PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

BAHAGIAKANLAH IBU DAN AYAHMU

Ayat yang dibaca pada permulaan khutbah ini iaitu Surah Luqman ayat 14 yang bermaksud: 

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya yang telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah (dari awal mengandung hingga akhir susuannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu serta kepada Aku jua tempat kembali”.

Berdasarkan ayat ini, Allah telah mewajibkan kepada semua manusia untuk mengasihi dan membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa dengan penuh kasih sayang kerana sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka sungguh tidak terkira. Namun kini, jika kita perhatikan di dada-dada akhbar, berita mengenai anak derhaka, anak mengusir ibu, anak mengacu pisau ke arah ibu, menjadi satu fenomena biasa. Benarlah, antara salah satu tanda kiamat ialah ramainya golongan manusia yang menjadi anak derhaka. Di manakah rasa hormat dan belas kasihan pada ibu bapa yang sanggup bergadai nyawa demi anak-anak? Betapa luluhnya hati seorang ibu apabila diperlakukan sedemikian rupa oleh anak kandungnya sendiri. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan tersebut.

Marilah sama-sama kita membuka mata ahli keluarga kita dan masyarakat supaya mengasihi kedua-dua ibu bapa, renungilah setiap pengorbanan serta titisan peluh ibu bapa yang mengalir untuk menjaga kita sejak kecil hingga dewasa. Insan yang tersayang yang bergelar ibu, merupakan insan yang mengandungkan kita, melahirkan serta membesarkan serta mendidik kita hingga menjadi dewasa. Begitu juga dengan seorang ayah, yang merupakan insan yang sedikit pun tidak mengeluh walaupun penat bekerja mencari rezeki demi menyara kehidupan keluarga. Betapa besarnya pengorbanan mereka kepada kita.

Dalam melayari kehidupan ini, tanpa mereka berdua siapalah kita. Tanpa ibu bapa, tidak mungkin kita dapat melihat dunia ini. Maka, tanyalah diri kita, wajarkah kita melukakan hati mereka? Wajarkah kita membiarkan mereka begitu sahaja menghabiskan hari-hari tua mereka? Oleh sebab itu,
Allah telah memerintahkan kita supaya mensyukurinya dengan menghargai pengorbanan ibubapa.

Mentaati ibu bapa dan berbuat baik kepada mereka adalah sebesar-besar kebajikan yang menghampirkan seorang hamba kepada penciptaNya. Sikap ini akan menambahkan lagi kasih sayang terhadap mereka. Benar, ibu bapa tidak mengharapkan balasan wang ringgit serta kemewahan daripada anak-anak mereka, sebaliknya mereka hanya mengharapkan perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak sahaja. Apabila sempurnanya kasih sayang serta perhatian dalam keluarga, akhirnya akan terbinanya masyarakat yang soleh, penuh kasih sayang dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Hadis daripada al-Miqdam Bin Ma’di Karib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu (untuk berbakti) dengan ibu–ibumu (diulang tiga kali), sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu (untuk berbakti) kepada bapa-bapa kamu, sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu (untuk berlaku baik) kepada keluarga yang terdekat, maka utamakanlah yang lebih dekat”.  (Riwayat Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita bahawa orang yang paling utama untuk kita taati, berbakti dan berbuat baik ialah ibu kita. Setelah itu, berlaku baik kepada ayah kita dan seterusnya ialah ahli keluarga kita yang terdekat. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi, ibulah insan yang paling banyak berkorban dan bersusah payah untuk memberikan yang terbaik untuk kita, ibulah yang mempertaruhkan nyawanya untuk melahirkan kita, menderita dan bersusah payah membesarkan kita. 

Dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh para sahabat yang bermaksud;

Apakah tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapanya?” sabda baginda SAW; Mereka berdua adalah syurgamu ataupun nerakamu”.  (Riwayat Ibnu Majah).

Hadis ini menjelaskan kepada kita akan tanggungjawab yang perlu kita galas dan laksanakan terhadap ibu bapa. Hal ini kerana sikap kita terhadap ibu bapa merupakan penyebab sama ada, syurgakah atau neraka tempat kembalinya kita.

Dalam memperkatakan hal ini, hadis daripada Muawiyah Bin Jahimah as-Sulami RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Lazimilah (mentaati dan berbakti) kepada ibu kamu kerana syurga itu di bawah tapak kakinya” (Riwayat An-Nasaie).

Benar, setiap perbuatan itu ada balasannya. Allah telah menjanjikan kebaikan yang tidak terkira terhadap ketaatan dan amal bakti yang dicurahkan oleh seorang anak kepada ibu bapanya. Antaranya,

Pertama; Mentaati ibu bapa, dapat menambahkan umur dan meluaskan rezeki. 

Hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
Sesiapa yang suka bahawa dilanjutkan usianya dan ditambah rezekinya hendaklah ia berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya dan menyambungkan kasih sayangnya (iaitu terhadap mereka)”. (Riwayat Imam Ahmad).

Kedua; Berbakti kepada ibu bapa menghapuskan dosa.

Hadis daripada Ibnu Umar RA menceritakan bahawa seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah SAW lalu berkata, “wahai Rasulullah!, bolehkah aku bertaubat?” maka baginda bersabda, “adakah kamu mempunyai ibu?” Jawab lelaki itu, “tiada”. Lalu, baginda bertanya lagi, “adakah kamu mempunyai ibu saudara perempuan?” jawabnya, “ya!”. Sabda baginda “berbaktilah kepadanya”. (Riwayat at-Tirmizi).

Oleh yang demikian, amat jelas sekali, betapa pentingnya berbakti kepada ibu bapa, meskipun kepada saudara ibu bapa. Hal ini kerana dengan berbakti, seorang anak dapat menghapuskan dosa-dosa besar.

Ketiga; Berbakti kepada ibu bapa menjamin masuk syurga. 

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

Celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia,”. Lalu baginda ditanya: “Siapa ya Rasulullah?” jawab Rasulullah SAW, “Sesiapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah seorang daripada keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan memelihara orang tuanya sebaik-baiknya). (Hadis Riwayat Muslim).

Islam amat menitikberatkan tentang syariat berbakti kepada ibu bapa melebihi segala-galanya sehinggakan ia mestilah didahulukan daripada jihad di jalan Allah.

Hadis daripada Abdullah B. Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan meminta izin untuk turut serta dalam berjihad. Nabi SAW bertanya kepadanya: “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?” lelaki tersebut menjawab “ya, mereka masih hidup”. Baginda SAW bersabda, “Berbakti kepada keduanya adalah jihad”. (Riwayat Imam Muslim).

Maka kita sebagai umat Islam hendaklah;

1. Mentaati dan mematuhi kedua ibubapa melebihi segala-galanya selagi mana mereka tidak menderhakai Allah SWT.
2. Mengutamakan kasih saying terhadap ibubapa dengan menghormati dan membalas jasa mereka.
3. Umat Islam dilarang menyakiti hati ibubapa kerana balasannya adalah neraka Allah SWT.

Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau keduaduanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.  (Surah al-Isra’ : 23).



Teks Khutbah JAIS 20-05-2016

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...