PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

MEMUPUK PERASAAN CINTA TERHADAP NABI MUHAMMAD S.A.W

Nabi Muhammad s.a.w merupakan nabi teragung dan rasul terulung. Bahkan nama Baginda juga adalah bermaksud "yang terpuji". Baginda merupakan nabi dan rasul terakhir yang diutuskan Allah SWT untuk seluruh makhluk di muka bumi ini.

Baginda sangat berakhlak mulia sehingga Saidatina Aisyah R.A isteri Baginda yang mulia menggambarkan bahawa akhlak Baginda s.a.w adalah al-Quran. Begitu juga Allah SWT telah merakamkan ketinggian akhlak Baginda dalam surah al-Qalam ayat 4:

"Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar mempunyai akhlak yang mulia".

Sesungguhnya beriman kepada kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu tuntutan. Sesiapa yang tidak mengimani Baginda serta apa yang dibawa dan diajarkan maka tidak sah Islamnya dan kufur hukumnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 13

"(Ingatlah bahawa) sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api neraka yang bernyala-nyala".

Beriman kepada Baginda s.a.w bermaksud membenarkan kerasulan dan segala risalah yang dibawa dan diajarkan adalah daripada Allah SWT. Beriman dengan Baginda mestilah selari dan sekata di antara hati dan tutur kata. Di antara maksud taat dan patuh kepada Baginda ialah menuruti segala yang dibawa dan diajarkan serta menjauhi segala yang dilarang.

Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Biarkanlah apa yang aku tinggalkan (diamkan) untuk kalian. Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kalian adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan (banyaknya) perselisihan mereka terhadap para nabi mereka. Maka apabila aku melarang sesuatu terhadap kalian, tinggalkanlah. Apabila aku memerintahkan sesuatu kepada kalian, maka kerjakanlah semampu kalian". (Riwayat al-Bukhari)

Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w merupakan nikmat dan rahmat Allah SWT kepada sekelian alam. Ini kerana usaha yang Baginda dilaksanakan, dakwah yang disampaikan dan rintangan yang dilalui maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam hingga ke hari ini. Begitu juga dengan warisan al-Quran dan al-Sunah yang ditinggalkan maka dengan keduanya manusia terselamat daripada hidup dalam kegelapan kepada cahaya kebenaran.

Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi ibu bapanya, anaknya, dan seluruh manusia yang lainnya". (Riwayat al-Bukhari)

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w dengan mematuhi segala suruhan dan tegahan Baginda adalah termasuk tuntutan mencintai Allah SWT. Melalui cinta dari Allah SWT maka segala dosa-dosa akan diampunkan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 31:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (Ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Dalam memenuhi tuntutan keimanan dan tujuan meraih kecintaan Allah SWT, perasaan cinta kepada kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w perlu dipupuk dan disemarakkan. Namun persoalannya, bagaimana perasaan cinta terhadap Baginda dapat ditanam dan disuburkan?

Perasaan cinta kepada Baginda s.a.w hanya akan wujud setelah keperibadian Baginda dikenali, dipelajari dan dihayati. Bagi setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya maka wajib ke atasnya dirinya dan keluarganya untuk mengenali Baginda dengan lebih dekat sama ada melalui majlis-majlis pengajian, pembacaan kitab-kitab sirah, bacaan qasidah, rawi dan sebagainya.

Amat malang sekiranya ada di kalangan generasi kita umat Islam pada hari ini yang tidak mengenali Nabi, apatah lagi isteri-isteri, anak-anak dan para sahabat Baginda. Malang juga bagi ibubapa yang tidak mendidik anak-anak dalam mengenali dan mencintai Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Malang bagi umat ini kerana apabila Nabi tidak lagi dikenali maka ajaran Baginda akan ditinggalkan dan ianya akan membawa kepada kesesatan, kemusnahan dan kehinaan.

Berselawat ke atas Baginda s.a.w dapat menyuburkan rasa cinta terhadap Baginda. Sesiapa yang berselawat ke atas Baginda sekali maka Allah SWT akan berselawat iaitu mengurniakan rahmat dan ganjaran terhadapnya sepuluh kali. Begitu juga mereka yang banyak berselewat kepada Baginda adalah manusia yang paling utama menerima syafaat Baginda di hari perhitungan kelak.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Orang yang paling utama denganku (syafaatku) adalah mereka yang paling banyak selawatnya keatasku". (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, mencintai Rasulullah s.a.w juga bermaksud mencintai kaum keluarga Baginda iaitu "Ahli al-Bait".

Mencintai Rasulullah s.a.w bermaksud menuruti segala suruhan dan larangan Baginda. Iaitu dengan menuruti segala apa yang datangnya daripada Baginda, meninggalkan segala yang dilarang, membenci apa sahaja yang dibenci dan menyayangi serta mencintai apa sahaja yang disayangi dan dicintai Baginda. Setiap muslim sewajarnya memastikan akidah, syariat dan akhlak mereka adalah berpandukan petunjuk al-Quran dan al-Sunah yang ditinggalkan. Ingatlah, ilmu adalah kunci ke arah keselamatan. Kerana tanpa ilmu segala urusan tidak akan terpandu. Sesungguhnya, segala panduan kehidupan telah ditunjuk dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w.

Kesimpulan yang dapat dirumuskan daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama : Mencintai Baginda Nabi Muhammad s.a.w merupakan sebahagian tuntutan keimanan. Setiap muslim wajib beriman, mentaati dan mencintai Nabi Muhammad s.a.w.

Kedua : Al-Quran dan al-Sunah merupakan pusaka peninggalan Nabi s.a.w yang dapat menyelamatkan seluruh umat manusia dari terjerumus ke dalam kesesatan dan kegelapan kepada kebenaran dan cahaya iman.

Ketiga : Rasulullah s.a.w merupakan contoh teladan terunggul yang selayaknya diteladani. Baginda telah menunjukkan segala contoh dalam segala soal kehidupan seperti pemerintahan, pendidikan, ekonomi dan lain-lain lagi.

Keempat : Mengakui bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah Nabi dan Rasul yang terakhir. Maka barangsiapa yang mengakui bahawa dirinya adalah Nabi atau Rasul akhir zaman, maka ia adalah sesat lagi menyesatkan.

"Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, serta menyediakan untuk mereka azab yang menghina".
(Al-Ahzab : 57)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...