhammad Quraish Syihab:
Ibadah, sebagaimana dikemukakan ketika mentafsir (surah) al-Fatihah, bukan hanya sekadar ketaatan dan ketundukan tetapi adalah suatu bentuk ketundukan dan ketaatan yang mencapai puncaknya kerana ada rasa keagungan dalam jiwa seseorang terhadap siapa yang kepadanya dia mengabdi, serta sebagai dampak (hasil) dari keyakinan bahawa pengabdian itu tertuju kepada yang memiliki kekuasaan yang erti hakikatnya tidak terjangkau. Begitu lebih kurang tulis Syekh Muhammad Abduh.
Perintah beribadah dalam ayat ini (al-Nisa 4:36) bukan saja ibadah ritual atau yang dikenali dengan Ibadah Mahdhah, yakni ibadah yang cara, kadar dan waktunya ditetapkan oleh Allah atau Rasul seperti shalat, zakat, puasa dan haji, tetapi mencakup segala macam aktivitas yang hendaknya dilakukan demi kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ibadah yang dimaksudkan adalah perwujudan dari perintah-Nya:
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [al-An’aam 6:162].
Sementara ulama memahami perintah ibadah dalam ayat ini dalam arti “tauhid praktis”, dimana amal-amal kebajikan merupakan buah dari keyakinan kalbu atas keesaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.[2]
Sebelum beralih ke penjelasan seterusnya, ingin diterangkan bahawa menghubungkan perintah berbuat baik kepada ibubapa dengan perintah mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala juga berlaku kepada umat-umat sebelumnya. Di antaranya ialah Bani Israil dimana Allah berfirman:
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa.” [al-Baqarah 2:83]
Demikian juga Luqman[3], apabila beliau menasihati anaknya, berbuat baik kepada ibubapa diletakkannya di tangga kedua selepas tauhid:
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya.” [Luqman 31:13-14]
Kedua:
Dalam rangka memerintahkan berbuat baik kepada ibubapa, Allah Subhanahu wa Ta'ala menggunakan perkataan Ihsan (إحسانا) yang bererti berbuat kebaikan yang sebaik-baiknya, melebihi kebiasaan. Penjelasan Muhammad Quraish Syihab sekali lagi menjadi tumpuan:
Al-Qur’an menggunakan perkataan Ihsan (إحسانا) sebanyak enam kali, lima di antaranya dalam konteks berbakti kepada kedua orang tua. Kata Husn (حسن) mencakup “Segala sesuatu yang menggembirakan dan disenangi. Hasanah digunakan untuk menggambarkan apa yang menggembirakan manusia kerana perolehan nikmat menyangkut diri (rohani), jasmani dan keadaannya.” Demikian dirumuskan oleh pakar kosakata al-Qur’an, ar-Ragib al-Asfahani.
Selanjutnya, menurut pakar tersebut, kata Ihsan digunakan untuk dua hal; pertama: memberi nikmat kepada pihak lain dan kedua: perbuatan baik. Kerana itu, kata Ihsan lebih luas dari sekadar “memberi nikmat atau nafkah”. Maknanya bahkan lebih tinggi dan mendalam daripada kandungan makna “adil”, kerana adil adalah “memperlakukan orang lain sama dengan perlakuannya kepada anda”, sedangkan Ihsan adalah “memperlakukannya lebih baik daripada perlakuannya terhadap anda”. Adil adalah mengambil semua hak anda dan/atau memberi semua hak orang lain sedangkan Ihsan adalah “memberi lebih banyak daripada apa yang harus anda berikan dan mengambil lebih sedikit daripada apa yang seharusnya anda ambil”.[4]
Ketiga:
Apabila menyentuh ibubapa, ketiga-tiga ayat di atas menggunakan perkataan bi (ب), iaitu wa bil walidain ihsana (وبالوالدين إحسانا). Diingatkan bahawa firman-firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam al-Qur’an bukanlah sesuatu yang berlaku secara rambang, akan tetapi setiap pilihan perkataan dan susunan ayat memiliki maksud dan tujuannya yang tersendiri.
Dalam kes ini, Muhammad Quraish Syihab menjelaskan maksud dan tujuan penggunaan perkataan bi (ب):
Al-Qur’an menggunakan kata penghubung bi ketika berbicara tentang bakti kepada ibubapa: wa bil walidain ihsana (وبالوالدين إحسانا) padahal bahasa juga membenarkan penggunaan li (ل) yang bererti “untuk” dan ila (إلى) yang bererti “kepada” sebagai penghubung kata Ihsan.
Menurut pakar-pakar bahasa, kata ila (إلى) mengandung makna “jarak” sedangkan Allah tidak menghendaki adanya jarak walau sedikit pun dalam hubungan antara anak dan orang tuanya. Anak harus selalu mendekat dan merasa dekat kepada ibubapanya, bahkan kalau dapat (hendaklah) dia melekat kepadanya. Kerana itu digunakan kata bi yang mengandung erti Ilshaq (إلصاق) yakni “kelekatan”. Kerana itulah, maka bakti yang dipersembahkan oleh anak kepada orang tuanya, pada hakikatnya bukan untuk ibubapanya tetapi untuk dirinya sendiri. Itu pula sebab tidak dipilih kata penghubung li (ل) yang mengandung makna “peruntukan”.[5]
Demikian tiga ayat yang saling berulang dan tiga kesamaan dalam ayat-ayat tersebut yang menunjukkan kepada kita betapa besar kedudukan ibubapa dan betapa penting tuntutan untuk berbuat baik kepada mereka. Kebaikan yang dipersembahkan kepada ibubapa kita hendaklah melebihi daripada kebaikan yang biasa, bahkan sehingga menjadikan kita sebegitu rapat dengan mereka. Lebih penting, berbuat baik kepada ibubapa adalah pembuktian tauhid kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Seterusnya marilah kita mengkaji tuntutan berbuat baik kepada ibubapa menurut al-Sunnah.
--------------------------------------------------------------------
[1] Terjemahan ayat-ayat al-Qur’an dalam buku ini diambil daripada Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an oleh Abdullah Basmeih rahimahullah, edisi cdrom The Holy Qur’an v6.31 terbitan Harf IT (www.harf.com).
[2] Tafsir al-Mishbah, (Lentera Hati, Djuanda, 2000-2004), jld. 2, ms. 415.
[3] Siapakah Luqman? Berkata Ibn Katsir: “(Para tokoh) generasi awal berbeza pendapat berkenaan Luqman, adakah beliau seorang Nabi atau seorang hamba shalih yang bukan nabi? Di antara dua pendapat ini, kebanyakan mereka cenderung kepada yang kedua (yakni seorang hamba shalih, bukan seorang nabi).” [Tafsir Ibn Katsir, (edisi Cdrom The Holy Qur’an v6.31; tafsir kepada ayat 12 surah Luqman)] Al-Qur’an dalam persoalan ini bersikap diam, kecuali sekadar menerangkan bahawa Luqman adalah seorang yang telah dikurniakan kebijaksanaan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Firman Allah:
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu. [Luqman 31:12]
Apa yang tidak diterangkan oleh Allah dan Rasul-Nya, bererti ia tidak penting untuk diketahui oleh umat Islam. Maka tidak perlu kita membazir masa dan tenaga untuk mengkaji lebih dalam tentang persoalan ini atau apa-apa yang seumpama. Lebih lanjut, rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan al-Qur’an terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.
[4] Tafsir al-Mishbah, jld. 2, ms. 416-417.
[5] Tafsir al-Mishbah, jld. 2, ms. 417.
No comments:
Post a Comment