PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

HINDARI GODAAN SYAITAN

Marilah semua kaum muslimin sekalian agar mengenali musuh utama kita iaitu syaitan dan seterusnya menghindari godaannya agar kita terselamat di dunia dan di akhirat kelak. Syaitan adalah spesis jin yang diciptakan daripada api dan merupakan anak cucu iblis laknatullah yang sentiasa melakukan kerosakan, menipu dan menimbulkan keraguan di dalam hati manusia. Sejak manusia pertama diciptakan Allah, syaitan tidak jemu-jemu menghasut manusia ke arah maksiat dan kemungkaran serta menghalang manusia dari melakukan ketaatan. Inilah sumpah syaitan seperti yang dikhabarkan Allah dalam surah Sad ayat 82-83:

(Iblis) berkata: "Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu di kalangan zuriat-zuriat Adam itu yang mukhlis (iaitu yang diberi petunjuk untuk mentaati Allah dan Rasul-Nya)".

Bagi menggambarkan betapa pentingnya umat manusia supaya berhati-hati terhadap tipu daya syaitan, Allah menyebut kalimah syaitan sebanyak 86 kali. 68 kali disebut dengan lafaz mufrad, "Syaitan" (?????) dan 18 kali disebut dengan lafaz jamak, "Syayatin" (??????). Tiada siapa boleh menyangkal peri perlunya setiap muslim menghindari tipu daya syaitan. Namun untuk mengelak kedurjanaan syaitan ini, kita perlulah mengetahui bagaimana cara syaitan menggoda dan seterusnya menyelinap masuk ke dalam jiwa manusia.

Syaitan memanfaatkan setiap anggota manusia untuk memastikan manusia itu tergelincir dari landasan kebenaran. Imam Al Ghazali menyebut di dalam kitabnya, Ihya' Ulumiddin bahawa melalui anggota ‘lidah' sahaja, syaitan mampu mendatangkan 20 kebinasaan.

Pemikir Islam terkenal, Dr Fathi Yakan pula berkata, bahawa terdapat 7 ruang penyusupan yang dipergunakan syaitan untuk menyesatkan manusia:

Pertama : Menerusi sifat marah.

Apabila diri seseorang itu dikuasai oleh perasaan marah, maka bererti dia telah meminimakan peranan akal. Akal adalah anugerah Allah yang sangat berguna. Ia perlu dilindungi supaya boleh berfungsi ke arah kebaikan. Apabila akal di kesampingkan, maka itulah waktu yang sangat menggembirakan syaitan untuk menguasai diri manusia.

Ada manusia sanggup membunuh adik beradik dan ibubapa sendiri semata-mata kerana melayan perasaan marah. Namun ianya segera disesali apabila kemarahan reda. Justeru, manusia yang sedang marah sangat digalakkan supaya berwudhuk bagi meredakan kemarahan dan menghindarkan diri dari dihasut oleh syaitan.

Kedua : Menerusi keinginan nafsu syahwat.

Keinginan nafsu syahwat merujuk kepada kehendak deria dan jasad manusia yang menghendaki tubuhnya diberi makanan dan minuman, hubungan kelamin, harta benda dan sebagainya. Keinginan kepada perkara-perkara ini bukanlah sifat tercela. Namun syaitan sangat mudah mempergunakan keinginan ini untuk memesongkan manusia dari jalan Allah.

Nafsu menginginkan makan, lantas syaitan menghasut manusia supaya memakan makanan yang haram atau memilih laluan mudah yang tidak syar'ie untuk memperoleh makanan sama ada dengan penipuan, rasuah, penindasan dan sebagainya. Nafsu menginginkan hubungan kelamin, lantas syaitan meransang nafsu manusia supaya tergoda dengan kecantikanwanita yang bukan isterinya, menarik pandangan matanya ke arah aurat manusia lain dan sebagainya.

