PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

MENGAMATI ERTI MERDEKA


Marilah pada Bulan kemerdekaan dan dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini kita menggarap amal ibadah kita untuk membebaskan diri kita daripada kekangan dosa dan maksiat. Iaitu yang didorong oleh nafsu dan syaitan kepada bertaqwa pada Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata dengan menjunjung segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya; mudah-mudahan ibadat kita sentiasa diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Ramai orang telah memahami merdeka sebagai lepas bebas daripada sesuatu belenggu yang mencengkam kehidupan. Seolah-olahnya manusia terus terlepas daripada pengawasan Allah dan bebas berbuat sesuatu sekalipun berlawanan dengan hukum-hakam Allah dan adab budaya bangsa. Pemikiran seumpama inilah yang bakal mengundang lahirnya manusia-manusia kufur dan engkar kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan munculnya amalan-amalan songsang dan lahirnya gejala-gejala sosial yang menular akhirnya membawa kerosakan di atas muka bumi Allah ini.

Dewasa ini ramai manusia menuntut hak-hak mereka agar dikotakan sekalipun bertentangan dengan ajaran agama dan atas nama kebebasan. Merdekalah mereka dengan sanggup berjuang sekalipun bercanggah dengan Islam. Kaum wanita menuntut persamaan hak dengan kaum lelaki seperti pembahagian harta pusaka, menuntut persamaan hak dalam kepimpinan dan hak mengimami solat. Mereka menuntut sebagai ketua keluarga dan tuntutan-tuntutan persamaan hak lain termasuk usaha menggugat perkahwinan. Sedangkan sekiranya semua perkara ada kesamarataan seperti yang dituntut sudah pasti ciri-ciri kewanitaan yang ayu, lembut dan sopan tidak akan wujud lagi. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An-Nisa' ayat 32 menerangkan:

"Janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

Ayat ini jelas, bahawa walaupun wanita menuntut persamaan hak atas nama kebebasan tetap terbatas kemampuan dan keterampilannya, kerana Allah Subhanahu Wata'ala telah menetapkan batasan-batasan wanita yang diciptakan-Nya.

Atas dasar kebebasan menuntut hak asasi di Barat, telah muncul kelab-kelab gay dan lesbian yang menuntut kebebasan untuk mereka boleh berkahwin sesama jenis dan perempuan-perempuan sundal menuntut lesen pelacuran atas nama mencari rezeki.

Begitu juga munculnya fenomena hidup gaya bebas di kalangan masyarakat. Bukan hanya muda mudi dan para remaja sahaja yang menjadikan barat kiblat mereka, akidah, akhlak dan syariat amat jauh dari penghidupan mereka. Lantas cara berfikir, sikap dan tindakan mereka saling tidak tumpah umpama golongan yang tidak percaya wujudnya Tuhan. Maka wujud Pesta-pesta Liar dihidangkan arak, lelaki dan perempuan bercampur dan bertukar-tukar pasangan. Pergaulan bebas yang menjadi-jadi ini akhirnya akan memporak- perandakan masyarakat. Apakah kebebasan seumpama ini yang menjadi kebanggaan generasi hari ini?.

Laporan Berita Harian 20/06/2010 amat mengejutkan kita kajian bertajuk: ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual' oleh Universiti Putra Malaysia mendedahkan lebih 300 daripada 400 responden berusia antara 13 hingga 25 tahun remaja Melayu Islam termasuk remaja-remaja sekolah menengah daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di bandar dan luar bandar sekitar Lembah Klang mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas. Kira-kira 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu, merasa tidak kesal, malu, takut atau berdosa di atas perbuatan mereka.

Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UPM yang mengetuai kajian itu berkata, ada responden mengakui terdedah kepada ‘dunia seksual' seawal sekolah rendah, termasuk muat turun gambar lucah melalui telefon bimbit, menonton video lucah dan melayari Laman Web Pornografi.

