PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

PERISTIWA ISRA’ MIKRAJ : BUKTIKAN KEBENARAN APA YANG DIDENGAR

Peristiwa isra' dan mikraj menjadi pilihan kerana keunikan peristiwa yang mencabar keimanan seseorang khususnya dalam kerja-kerja dakwah mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah. Dalam kitab sirah tulisan Ibnu Hisham mahupun Ibnu Ishak, antara lain kedua-duanya bersetuju bahawa peristiwa israk dan mikraj ini dilatari dan di dahului dengan sekurang-kurangnya tiga peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah s.a.w, iaitu;

1. Baginda s.a.w menghadapi kematian isterinya yang sangat dikasihi iaitu Saidatina Khadijah R.A yang telah banyak berjasa membantu baginda s.a.w dalam kerja-kerja dakwah kepada masyarakat kota Makkah.

2. Baginda s.a.w selepas itu kehilangan pula bapa saudaranya Abu Talib yang banyak membela kehidupan dunianya daripada gangguan kaum kafir Makkah, bahkan lebih menyayat hati lagi bapa saudaranya mati dalam keadaan tidak sempat beriman kepada Allah SWT.

3. Setelah pemergian orang-orang yang banyak membantunya, telah Baginda s.a.w mengorak langkah bersama para sahabatnya mengalihkan usha berdakwah kepada penduduk Ta'if. Namun apa yang Baginda hadapi di sana tidaklah seindah yang diharapkan apabila dakwah yang disebarkan bukan sahaja ditolak, bahkan tubuh Nabi s.a.w turut di lukai dan sakiti.

Sesungguhnya peristiwa israk dan mikraj berlaku kepada Rasulullah s.a.w selepas rentitan derita dalam menyampaikan dakwah yang diperintahkan oleh Allah. Kandungan dakwah ketika itu yang berkisar kepada perkara "ghaybiyyat" atau "sam'iyyat", perkara yang tak dapat dilihat di dunia ini dan yang hanya dapat didengar, suatu perkara yang amat penting tetapi terlalu sukar untuk membina keyakinan penduduk Makkah mengimaninya. Kalau Nabi Musa a.s diuji oleh Allah dengan permintaan kaum Yahudi yang mahu melihat Allah untuk membina keyakinan akidah mereka, nabi Muhammad s.a.w pula dicabar supaya membuktikan kelebihan beriman kepada Allah dan hari kiamat yang hanya dapat didengar melalui penjelasan oleh Nabi s.a.w dari ayat-ayat al-Quran. Ianya hanya dapat dilihat pada tanda-tanda kekuasaan Allah yang ada dilangit dan dibumi.

Melalui kisah israk dan mikraj Allah SWT menjadikannya suatu anugerah berbentuk pengembaraan jasad dan rohani kepada Rasulullah s.a.w. Allah SWT menghendakki Rasulullah s.a.w menyaksikan sendiri apa yang telah diperintah oleh Allah SWT berkaitan dengan iman kepada Allah, iman kepada malaikat, iman kepada Rasul, iman kepada kitab, iman kepada hari kiamat dan iman kepada ketentuan baik dan buruk datang daripada Allah Tuhan Maha Pencipta.

Sesungguhnya kembara israk dan mikraj ini telah berjaya menyuntik keyakinan khususnya dalam beriman dengan perkara ghaib atau sam'iyat. Bahkan ianya dapat meningkatkan kesabaran dalam berdakwah dan mengajak manusia beriman dengan 6 prinsip rukun iman.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

"Jibril a.s bertanya kepada ku apakah yang dimaksudkan dengan iman?, Rasulullah menjawab, bahawa orang yang bertanya lebih mengetahui daripada yang ditanya, maka Jibril a.s memberitahu bahawa iman itu ialah kamu beriman dengan Allah, beriman dengan para Malaikat, beriman dengan Kitab (yang diturunkan Allah), beriman dengan para Rasul-rasul, beriman dengan Hari akhirat dan beriman dengan ketentuan qada' dan qadar baik atau buruk semuanya daripada Allah SWT". (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Anugerah daripada Allah yang berupa pengembaraan Israk dan mikraj ini bertujuan antara lainnya sebagai pengubat rohani dan emosi serta meringankan bebanan akibat tekanan yang dihadapi oleh Baginda s.a.w. Kalau di bumi Baginda s.a.w dengan misi dakwah menyeru manusia supaya beriman kepada Allah dan hari akhirat dilayan dengan penghinaan dan cacian, berlainan pula sambutan yang diberi oleh para rasul terdahulu bahkan para malaikat di alam langit yang menyambut kedatangan Baginda s.a.w dengan penuh mesra, penuh penghormatan dan kemuliaan.

Peristiwa agong ini berlaku dalam dua fasal pengembaraan, yang pertama pengembaraan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa. Suatu perjalanan darat yang sangat jauh jika diukur secara hitungan jarak perjalanan. Pengembaraan yang melepasi lembah dan gunung Tursina (senai) tempat berlakunya dialog antara nabi musa as dengan Allah SWT serta tempat kelahiran nabi Isa a.s di Baitulaham. Manakala fasa kedua pula bermula dari Masjid al-Aqsa ke langit melalui langit pertama, kedua, ketiga dan seterusnya ke baitul makmur tempat para malaikat dan berakhir di sidratul muntaha.

