PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

Idul Adha : Penghayatan Korban

 
Sejarah permulaan umat Islam merayakan sambutan Idul Adha ialah sebelum kedatangan Islam. Telah menjadi kelaziman warga Madinah merayakan hari kebesaran dua kali setiap tahun. Mereka merayakannya dengan pelbagai permainan, hiburan dan persembahan dengan penuh kegembiraan.

Apabila Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah, Baginda telah menukar perayaan-perayaan tersebut dengan dua hari raya iaitu Idul Fitri dan Idul Adha.

Hadis daripada Anas R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:-

"Sesungguhnya Allah telah menukarkan untuk kamu dua hari raya yang ada itu dengan dua hari raya yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah”. (Riwayat Abu Daud)
 
Apakah pengisian hari raya yang dianjurkan oleh Allah? Adakah sama dengan hari raya penduduk Madinah sebelum Islam? Jawabnya tidak sama. Hari raya Islam disambut dengan takbir dan puji-pujian kepada Allah SWT.
 
Rasulullah S.A.W. bersabda:
 
Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis”. (Hadis riwayat at Tabrani)
 
Oleh itu, jika hari raya tidak dihiasi dengan takbir, memuji dan membesarkan Allah, maka ertinya bukanlah kita menyambut hari raya sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam.
 
Idul Adha yang disebut hari raya korban, mengajak kita mengenang kembali suatu bentuk ketaatan, kepatuhan manusia terhadap Allah SWT, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Nabi Ibrahim a.s. rela meninggalkan anak dan isteri di padang sahrak yang tandus. Siti Hajar rela ditinggalkan bersendirian tanpa teman dan bekalan makanan yang mencukupi. Kerana kepatuhan dan ketaatanlah Nabi Ibrahim rela menyembelih anak kandungnya yang tunggal. Sedang Ismail a.s. sanggup menyerahkan lehernya untuk disembelih ayahnya. Setelah nyata ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim melalui ujian tersebut, maka Allah gantikan anaknya dengan seekor kibas untuk disembelih. Maka selamat dan sejahteralah keduaduanya setelah lulus ujian yang sangat getir itu.
 
Perjuangan dan pengorbanan adalah satu istilah yang mempunyai erti yang luas. Ibnu Abbas R.A. menerangkan bahawa;
 
Perjuangan dan pengorbanan ialah menyumbangkan seluruh tenaga dan melakukan segala usaha mengalahkan musuh dalam segala bentuk. Bermula daripada perjuangan melawan serangan musuh bagi mempertahankan negara, nyawa dan agamanya sehinggalah kepada perjuangan serta pengorbanan melawan runtunan hawa nafsu dan hasutan syaitan”.
 
Penyembelihan binatang korban menjadi syariat Islam yang abadi dan tidak akan putus sehinga hari kiamat dengan ganjaran pahala yang besar. Rasulullah S.A.W. bersabda;
 
Korban itu untuk yang melakukannya akan dibalas Allah dengan pahala setiap helai bulunya satu kebaikan”. (Riwayat Ibnu Majah)
 
Menyembelih binatang korban pada Hari Raya Idul Adha mengandungi dua aspek, iaitu:-
 
1. Aspek ubudiah (peribadatan)
 
Iaitu untuk berbakti dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, sesuai dengan perkataan korban itu berasal ‘quraba’ yang bererti mendekatkan diri (kepada Allah). Sebagai imbangan pendekatan itu, Allah mendekati pula kepada orang yang berkorban, dengan melipat gandakan pahalanya untuk bekalan hari akhirat.
 
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
 
Bahawa haiwan korban itu tanduknya, bulunya akan menjadi amal kebaikan yang diterima di hari akhirat nanti”.
 
2. Aspek kemasyarakatan
 
Dengan melakukan korban dan membahagi-bahagikan daging sembelihan itu, akan suburlah jiwa melahirkan kemesraan sesama umat manusia, di mana kaum yang kurang bernasib baik akan merasa nikmat daripada daging korban yang diterimanya. Dengan cara itu akan terciptalah keharmonian sosial dalam masyarakat.
 
Sesungguhnya hari raya korban adalah hari yang penuh dengan nilai-nilai perjuangan dan pengorbanan. Maka dengan hadirnya Idul Adha setiap tahun akan mengingatkan kita kebesaran nilai-nilai ajaran Allah. Kerelaan berkorban yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim itu hendaklah kita terapkan dalam semua aspek kehidupan. Kita hendaklah berani mengorbankan kepentingan peribadi, kepentingan keluarga, kepentingan puak, golongan dan organisasi, demi untuk kepentingan agama, masyarakat dan negara. Tanpa adanya kesediaan untuk berkorban, janganlah diharapkan datangnya kejayaan, kebahagiaan, berkembangnya syiar agama dan masyarakat yang makmur serta mendapat keampunan Allah.
 
Umat Islam hendaklah sedar bahawa ujian Allah kepada kita datang bertubi-tubi, ianya tidak mengenal ruang tempat dan waktu. Ujian menimpa umat Islam dengan nyata dan tidak dapat dielakkan.
 
Firman Allah SWT dalam surah al-‘Ankabut ayat 2;
 
Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, “Kami beriman,” sedangkan mereka belum diuji (bagi membuktikan keimanan mereka) ”.
 
