PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

KE ARAH MANAKAH HIBURAN MASA KINI?


Islam merupakan agama yang cukup sempurna merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam surah Al-Maidah ayat ke 3 

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”.

Bagi menjamin kesejahteraan hidup ini, Islam telah memberikan pelbagai garis panduan untuk dilaksanakan oleh setiap individu muslim, termasuklah dalam aspek hiburan. Secara umumnya hiburan mempunyai skop yang amat luas sama ada berbentuk permainan, percakapan, lakonan mahu pun nyanyian. Namun apabila kita melihat fenomena hiburan yang melanda masyarakat hari ini, kita dapati sebahagian masyarakat lebih cenderung kepada hiburan yang berbentuk nyanyian dan juga lakonan.

Berhibur memang tiada salahnya kerana hiburan itu sendiri melambangkan suatu seni yang indah. Ini diakui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadith daripada Ibnu Mas’ud r.a.:

Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan”. (Riwayat Muslim).

Di dalam sebuah hadith yang lain diriwayatkan bahawa Sayyidatina ‘Aisyah r.a. pernah membawa seorang pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki dari kaum Ansar, maka Nabi s.a.w. bertanya:

Wahai Aisyah, tidak adakah hiburan pada mereka sebab orang-orang Ansar itu menyukai hiburan?” (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Hadith ini menunjukkan bahawa secara umumnya, hiburan itu adalah sesuatu yang diharuskan Islam. Namun Islam telah menetapkan bahawa ia mestilah dilakukan secara sederhana dan tidak keterlaluan sehingga melalaikan manusia daripada mengingati Allah Subhanahu Wata’ala. Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi telah memberikan beberapa garis panduan yang harus dipelihara ketika berhibur terutamanya hiburan yang berbentuk nyanyian, antaranya:-

1. Tema atau isi kandungan lagu itu mestilah sesuai dengan adab dan ajaran Islam.
2. Tidak boleh mengalunkan suaranya dengan tujuan membangkitkan rangsangan berahi.
3. Tidak ada percampuran bebas antara lelaki dan wanita dan sebagainya. 

Sekiranya garis panduan tersebut tidak dipatuhi, maka hukum harus pada nyanyian tersebut boleh berubah menjadi syubhat atau pun haram. Aktiviti-aktiviti hiburan yang dijalankan pada masa kini kebanyakannya tidak memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan. Bahkan kita dapati kebanyakannya dipenuhi dengan unsur-unsur yang melalaikan seperti terlalu memuja kecantikan manusia, senikata yang berunsur percintaan yang mengasyikkan, lawak jenaka yang berlebih-lebihan, mendedahkan aurat, gaya tarian yang menggiurkan dan lain-lain lagi. Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa hiburan-hiburan sebegini begitu mudah mempengaruhi jiwa anak-anak remaja kita.

Berdasarkan kajian-kajian tersebut, bolehlah dikatakan bahawa masyarakat di tanahair kita, terutamanya golongan remaja amat meminati hiburan seperti ini di samping hiburan lain yang diimport dari luar. Kita telah sedia maklum bahawa kesemua jenis muzik yang disebutkan itu merupakan sumber penyebaran budaya negatif di kalangan masyarakat kita. Pembawaan muzik ini amat pantas mempengaruhi identiti dan penampilan anak-anak muda kita. Di antara contoh yang sering kita lihat adalah cara mereka berpakaian yang sering berubah mengikut trend yang dibawa oleh artis-artis yang mereka minati.

Ada yang mewarnakan rambut, ada juga kaum lelaki yang bertindik, memakai anting-anting, ada yang memakai seluar londeh, baju T singkat sehingga menampakkan pusat dan lain-lain lagi. Kesemua ini dilakukan semata-mata kerana ingin meniru gaya yang dibawakan oleh artis-artis kesayangan mereka. Seringkali kita lihat di dalam konsert-konsert ini, para penonton terutamanya anak-anak muda akan terjerit-jerit apabila seorang artis menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka. Mereka melonjak-lonjak dan menari sesama mereka dalam keadaan yang sukar dikawal. Selain daripada itu, penampilan buruk sebahagian para artis ini juga sering dijadikan ikutan mereka. 

Keadaan ini menunjukkan betapa identiti mereka sebagai umat Islam sangat tercemar. Pergaulan di kalangan anak-anak muda yang tidak terkawal ini sebenarnya merupakan antara punca berlakunya masalah-masalah sosial lain yang lebih serius. Antaranya;

1. Masalah lari dari rumah.
2. Masalah zina dan bersekedudukan di kalangan remaja.
3. Masalah anak luar nikah.
4. Pembuangan bayi dan lain-lain lagi.

Tidak ketinggalan juga, fenomena ini terdapat di kalangan orang-orang dewasa dan lanjut usia. Ada di kalangan mereka terlibat dengan hiburan yang melalaikan seperti dangdut dan karaoke. Kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian, Dalam suasana lalai sebegini, bagaimanakah mereka mampu menunaikan tuntutan solat yang diwajibkan ke atas diri mereka apabila tiba waktunya?. Amatlah malang bagi mereka yang melalui situasi sebegini. Mereka hanya inginkan keseronokan hidup tanpa memikirkan dosa atau pun pahala. Walhal, sebagai seorang muslim, kita seharusnya sentiasa menyedari hakikat bahawa Allah menciptakan manusia bukan untuk berseronok-seronok tetapi yang lebih utama adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam surah Al-Mukminun ayat ke 115;

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian, Sebenarnya, dalam Islam, hiburan seharusnya dapat memberikan kerehatan kepada manusia setelah penat bekerja seharian. Hiburan juga seharusnya dapat menghilangkan kerisauan dan kedukaan yang dialami oleh manusia. Seterusnya dapat memberikan ketenangan dan keselesaan kepada mereka untuk melaksanakan ibadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Selain daripada itu, hiburan juga seharusnya dijadikan sebagai salah satu wasilah untuk mendidik generasi muda ke arah kebaikan. Namun realitinya sekarang ini, kebanyakan hiburan yang dipertontonkan sudah menyimpang jauh dari tujuannya yang asal. Ianya lebih bersifat komersial dan mencari keuntungan semata-mata tanpa memikirkan baik buruknya. 

Oleh itu, hiburan-hiburan yang menyimpang ini mestilah dikawal daripada terus merosakkan akhlak masyarakat kita terutamanya muda mudi. Manakala rancangan-rancangan yang lebih bermanfaat di media elektronik hendaklah diperbanyakkan seperti rancangan berbentuk ilmiah dan maklumat semasa, yang seharusnya lebih ditonjolkan sebagai alternatif yang baik kepada masyarakat kita. Mudah-mudahan dengan cara ini akan dapat mendidik dan membentuk masyarakat terutamanya generasi muda menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Dan di antara manusia ada yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan". (Luqman : 6)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...