Marilah kita fikirkan sejenak, sekiranya kita berada di satu padang pasir yang luas, dalam suasana yang panas terik membahang, kepanasannya yang membakar itu akan menyebabkan kita merasa inginkan tempat berteduh, walaupun hanya sekadar sebatang pohon
bidara, mahupun serumpun pokok buluh. Kita akan merasa cukup istimewa mendapat tempat bernaung walaupun ruang sekecil itu.
Bagaimana pulakah dapat kita bandingkan dengan kepanasan di tengah padang Mahsyar kelak. Ketika semua manusia berhimpun dan menunggu giliran untuk dihisab oleh Allah SWT. Kita akan merasa peritnya menunggu dalam keadaan teriknya cahaya matahari di akhirat yang jauh lebih panas daripada teriknya panas matahari di dunia.
Namun, Rasulullah s.a.w. memberitahu kita, bahawa dalam suasana panas terik itu, terdapat 7 golongan yang akan mendapat naungan dan teduhan istimewa daripada Allah SWT.
"Mereka adalah pemimpin yang adil, orang muda yang sentiasa dalam keadaan beribadat kepada Allah, orang yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang sahabat yang saling menyayangi; bertemu dan berpisah kerana Allah, orang yang mengingati
Allah dalam keadaan sendirian, lalu mengalir air matanya, lelaki yang digoda oleh wanita berkedudukan dan cantik, lalu dia berkata: Aku takutkan Allah; dan orang yang bersedekah secara rahsia sehingga tidak diketahui oleh tangan kirinya apa yang disumbangkan oleh tangan kanannya." (Mafhum hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perhatikanlah! Bagaimana Islam telah meletakkan kedudukan orang muda dalam hadis di atas. Selepas pemimpin yang adil, golongan kedua yang menerima naungan tersebut adalah orang-orang muda; yang masa mudanya digunakan untuk beribadat kepada Allah SWT.
Kita jangan hairan dengan orang-orang tua yang banyak beribadah. Jangan kita merasa kagum dengan warga emas yang sering berzikir dan mengingati Allah. Itu sudah sewajarnya menjadi tabiat manusia yang menyedari bahawa saat kematiannya semakin hampir. Kita sepatutnya merasa pelik apabila ada di kalangan orang-orang tua yang masih
bersenang-lenang dengan kehidupan dunianya. Mereka yang masih meringan-ringankan ibadahnya. Tidak dijenguknya surau dan masjid selain daripada hari Jumaat dan hari raya. Mereka ini sepatutnya semakin menginsafi bahawa waktu semakin sempit. Kudrat juga semakin sedikit.
Lain halnya dengan orang-orang muda dan anak-anak remaja. Mereka yang masih di bawah pertengahan usia ini mula merasa indahnya hidup dunia. Mereka mula mengenali keseronokan cinta manusia. Mereka merasa masa masih panjang untuk bermain pelbagai permainan yang dicipta untuk mereka.
Namun, ini hanyalah pemuda biasa. Ini adalah kelaziman anak-anak muda. Lihat sahaja di persekitaran tempat tinggal kita. Anak-anak yang sering melepak di tempat-tempat awam. Remaja yang cuba membingitkan keadaan yang tenang dengan bunyi motorsikal. Juga pemuda-pemuda yang sibuk bermain cinta yang belum pasti hujung episodnya.
Sebaliknya, Islam menuntut kita memberi lebih perhatian kepada golongan ini. Apa yang kita semai hari ini adalah pokok-pokok yang akan meneduhi kita 10 atau 20 tahun lagi. Jika benih itu adalah benih pokok yang mendatangkan buah dan bungaan indah; maka masa depan kita adalah lebih bahagia dan cerah. Sebaliknya, jika benih itu adalah pokok yang berduri, atau pokok ranting yang hanya menghamburkan sampah; maka masa depan kita hanya akan menimbunkan lebih banyak masalah.