Ketika di Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) Baginda s.a.w disambut oleh semua para Rasul dan Nabi yang terdahulu dimana Baginda telah dilantik untuk menjadi imam solat. Ini merupakan suatu simbolik penyerahan kuasa dunia kepada kepimpinan Muhammad s.a.w, perpindahan risalah dari kaum Bani Israil kepada Bani Ismail atau ummat Muhammad s.a.w dan perpindahan kiblah dari kota Baitul Madis ke Baitullah di Makkah.

Kembara Mikraj seterusnya Baginda dibawa ke alam barzakh dimana Baginda dapat menyaksikan berbagai peristiwa di padang Mahsyar hingga ke distinasi terakhir manusia iaitu menerima balasan dari Allah samada menjadi ahli syurga mahupun ahli neraka. Tentunya kepayahan Baginda s.a.w untuk meyakinkan pengikutnya tentang iman kepada Allah dan hari akhirat terubat dengan melihat peristiwa alam ghaib ini. Perkara yang hanya dapat didengar dari ayat-ayat Allah semasa didunia, tetapi ia suatu yang nyata kebenarannya di hari pembalasan. Semuanya di lihat dengan "ainul yaqin" oleh Rasulullah untuk dikhabarkan kepada ummatnya.

Firman Allah SWT dalam surah at-Takathur ayat 5-8:

"Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahuinya (apa yang akan kamu hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat), (ingatlah) demi sesungguhnya kamu akan melihat neraka yang marak menyala. Selepas itu (demi sesungguhnya) kamu (wahai orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin( semasa kamu dilemparkan kedalamnya), selain dari itu sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat yang telah kamu nikmati".

Begitulah hebatnya kuasa Allah yang memaparkan kepada Baginda s.a.w gambaran umat manusia di masa lepas, masa sekarang mahupun akan datang. Kebenaran risalah Allah ke atas manusia ini semuanya terkandung dalam ajaran Islam dan ianya adalah kekal kebenarannya, dulu, kini dan selamanya.

Kembara mikraj Baginda s.a.w berakhir di "Sidratul muntaha" dimana Baginda s.a.w mengadap Allah SWT dengan penuh ta'zim mengucapkan;

"Segala penghormatan, kemuliaan dan keagungan hanya milik Allah".

Dengan jawapan yang qudus Allah SWT berfirman;

"Salam ke atas engkau wahai Nabi serta rahmat dan keberkatan Allah".

Dengan kalimah yang penuh khusuk dan syahdu pula Rasulullah mengucapkan;

"Salam keatas kami dan hamba-hamba yang soleihin".

Serentak para malaikat menyambut dan mendoakan.

Ungkapan bersejarah itu kekal menjadi bacaan "tasyahhud" dalam solat yang kita dirikan 5 waktu sehari semalam.

Kembara Mikraj berakhir dengan penuh hikmah dan barakah menuju kesempurnaan "karamatul Insaniah" apabila Allah SWT menganugerahkan solat 5 waktu sebagi kurniaan kepada Baginda s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh ummatnya. Hikmah penganugerahan solat 5 waktu untuk manusia mensyukuri nikmat Islam dan iman. Dan dengan ibadah solat kita juga dapat merasai kembara mikraj apabila menunaikannya dengan keimanan, penuh penghayatan, ikhlas dan khusyuk kepada Allah SWT.

Sesungguhnya peristiwa israk dan Mikraj memberitahu kita pelbagai bentuk pendidikan dan pengajaran berharga, antaranya;

1. Pengakuan beriman kepada Allah dan hari akhirat perlu dicapai oleh setiap orang hingga ketahap keyakinan yang tinggi dengan merujuk kepada ayat al-Quran dan Hadis yang muktabar. Iman bukan diperolehi dengan angan-angan, bukan suatu ilusi dan khayalan, tetapi kebenaran yang hanya dapat di garap dengan ilmu, amal dan kesabaran.

2. Mengajak manusia kejalan Allah seperti yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w dengan penuh kesabaran dan istiqamah mempunyai nilai yang sangat tinggi disisi Allah SWT.

3. Solat 5 waktu adalah anugerah dari Allah dan merupakan suatu penghormatan kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada umatnya. Menunaikan solat 5 waktu adalah merupakan suatu kejayaan dalam kehidupan didunia dan mendapat ganjaran yang baik dihari akhirat. Pelaksanannya perlu bergantung kepada kekuatan iman dan keyakinan kepada Allah dan Hari pembalasan seperti yang ditentukan oleh Allah SWT.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali orang-orang yang khusuk (iaitu) mereka yang percaya dan yakin bahawa mereka akan menemui Allah dan (mereka yakin) akan kembali kepada Nya". (Al-Baqarah : 45-46)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...