PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

MENGIMPLEMENTASI KESYUKURAN, MEMPERTAHANKAN KEMERDEKAAN

Keamanan dan kemerdekaan sesebuah negara adalah antara nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia. Ia bukan sekadar kebahagiaan yang perlu dinikmati, bahkan ia menuntut kita melahirkan rasa syukur dengan benar-benar menghambakan diri kepada Allah SWT. Semua nikmat itu hendaklah kita renungkan dan syukuri terutama dalam suasana kita meraikan ulang tahun pembentukan negara Malaysia sejak 51 tahun yang lalu.

16 September setiap tahun adalah hari ulang tahun pembentukan negara kita sebagai Malaysia. Ia menggabungkan semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak. Dengan itu, kawasan wilayah tanah air kita juga menjadi lebih luas. Dengan itu juga, jumlah penduduk menjadi bertambah ramai. Bahkan ras bangsa juga menjadi lebih pelbagai. Sejak detik itu, warganegara ini adalah terdiri dari bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Dayak, Orang Asal, Baba Nyonya, Bajau, Murut, Siam dan lain-lain. Inilah ketentuan Allah dan bukannya pilihan bagi setiap manusia.

Apa yang dapat dipilih oleh manusia dalam hidupnya adalah menentukan amalan dan ketakwaan serta akhlak dan tingkah laku. Justeru itu, Tuhan hanya menilai manusia berasaskan kepada faktor itu. Faktor yang boleh dipilih dan ditingkatkan oleh manusia. Mereka boleh berusaha dan membaikinya. Manusia bukan dinilai pada jenis bangsa dan keturunannya kerana mereka tidak dapat menentukan dan memilihnya. 

Hadis daripada Abi Nadhrah RA. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:

“Wahai manusia, Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu, dan sesungguhnya bapa asal kamu adalah sama. Ketahuilah, tiada kelebihan bagi bangsa Arab melebihi orang ‘Ajam (yang bukan Arab), tiada juga kelebihan bagi orang bukan Arab melebihi orang Arab, tiada juga kelebihan bagi yang berkulit merah melebihi yang berkulit hitam, tiada juga kelebihan yang berkulit hitam melebihi yang berkulit merah; kecuali dengan takwa”.  (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Inilah sikap bertakwa dan bersyukur yang sepatutnya ada dalam diri kita. Sikap yang melihat manusia lain sebagai anggota keluarga besar berasal dari keturunan Adam AS. Keyakinan bahawa tingkatan darjat manusia hanya dinilai berdasarkan taqwa kepada Allah SWT. Sikap dan pegangan inilah yang menjadikan manusia dapat hidup sesama mereka dalam keadaan aman dan makmur. Tiada jaminan bahawa nikmat keamanan dan kemakmuran ini akan kekal jika kita tidak memelihara sikap dan tingkah laku kita. 

Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 53:

“Yang demikian itu ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Kemerdekaan dan kemakmuran yang kita rasai dalam negara Malaysia ini adalah salah satu nikmat besar yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Keamanan dan perpaduan rakyat hendaklah kita pertahankan dengan memahami ajaran Islam tentang hubungan antara kaum. Kita hendaklah mengelakkan diri dari menjadi pencetus ketegangan antara mana-mana kumpulan manusia dengan menyalakan api perkauman. Janganlah kita merendahkan manusia lain kerana soal bangsa dan keturunannya. Islam mengajar kita bersikap terbuka menerima manusia lain seadanya, kerana Islam adalah rahmat untuk semua dan rahmat untuk sekalian alam. 

Sebenarnya, yang mengajar kita memainkan sentimen bangsa dan keturunan adalah syaitan. Dia mahu kita bergaduh hanya kerana faktor keturunan, iaitu suatu ketentuan yang tidak dapat dipilih manusia. Lalu ia mngajar manusia bahawa bangsanya lebih baik dari bangsa lain. Syaitan adalah musuh utama manusia, maka sebagai umat Islam hendaklah menjauhkan diri dari sifat dan bisikan-bisikan syaitan tersebut.

Sesungguhnya, Islam telah menjadikan seruannya disampaikan dan didengar oleh seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Sejak awal perutusan baginda Rasulullah SAW, sudah ada pelbagai bangsa yang menjadi pengikut baginda. Ada Bilal bin Rabah, seorang berbangsa Negro berketurunan Habsyah. Ada Suhaib al-Rumi yang berbangsa Rom atau Eropah. Ada Salman al-Farisi, seorang berbangsa Parsi atau Iran. Kemudian ada Abdullah bin Salam dan beberapa rakannya yang berketurunan Yahudi. Sedangkan ramai sahabat yang berbangsa Arab. Inilah hakikat masyarakat dan negara Islam pertama yang dibentuk oleh Rasulullah SAW. Justeru, apa yang lebih penting adalah seluruh warganegara sama-sama mempertahankan kedaulatan, keamanan dan ketenteraman hidup bersama seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah.

Sikap keterbukaan Islam itulah yang memudahkan Islam berkembang dan diterima oleh pelbagai bangsa di dunia selepas itu. Para sahabat tidak pernah mewujudkan sebarang tembok bangsa yang menghalang manusia untuk menerima Islam. Sama ada mereka menerima Islam sebagai agama mereka yang sempurna atau mereka menerima Islam sebagai sistem hidup mereka dalam bernegara sahaja. Islam itulah yang menjadi rahmat untuk semua. 

Sebagai kesimpulan kepada khutbah kita hari ini, 
1. Marilah kita membuang sifat perkauman dan taksub kepada kumpulan yang masih terpendam dalam diri kita.
2. Kita hendaklah berkenalan dengan semua bangsa di dunia sebagai makhluk yang berasal dari keturunan dan bapa yang satu iaitu Adam AS.
3. Kita hendaklah jadikan semua bangsa sebagai sasaran seruan keimanan dan kemanusiaan. Agar semua bangsa dapat hidup dengan aman dan berpeluang membuat pilihan untuk mentaati Tuhan.
4. Semua rakyat pelbagai bangsa diseru kepada asas keadilan yang berhak dirasai oleh semua manusia. Lihatlah bagaimana contoh yang ditunjukkan oleh khalifah Umar bin al-Khattab dalam melaksanakan keadilan itu.
5. Marilah kita mengambil iktibar dari peristiwa atau sirah Nabi SAW. dalam penubuhan negara Islam Madinah yang berlaku adil kepada sesiapa sahaja, walaupun kepada musuh atau orang yang telah melakukan kezaliman.
6. Janganlah kita menghukum dan membalas secara melampau sehingga orang lain membenci kepada Islam.
7. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah bersatu padu dalam memelihara kemerdekaan negara kita Malaysia.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melaksanakan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua), kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (al-Maidah-8).




Sumber : Khutbah JAIS 19 September 2014

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...