Sekiranya umat Islam dan kepimpinannya tidak tegas menghalang berleluasanya kerosakan ini dengan kembali kepada Islam dan menjadikannya cara hidup masalah ini akan mengundang malapetaka dan bencana menimpa kita. Hadith Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam riwayat Imam At-Tarmizi menegaskan:

"Suruhlah manusia berbuat kebaikan dan cegahlah mereka daripada melakukan kemungkaran atau jika tidak melaksanakannya nescaya seksaan Allah boleh jadi akan mengenai kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar seksaan itu dapat dihentikan maka permohonan kamu tidak diterima lagi".

Begitu juga Firman Allah yang meminta kita melaksanakan hukum-hakam-Nya kerana hanya pelaksanaan peraturan Allah inilah jalan keluar daripada kemelut yang berlaku. Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 48:

"Maka jalankanlah hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah Engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)."

Ini bermaksud kemerdekaan yang sebenar hanyalah apabila hidup kita di dunia bebas melaksanakan ajaran dan menegakkan hukum Allah, yang mampu membebaskan manusia dari belenggu maksiat dan penderhakaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, yang akan membawa keselamatan, keamanan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Islam meletakkan hak kebebasan bagi manusia sejak mula dilahirkan di atas muka bumi ini. Setiap manusia dilahirkan dengan bebas. Sebab itu Saiyidina Omar Al-Khattab pernah mengatakan "Bagaimana kamu memperhambakan sesama manusia pada hal dia telah dilahirkan bebas merdeka?".

Hak kebebasan manusia hendaklah dipertahankan. Ketika musuh Islam telah menjajah umat Islam dan melaksanakan cengkaman serta penindasan, terhadap umat Islam, wajib bagi umat Islam berjuang untuk memerdekakan ummah dan tanahair dari belenggu penjajahan itu.

Banyak erti kebebasan dan kemerdekaan yang kita tanggapi termasuk kebebasan bercakap, kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, kebebasan berkarya dan lain-lain. Apa pun yang penting ialah:

1. Membebaskan manusia daripada penyembahan dan pendewaan terhadap benda kepada menyembah Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 22:

"Janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Esa)".

2. Membebaskan diri dari pendewaan sesama manusia, kerana hanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata disembah. Firman Allah dalam Surah Al-Fatihah ayat 5:

"Hanya kepada Engkaulah (Ya Allah) yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan".

3. Membebaskan diri daripada sebarang kezaliman, bebas dari perbuatan keji dan mungkar dan mesti memperjuangkan kebenaran dan keadilan sejagat. Firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 90:

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta melakukan kezaliman".

4. Membebaskan diri daripada perhambaan hawa nafsu. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Furqan ayat ke-43:

"Apakah engkau melihat (bagaimana peliknya) orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan yang dipuja lagi ditaati?."

5. Membebaskan diri daripada syaitan dan daripada segala bentuk thoghut dan fahaman-fahaman jahiliyyah yang menentang Islam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az-Zumar ayat 17:

"Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja toghut serta mereka rujuk kembali taat sesungguh-sungguhnya kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku".

Kita meyakini sekiranya manusia mampu membebaskan atau memerdekakan diri dari belenggu lima perkara ini, manusia akan berada dalam suasana aman, bebas dan merdeka secara hakikinya.

Sempena kita menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 53 ini, kita berusaha untuk membebaskan diri kita bukan sahaja dari belenggu penjajah tetapi yang penting ialah merdeka dari sifat-sifat malas, lemah, mundur, jahil kepada sifat rajin, kuat, maju, berilmu dan beramal. Marilah kita membebaskan diri kita daripada gejala seperti kerosakan akidah, keruntuhan akhlak, kejahilan syariat kepada akidah yang mantap lagi mendalam, akhlak yang baik lagi terpuji, faham syariat dan memperjuangkannya. Dengan demikian akan terserlahlah erti kemerdekaan yang sebenar, lahirlah generasi soleh dan negara turut makmur.

(Al-A'raf:96)

"Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-ruah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".


Sumber : JAIS

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...