PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

ISRAK DAN MIKRAJ - Mukjizat Dari Yang Maha Agung Untuk Menguji Keimanan

Allah SWT. telah menganugerahkan mukjizat kepada para RasulNya sesuai dengan persaingan dari musuh-musuhnya semasa menyebarkan risalah islamiah dikalangan ummahnya. Mukjizat adalah suatu perkara yang luar biasa, pelik tetapi benar, dan tak mampu dilakukan oleh manusia. Mukjizat yang di anugerahkan Allah kepada para RasulNya tanpa bantuan daripada mana-mana pihak samada jin, syaitan dan makhluk halus seperti yang berlaku keatas tukang sihir, tukang tilik atau tukang tenun. Mukjizat juga berlaku tanpa bantuan sebarang peralatan samada yang kuno mahupun yang moden, atau bantuan kepakaran manusia dengan peralatan canggih dari mana-mana sumber. 

 Mukjizat Allah SWT. keatas para RasulNya adalah ujian keimanan kepada manusia yang melihatnya atau mendengarnya. Mukjizat bukan bertujuan untuk menguasai dan menyihir manusia supaya mempercayai dan menjadi pengikut para rasul secara paksa, bahkan mukjizat adalah bukti kerasulan yang diutus oleh Allah, dan bukti kebenaran ajaran Islam yang di bawanya. 

Firman Allah swt. Dalam surah al-Ankabut ayat 50:

Bermaksud “Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan Aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata". 

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah salah satu antara banyak mukjizat yang di anugerahkan oleh Allah SWT. kepada Baginda SAW. Mukjizat yang sangat istemewa ini datang kepada Baginda saw didasari atas pelbagai cabaran kehidupan sebagai Rasulullah seperti penentangan dan keegoan, ejekan dan pemulauan, penindasan dan ketidak adilan, fitnah dan mehnah oleh kaumnya dalam menyampaikan kebenaran ajaran Islam. 

Mukjizat peristiwa Israk dan Mikraj datang dalam kehidupan Rasulullah SAW di mana ia benar-benar menguji keimanannya dan juga keimanan pengikutnya. Peristiwa ini juga menunjukkan kasih sayang Allah yang tidak membiarkan RasulNya terus dalam keadaan tertekan dengan hambatan dan penentangan ganas kaumnya keatas dakwahnya. Rasulullah telah di bawa berjumpa para Rasul yang diutus sebelum Baginda, melihat alam roh di luh Mahfuz, melihat alam Malaikat di Baitulmakmur dan berakhir di sidratul muntaha. Mudah-mudahan dengan perjalanan tersebut akan terubat duka yang sedang dialami oleh Baginda SAW dan bertambah kukuh keimanan atas segala risalah yang di sampaikannya. Demikian hebatnya manusia agung Rasulullah SAW Nabi terakhir yang dipilih Allah hingga sampai ketahap yang tidak boleh dicapai oleh lain-lain makhluk. Apa yang dialami dan dilalui oleh Baginda SAW sepanjang perjalanan Israk Mikraj itu adalah amat sinonim dengan isi kandungan dakwah di kota Makkah yang berkisar tentang perkara “Ghaybiyyat” atau “sam’iyyat” yang hanya mampu diketahui dari al-Quran dan Hadis dan tidak mampu difikirkan oleh akal manusia. 

 Firman Allah SWT. dalam surah al-Mulk ayat 23: 

Bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur". 
Kalau didunia Baginda SAW dihina dan dicerca kerana menyampaikan kebenaran, lain pula ketika berada di alam langit, alam roh, alam Malaikat dan bahkan di sidratul muntaha, Baginda SAW di beri sepenuh sanjungan dan penghormatan kerana kerja-kerja dakwah dan menegakkan kebenaran yang datang dari Allah SWT. 

Ulamak sepakat menerima bahawa peristiwa Israk dan Mikraj adalah merupakan mukjizat yang hanya dapat di dengar dari mulut Baginda SAW melalui wahyu Allah. Tiada bukti melalui penglihatan yang terlihat dengan mudah terutama oleh penduduk Makkah ketika ianya berlaku. 
Firman Allah SWT. dalam surah al-Isra’ ayat 1 : 

Bermaksud : “Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha mendengar, lagi Maha mengetahui”. 
Mukjizat Israk Mikraj ini melalui dua Fasa perjalanan, Fasa pertama, perjalanan dibumi dari Masjidil Haram merentasi Lembah Tursina (Senai) tempat berlakunya dialog antara Nabi Musa AS dengan Allah SWT serta 
tempat kelahiran Nabi Isa AS di Baitullahem. Fasa kedua iaitu perjalanan dari Masjidil Aqsa ke langit pertama, kedua, ketiga dan seterusnya hingga ke Sidratul Muntaha, dimana Allah SWT menyampaikan kepada Baginda SAW antaranya kewajipan solat lima waktu sehari semalam. 
Mukjizat dari peristiwa Israk dan Mikraj berlaku secara jasad dan roh keatas Nabi SAW, ianya bukan mimpi, di mana Allah SWT berkuasa menjalankan hambaNya Muhammad SAW pada satu malam yang penuh barakah, dengan memperlihatkan beberapa hikmah, pengalaman dan pengajaran untuk di beritahu dan disampaikan kepada ummah. 
Apabila peristiwa tersebut dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah kepada penduduk Kota Makkah, ramai yang menolaknya. Namun saidina Abu Bakar RA. menerima perkhabaran tersebut dan dengan tegas menyatakan :

Aku percaya bahawa apa yang Muhammad ceritakan itu adalah benar dan bahawa dia adalah pesuruh Allah, aku percaya kepadanya tentang halhal yang lebih pelik dari itu. Aku percaya kepadanya tentang berita-berita dari langit yang dibawanya siang mahupun malam; maka bagaimana aku tidak mempercayainya tentang israknya ke Baitulmaqdis yang merupakan suatu kemuliaan yang dianugerahkan Allah kepadanya?”  