Ketiga : Menerusi Sifat Gopoh Gapah

Sifat al ‘ajalah (??????) atau gopoh adalah lawan kepada sifat cermat dan berhati-hati. Sifat gopoh adalah sangat mudah terdedah kepada tipudaya syaitan. Ini kerana mereka yang melakukan sesuatu dengan gopoh tidak dapat membuat penilaian secara rasional menggunakan akal fikiran.

Sebab itu kita di larang daripada terus percaya sahaja maklumat yang diterima dari sumber yang diragui. Syaitan sememangnya sentiasa mencari-cari peluang dan ruang untuk melaga-lagakan umat manusia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".

Keempat : Menerusi Hasad dengki.

Hasad dengki adalah antara sifat pertama iblis laknatullah dalam pertembungannya dengan Nabi Adam AS. Iblis berasa irihati, sombong dan takabbur apabila diperintahkan Allah supaya sujud kepada Adam yang lebih junior daripadanya.

Firman Allah dalam Surah Al A'raf ayat 12:

Allah berfirman kepada Iblis: "Apakah yang menghalangmu supaya sujud (kepada Allah) ketika Aku menyuruhmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhanku) telah menjadikan aku daripada api sedang dia Engkau jadikan dia daripada tanah".

Ini jugalah sifat yang cuba diterapkan ke dalam jiwa manusia. Maka apabila manusia terperangkan dengan sifat hasad ini, bergembiralah syaitan lalu ia merangka hasutan seterusnya untuk merebakkan perbalahan di kalangan manusia.

Kelima : Menerusi sifat bakhil.

Sesungguhnya syaitan sentiasa menimbulkan perasaan bimbang di hati manusia terhadap kefaqiran dan kemiskinan. Sifat takut papa menghalang manusia daripada bersedekah, menderma dan sebagainya. Ia juga melemahkan rasa simpati dan sifat kemanusiaan yang ada dalam diri seseorang. Di dalam Al Quran, Allah menceritakan kepada kita tipudaya syaitan ini seperti mana firman-Nya di dalam surah Al Baqarah ayat 268:

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan atau kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat kedekut); sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaan-Nya. Allah Maha Luas (limpah rahmat-Nya), lagi Maha Mengetahui".
 
Keenam : Sifat Takabbur

Sifat membesarkan diri adalah sifat terpuji bagi Allah kerana sememangnya Allah lah yang maha layak untuk membesarkan diri. Namun apabila makhluk mengambil sifat ini ia terus sahaja menjadi sifat tercela. Ini juga satu lagi sifat buruk syaitan yang menyebabkannya terkeluar dari rahmat Allah dan dilaknat selama-lamanya. Justeru mana-mana manusia yang membesarkan diri, maka syaitan sangat gembira dan akan menyusup masuk menerusi lorong takabbur ini untuk merosakkan amal ibadat anak Adam.

Sebuah hadis qudsi iaitu daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

"Membesarkan diri itu ialah selendang-Ku dan kemuliaan itu ialah pakaian-Ku. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari kedua-duanya pasti Aku akan menyeksanya di dalam api neraka".

(Riwayat Abu Daud)

Ketujuh : Buruk Sangka Terhadap Kaum Muslimin

Buruk sangka ialah sifat buruk yang menyebabkan seseorang itu sentiasa memandang buruk kepada orang Islam yang lain, biarpun tiada petunjuk dan bukti terhadap keburukan yang didakwanya. Ia juga menyebabkan dia sentiasa berusaha dan mencari-cari kesalahan orang lain.

Nabi s.a.w sering kali berpesan kepada para sahabatnya supaya merahsiakan keburukan seseorang Muslim jika keburukan itu tidak memudharatkan masyarakat awam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12;

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa. Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang".

Setelah mengetahui jalan dan lorong yang memudahkan syaitan menyelinap ke dalam diri manusia, marilah kata mengawal diri masing-masing dari terpedaya dengan tipudaya syaitan.

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembah-Ku; Inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di kalangan kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka apakah kamu tidak memikirnya?"

(Yaasin : 60-62)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...