Justeru, sekalian kaum Muslimin, marilah kita mendidik anak-anak muda dan remaja kita supaya dekat dengan agama. Hanya dengan didikan agama, kita akan selamat daripada segala kedukaan dunia dan kesengsaraan akhirat. Kepada para remaja dan anak-anak yang masih bersekolah. Penuhilah masa anda dengan peluang-peluang untuk beribadah. Sudah selesaikah ilmu-ilmu fekah yang dituntut? Sudah sempurnakah cabang-cabang fardu ain yang mesti ditekuni sebelum maut?
Adakah kita sudah dapat membaca al-Qur'an dengan bacaan yang betul dan lancar? Adakah kita sudah boleh melaungkan azan dan iqamat, atau sekurang-kurangnya memenuhi panggilan muazzin untuk bersolat? Manfaatkanlah usia muda anda dengan peluang untuk beribadah. Walaupun ibadah tidak menghalang anda untuk beriadah. Tapi janganlah bermain dan bersukan tidak kira masanya sehingga membiarkan masjid dan surau sepi tanpa jemaah.
Para remaja hendaklah merebut peluang di usianya yang masih muda, kerana peluang di Padang Mahsyar tersedia, untuk mendapatkan kedudukan yang mulia, di sisi Allah Tuhan Maha Pencipta.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 13:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk”.
Jadikanlah para pemuda Ashabul Kahfi sebagai idola dan ikutan kita. Mereka melarikan diri kerana mempertahankan iman. Jadikanlah para sahabat Rasulullah s.a.w sebagai role model kerana kesungguhan mereka mempertahankan baginda dalam membuat perubahan.
Jangan kita hiraukan manusia beragama lain yang sibuk dengan KPop dan Gangnam Style. Jangan kita terpengaruh dengan pelbagai hiburan yang melalaikan. Jangan kita leka dengan media-media sosial yang melewatkan kita tidur malam. Akibatnya kita terlewat untuk menunaikan solat subuh hingga waktu yang diharamkan.
Sebaliknya, lihatlah Usamah bin Zaid yang memimpin tentera Islam memerangi tentera Rom pada usia 18 tahun. Contohilah ketakwaan Muhammad Al-Fatih yang memimpin tentera Islam menakluki Konstantinopel (Constantinople) pada usia 21 tahun.
Pelajarilah lebih mendalam tentang Islam, agama kita. Islam bukan agama yang hanya mengatur urusan ibadah di dalam surau dan masjid. Bahkan, ia adalah agama yang mengeluarkan manusia dari menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah SWT, agama yang mengeluarkan manusia dari kezaliman manusia dan agama
yang mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia, kepada keluasan dunia dan akhirat.
Jika kita mahu bercinta, bercintalah bila kita sudah berumahtangga.
Jika kita mahu berhibur, berhiburlah dengan cara yang mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Jika kita mahu bermain, bermainlah dalam keadaan ibadah kita tidak diketepikan.
Sesungguhnya anak merupakan harta yang tidak ternilai harganya. Mereka ialah amanah yang Allah kurniakan kepada ibubapa untuk dijaga dengan sempurna.
Oleh itu, marilah kita hayati nasihat Saidina Umar kepada sahabat-sahabatnya bahawa;
“Didiklah anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu”.
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab mendidik dan memberikan bimbingan yang sewajarnya agar anak-anak muda kita tidak tersasar jauh daripada ajaran agama Islam yang mulia ini.
Bandingkanlah antara dua petikan ayat-ayat al-Qur'an berikut, manakah yang kita mahu jadikan sasaran dalam pelan untuk generasi muda kita?:
Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 59:
“Maka datanglah sesudah mereka, keturunan-keturunan yang melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka mereka bakal menghadapi azab (di dalam neraka)”.
“Dan orang-orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”. (Al-Tur : 21)
No comments:
Post a Comment