PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

WAKAF SIMPANAN AKHIRAT

Antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah ialah nikmat Islam dan nikmat iman adalah yang paling utama. Dengan nikmat itu, nikmat-nikmat yang lain menjadi bernilai dan berharga di sisi Allah SWT. Maka sewajarnya kita menzahirkan rasa syukur kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7:

"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan demi sesungguhnya! Jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabku amatlah pedih".

Marilah kita bersyukur atas segala nikmat yang telah kita nikmati semasa di dunia ini kerana sekiranya kita hendak menghitung nikmat Allah, nescaya kita tidak akan mampu untuk menghitungnya. Ini jelas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak pernah berkira-kira dengan nikmat dan kurniaan-Nya kepada kita.

Daripada Asma R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sumbangkanlah, janganlah engkau berkira-kira sangat agar Allah tidak berkira-kira pemberian-Nya kepadamu, dan janganlah engkau melonggok-longgokkan hartamu tanpa menyumbangkannya agar Allah tidak bakhil kepadamu". (Muttafaqun ‘Alaih)

Oleh itu, sebagai seorang Islam yang berusaha mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT pastinya sanggup mengorbankan apa jua harta yang dimiliki dan dicintai ke jalan Allah SWT. Dalam erti kata lain, amalan menginfaqkan harta akan meletakkan seseorang pada darjat yang mulia kerana pengorbanan merupakan kebaktian yang besar sebagai seorang hamba kepada penciptanya.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 92:

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".

Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya, seorang sahabat nabi SAW, Abu Talhah RA, sejurus mendengar ayat ini, beliau pun berkata kepada Rasulullah s.a.w.:

"Sesungguhnya harta yang paling aku sayang ialah hartaku di Bairuha dan sesungguhnya hartaku di Bairuha itulah yang kuwakafkan ke jalan Allah SWT".

Kemudian nabi s.a.w pun memuji tindakkannya dan terus baginda menggalakkan Abu Talhah supaya mewaqafkan hartanya itu.

Kita sedar bahawa sikap manusia secara umumnya tidak terlepas dari kongkongan nafsu terutamanya untuk mengejar kekayaan di dunia.

Ini merupakan fitrah manusia yang sememangnya suka kepada harta dunia serta sanggup bekerja siang dan malam untuk mengumpul harta tersebut. Tetapi alangkah baiknya jika ia mewaqafkan harta itu dengan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata, maka itu adalah yang lebih baik baginya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 272;

"Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik (halal) akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan".

Adalah disarankan agar ibadah wakaf ini dapat disuburkan kembali dan dibudayakan dalam masyarakat. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini untuk membuktikan kecintaan kita kepada Allah SWT dengan berwakaf mengikut kemampuan masing-masing. Sesungguhnya harta yang telah diwakafkan menjadi milik Allah SWT.

Justeru, mana-mana pewaris ataupun mana-mana pihak adalah diharamkan untuk menuntut kembali harta yang telah diwakafkan tersebut. Bahkan harta wakaf tersebut tidak boleh dijual, dihadiahkan dan diwarisi oleh sesiapaun. Sekiranya waris-waris pewakaf mengambil semula harta yang diwakafkan ini bererti menyekat pahala atau ganjaran yang diterima oleh pewakaf. Orang yang menuntut semula harta yang telah diwakafkan dianggap sebagai orang yang tamak, bakhil dan menyangkakan akan mendapat keuntungan daripada harta tersebut bahkan sebaliknya adalah merugikan diri mereka sendiri kerana harta tersebut akan dikalungkan ditengkuknya pada hari akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 180;

"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak".

Pesanan untuk semua jemaah yang dirahmati Allah SWT sekalian, untuk sama-sama berlumba-lumba membuat kebaikan dengan mewakafkan harta dengan kemampuan yang ada dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal soleh. Salah satunya dengan melaksanakan ibadah wakaf untuk menambah tabungan akhirat kita sebelum kita kembali kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, harta yang di wakafkan akan kekal disisi Allah SWT dan manakala harta yang disimpan akan habis begitu sahaja.

Kesimpulan daripada tersebut adalah;

Pertama : Harta yang telah diwakafkan adalah hak mutlak Allah SWT.

Kedua    : Setiap harta yang telah diwakafkan haram dituntut oleh sesiapapun termasuk warisnya.
 
"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjankanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya. (Kalau tidak) ia pada saat itu akan merayu dengan berkata " Wahai tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau melambatkan (kedatangan ajal mautku) ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedakah dan dapat pula menjadi orang-orang yang salih. Dan (Ingatlah!) Allah tidak akan sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, Dan Allah amat mendalam pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan". (Al-Munafiqun : 9-11).
 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...