Dalam perjalanan Israk Allah SWT telah menemukan Baginda SAW dengan para Rasul Alaihimussalam yang terdahulu di Baitul Maqdis di dahului oleh Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS serta rasul yang lain, dimana Baginda telah diangkat mengimamkan solat. Ulama’ berpendapat ini suatu simbolik kepada kita bahawa Muhammad SAW adalah penghulu kepada para Nabi dan Rasul yang terdahulu, penyerahan kuasa dunia kepada kepimpinannya, dan perpindahan ibu kota pemerintahan dari Baitul Maqdis ke Baitullahilharam (Kota Makkah).
Dalam perjalanan Mikraj pula Allah SWT telah memperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai peristiwa. Di perlihatkan segolongan manusia yang dilimpahi nikmat dan kebahagian kerana amal kebajikan yang mereka lakukan didunia seperti bersolat wajib, bersedekah, berdakwah, berbuat kebaikan sesama insan, berkata benar dan lain-lain. Demikian juga sebaliknya Baginda SAW di perlihatkan keadaan segolongan manusia yang penuh dengan perilaku siksaan dan penyesalan keatas diri kerana perbuatan mungkar dan maksiat semasa hidup didunia. Ianya suatu simbolik kepada kita betapa kebaikan harus dijadikan amalan dan kejahatan pula wajib dihindari walau sekecil mana sekalipun semasa hidup didunia ini. Manusia pasti akan menemui balasan atas setiapa amalan kecil mahupun besar bila tiba masanya nanti. 
Firman Allah swt melalui surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8: 

Bermaksud : “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”. 
Inilah realiti kehidupan yang manusia sewajarnya menjadikan dunia ini tempat untuk mencari ilmu dan beramal dengannya, meningkatkan kebajikan disamping menghindari segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Hakikatnya amal kebajikan atau maksiat dan mungkar yang dilakukan kedua-duanya akan mendapat balasan, kebaikan di balas dengan nikmat, kemungkaran di balas dengan siksaan. Inilah juga realiti yang wajib kita semua terima bila mana akan ada sekumpulan manusia yang bekerja menyambung risalah kenabian dengan mengajak manusia supaya beriman, berilmu dan beramal, disamping menyeru manusia menghindari kejahilan dan melakukan kemaksiatan. 

Perjalanan Mikraj Baginda SAW berakhir dengan menghadap kehadrat Allah SWT di Sidratul Muntaha di mana Allah SWT telah menganugerahkan suatu ibadah iaitu solat lima waktu sehari semalam. Ulama’ menjelaskan bahawa pengurniaan ibadah ini adalah simbolik penciptaan manusia yang dinyatakan sendiri oleh Allah sebagai hamba yang beribadah kepadaNya semata-mata. Dengan perdampingan dan penyerahan diri kepada “Khaliq” melalui ibadah solat sebanyak lima kali sehari semalam hakikatnya manusia mampu untuk mengangkat mertabat dirinya ketahap yang paling baik iaitu orang yang bertaqwa disisi Allah SWT. 
Hadis daripada Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: 
Apa pendapat kamu jika terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah mu yang mana kamu mandi didalamnya lima kali sehari, adakah masih lagi ada kotoran (dibadan mu)? Mereka menjawab, tiada lagi kotoran yang tinggal. Baginda SAW bersabda, demikianlah perumpamaan solat lima waktu, Allah SWT (berkuasa) menghilangkan segala kesalahan dengannya.” (Riwayat  at-Tirmizi) 
Terlalu banyak pengajaran yang boleh dihayati dari peristiwa mukjizat Israk Mikraj yang dapat di ambil untuk manfaat bagi meningkatkan iman dan amal sebagai hamba Allah. Orang beriman adalah mereka yang beriman kepada Allah dan perkara ghaib yang di perolehi melalui perkhabaran AlQuran tanpa perlu menunggu dan melihat bukti mengenainya. Mereka yang beriman pula dengan rela hati dan ikhlas mengerjakan segala perintah Allah tanpa syarat semasa hidup didunia ini.

Demikianlah antara intipati perjalanan Israk dan Mikraj Baginda SAW yang merupakan mukjizat dari Allah SWT. Cukupkah hanya sekadar mendengar perkhabaran peristiwa tersebut tanpa apa-apa rasa teruja untuk menghayati perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat yang menyebar luas ajaran Islam? Ayuh mari sama-sama kita berjihad dan berjuang bagi mengembalikan ajaran Islam dan kebenaran dari diinjak-injak oleh musuh Islam dari golongan kuffar, yahudi dan nasara. Mudah-mudahan nama kita akan tercatit dalam kalangan para syuhada’. Ingatlah Allah SWT tidak akan membiarkan ucapan iman kita kepadaNya tanpa mendatangkan apa-apa ujian atas ucapan lidah kita yang tidak bertulang. 

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”.  (al-Ankabut : 1-2)

  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...