Antara ujian yang kita hadapi:-
 
1. Ujian dari dalam, iaitu kegagalan kita mewujudkan kesatuan umat yang berpegang teguh kepada syariat Allah. Kalaupun tidak dikatakan pecah, namun keadaan menunjukkan ke arah jalan persimpangan. Oleh itu, umat Islam hendaklah bersatu dalam satu bentuk keluarga besar di bawah lembayung Islam. Kita tidak sepatutnya berpuak-puak dan berpecah-belah, kerana hal yang demikian akan melemah dan merugikan umat Islam.
 
2. Ujian dari luar ialah ujian dan cabaran daripada golongan anti agama Islam dengan mempersendakan agama kita. Mereka yang memusuhi Islam itu telah meletakkan dasar perjuangannya untuk menghancurkan umat Islam sejak dahulu lagi, terutama umat Islam yang dianggap sebagai penghalang cita-cita mereka membentuk masyarakat yang dipandu oleh fikiran manusia tanpa adanya Tuhan. Mereka menggunakan pelbagai cara dan taktik strategi bagi menghalalkan semua cara untuk mencapai tujuannya.
 
Oleh itu, kita mesti bersatu dan berkorban apa sahaja bagi mempertahankan agama kita daripada diancam dan diserang oleh musuh Islam. Sikap berdiam diri melihat musuh Islam menghina agama, mencaci keagungan Al-Quran dan merendah-rendahkan Nabi kita, boleh dianggap sebagai redha dengan perbuatan musuh kita. Berdiam diri boleh diertikan bahawa umat Islam sebagai golongan pengecut, bacul, lemah dan boleh diperkotak-katikkan. Sifat inilah yang disukai oleh musuh-musuh kita. Apakah kita rela dilabel dengan sifat-sifat negatif ini? Tentu tidak.
 
Pengorbanan untuk memelihara keluarga agar menjadi keluarga yang soleh dan berguna pada agama, bangsa dan negara, merupakan satu pengorbanan yang wajib kita lakukan. Ini kerana pergolakan dan permasalahan rumahtangga di kalangan sebahagian keluarga muslim dewasa ini amat ketara. Anak-anak ponteng sekolah dan ada juga yang lari dari rumah. Selain itu juga, gejala ketagihan berjudi, minum arak, berzina dan sebagainya, sepertimana kehidupan di zaman Jahiliah dahulu.
 
Marilah kita berkorban, berjihad melawan nafsu serakah. Kita hendaklah menjadi pemimpin yang dicontohi, adil dan bertanggungjawab, ibubapa yang prihatin terhadap keluarganya, anak yang taat kepada ibu bapanya, murid yang hormat kepada gurunya, warga yang bertanggungjawab memelihara keharmonian dan keamanan negara.
 
Kita hendaklah mempunyai keyakinan apabila Allah memerintahkan kita mengorbankan sebahagian harta untuk menegakkan agama Allah SWT. Ini bermakna Allah SWT akan menjaga harta kita daripada sebarang kemusnahan. Demikian juga dengan pengorbanan jiwa, Allah akan gantikan pengorbanan itu dengan sesuatu yang lebih berharga.
 
Pengorbanan perlu dilakukan sebagai tanda kasih sayang. Ia perlu dilakukan untuk menzahirkan perasaan cinta dan kesetiaan kepada Allah SWT. Orang yang sanggup berkorban adalah orang yang sanggup berbakti dan sanggup membelanjakan apa yang disayangi untuk meningkatkan amal saleh.
 
Firman Allah SWT dalam surah Ali‘Imran ayat 92;
 
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan (mendermakan) sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesuatu apa jua yang kamu nafkah, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.
 
Persoalan yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini dapat diselesaikan jika kita bersatu menghidupkan semangat korban untuk mewujudkan kesatuan umat yang teguh dan kuat, berani menghadapi risiko demi untuk keutuhan umat dan menegakkan kalimah Allah. Rela mengorbankan keangkuhan diri dengan mendahulukan kepentingan agama dan ummah daripada kepentingan diri sendiri. Jika penghayatan korban itu telah benar-benar hidup di dalam diri setiap muslim, maka ujian yang lebih hebat akan dapat diselesaikan dan diatasi.
 
Perbezaan pendapat dan perselisihan faham antara kita dalam masalah furu’ dan ijtihadiah adalah satu perkara yang tidak mustahil berlaku. Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengingatkan bahawa perbezaan pendapat adalah satu rahmat. Perbezaan pendapat ini terbatas daripada segi pemikiran dan akal, sedang hati tetap satu kerana dipandu oleh aqidah dan syariah.
 
Marilah kita tingkatkan amal kebajikan, dan kerelaan berkorban untuk kepentingan agama serta masyarakat sebagai bukti semakin meningkatnya iman dan taqwa kita kepada Allah SWT.
 
Marilah kita terus berkorban demi menyelamatkan diri, keluarga dan masyarakat kita daripada seksaan Allah di akhirat kelak. Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita semua dan istiqamah di atas keyakinan bahawa kehidupan ini memerlukan perjuangan, pengorbanan dan kesabaran.
 
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (At-Tahrim : 6)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...