Masa atau waktu adalah sesuatu yang dipandang tinggi oleh Islam. Kepentingannya jelas dilihat di dalam al-Quran bila Allah SWT sering bersumpah dengan masa ketika memulakan surah-surah al-quran; ..., Demi masa, ..., Demi waktu Fajar, ..., Demi waktu Dhuha, ..., Demi waktu Malam dan sebagainya.
Tentu sekali semua detik waktu yang disebut di dalam al-Quran ini mengandungi maksud yang penting sehingga Allah SWT bersumpah dengannya. Padanya juga ada hikmah yang besar bagi hamba-hamba Allah yang dapat menghayatinya. Namun ramai manusia mengabaikan kepentingan waktu di sepanjang kehidupan mereka.
Hadis daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Dua nikmat yang ramai manusia sering lalai dengannya; sihat dan waktu lapang". (Riwayat al-Bukhari)
Benarlah sabda baginda. Kita sering leka dan membuang masa. Kerisauan terhadap gejala membazir masa dalam masyarakat kita semakin jelas kelihatan khususnya di musim cuti persekolahan. Ramai para pelajar dan remaja leka dan membuang masa tanpa sebarang aktiviti berfaedah sepanjang cuti. Cuba perhatikan apakah yang mereka lakukan. Apakah ia aktiviti bermanfaat atau hanya membazir masa? Antara aktiviti mereka ialah melepak bersama rakan-rakan sepanjang hari, merambu dengan dengan motosikal tanpa tujuan, menghadap internet dan bersembang di laman sosial berjam-jam lamanya, berhibur, dan bergaul bebas antara remaja lelaki dan wanita tanpa batasan.
Apakah pengisian masa sebegini wajar dijadikan budaya? Di manakah nilai waktu dalam kehidupan kita? Mengapakah kita gagal mengisi masa dengan tepat dan sempurna? Kenapa kita terus membazirkannya tanpa rasa rugi atau berdosa?
Sebenarnya semua ini berpunca dari kurangnya kesedaran ibu bapa dan remaja sendiri tentang kepentingan menghargai waktu. Justeru, mari kita lihat mengapa Islam sangat menitik beratkan persoalan menghargai waktu, sebagaimana berikut :
Pertama : Masa dan waktu adalah sesuatu yang amat berharga. Setiap detik yang telah dibazirkan berlalu tidak mungkin dapat diganti atau dibayar dengan apa jua pun untuk mengembalikannya. Ingatlah, kegagalan mengisi masa dengan sesuatu yang bermanfaat bermakna kita telah membuang sesuatu yang sangat berharga yang tiada ternilai harganya.
Kedua : Masa adalah usia kita. Usia kita pula adalah modal hidup yang telah ditentukan kadarnya. Ia perlu diisi untuk menentukan kejayaan hidup kita di dunia dan di akhirat kelak.
Tidakkah kita sedar hakikat ini? Seharian yang kita abaikan tanpa sebarang ilmu, kerja, amal ibadah atau apa juga kebaikan bererti ia telah dibiar lenyap pergi memamah usia kita. Inilah yang akan mengundang penyesalan yang tiada kesudahan di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukminun ayat 99 dan 100:
"Kesudahan golongan yang ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara mereka, berkatalah dia, "Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (hidup semula di dunia); Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah ungkapan yang sengaja dia lafazkan, sedangkan di hadapan mereka ada dinding (penghalang mereka ke dunia) sehingga hari mereka dibangkitkan semula".
Ketiga : Masa adalah nikmat yang akan dihisab dan dipertanggungjawabkan di akhirat. Kita akan dipersoalkan terhadap perlakuan kita di setiap detik yang dilalui.
Hadis daripada Abu Barzah al-Aslamiy R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda;
"Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa dia habiskan, tentang ilmunya apakah telah dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia belanjakan dan tentang tubuh badannya pada perkara apa dia gunakan". (Riwayat at-Tirmidzi)
Setelah menyedari kepentingan waktu dan realiti pembaziran waktu yang berlaku, marilah kita susuri langkah-langkah berikut bagi memastikan setiap detik waktu dimanfaatkan sebaiknya:
Pertama : Rancang dan susun aktiviti seharian.
Inilah langkah mula dan yang paling utama. Ibu bapa boleh membantu anak-anak untuk menjadualkan aktiviti mereka. Muatkan waktu untuk membaca, menghafaz al-Quran dan mengulangkaji, di samping menonton televisyen dan bermain sepanjang musim cuti. Berikan hak yang seimbang pada minda, rohani dan jasmani anak-anak. Tanpa pengisian bermanfaat, anak-anak pasti akan terlibat dengan pembaziran waktu. Inilah yang pernah diingatkan oleh Imam Asy-Syafie Rahimahullah Taala :
"Jika kamu tidak membuat dirimu sibuk dengan perkara kebenaran, ia pasti akan menjadikan kamu sibuk dengan kebatilan".
Kedua : Menyediakan sasaran-sasaran yang perlu dicapai dalam tempoh bercuti.
Ini perlu dibuat agar setiap anak menghargai waktu dan sibuk mengejar sasarannya. Maka tiadalah masa yang terbuang dengan sia-sia. Contohnya mensasarkan hafazan juzuk Amma dan Surah-surah tertentu, memperbaiki bacaan solat dan menyertai kursus bahasa dan sebagainya dalam tempoh bercuti.
Ketiga : Isi masa hujung minggu untuk bersama anak-anak.
Ganjari kepatuhan mereka dengan bawa mereka menziarahi sanak saudara, bersiar-siar atau bercuti. Sekurang-kurangnya adakan majlis makan bersama-sama mereka. Didik anak-anak untuk menunaikan solat berjamaah di masjid bersama kita. Inilah pengisian waktu berkualiti yang perlu dijayakan agar anak-anak benar-benar rasa dihargai dan dikasihi. Dengan kasih sayang ini, jiwa anak-anak subur dan gagah untuk bangun mencipta kejayaan dan kecemerlangan.
Kita perlu bertindak segera mengejar waktu yang kian pantas meninggalkan kita. Sudah terlalu banyak waktu yang kita bazirkan dengan pelbagai aktiviti yang tidak memberi sebarang manfaat di dunia mahupun akhirat. Isikanlah masa dan usia kita dengan pengisian waktu dengan usaha-usaha yang membawa kejayaan, kecemerlangan, keberkatan dan kebahagiaan. Tambahan pula di akhir zaman ini waktu dirasakan semakin singkat dan begitu pantas berlalu. Kita semua merasakannya.
Hadis daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :
"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah masa terasa berdekatan (singkat). Satu tahun seperti satu bulan. Satu bulan seperti satu Jumaat (satu minggu), satu minggu seperti satu hari, satu hari seperti satu jam, dan satu jam seperti sesuatu yang cepat hangus terbakar dengan api". (Riwayat at-Tirmidzi)
Marilah kita mengambil pengajaran dengan mengimbas kembali intipati ini, antaranya :
Pertama : Masa amat berharga, tidak boleh dinilaikan dan diganti dengan apa jua sekalipun. Ingatlah, waktu yang telah berlalu tiada siapa dapat mengembalikannya.
Kedua : Islam amat menitik beratkan pengurusan waktu kerana ia adalah satu amanah yang akan dipersoalkan. Rancang dan susunlah aktiviti berfaedah agar amanah ini dapat disempurnakan dengan jayanya.
Ketiga : Pembaziran waktu dan kegagalan menguruskan masa dengan baik akan mengundang kerugian di dunia dan penyesalan di akhirat.
"Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu, binatang-binatang dan sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak pula (antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya). (Ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah, maka dia tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya".
(Al-Hajj : 18)
No comments:
Post a Comment