SABTU 31 Julai 2010 - Mesyuarat Agung tahunan Masjid Taman Cheras Jaya (MTCJ) dihangatkan sekali lagi dengan masalah-masalah yang berpusarkan pentadbiran sekolah agama rakyat di Cheras jaya iaitu KAFA Integrasi Manbaeil Uloom (KIMU).
Mesyuarat Agung Kali Ke-14 tersebut, yang dirasmikan oleh Penghulu Mukim Cheras, Tuan Haji Mohd Radzuan bin Khalid dan dipengerusikan oleh Nazir Masjid, Tuan Haji Azman bin Haji Idris, menunjukkan bahawa seperti mesyuarat agung tahun lepas, ramai ahli kariah masih membangkitkan masalah pentadbiran KIMU.
Meskipun Pengerusi mesyuarat telah menjelaskan bahawa KIMU tidak tertakluk di bawah pentadbiran Masjid MTCJ, ahli-ahli kariah mengkehendaki bahawa pihak pengurusan Masjid membuat sesuatu untuk menyelesaikan kemelut tersebut. Ada juga ahli kariah yang mencadangkan supaya pentadbiran KIMU diamblialih oleh Masjid tetapi Pengerusi menjelaskan bahawa ini tidak mungkin berlaku berdasarkan peraturan Pejabat Agama yang sedia ada.
Adalah didapati bahawa ramai dikalangan masyarakat Islam di Cheras Jaya menganggap bahawa pengurusan KIMU adalah dibawah MTCJ. Persepsi ini mungkin timbul kerana KIMU, yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat Manbaeil Uloom, telah pada mulanya diasaskan dan ditadbir oleh Masjid.
Pada ketika itu KIMU ditadbir oleh AJK yang dilantik oleh pengurusan Masjid. Namun demikian, apabila pentadbiran KIMU tidak lagi duduk dibawah Masjid, AJK yang sedia ada itu telah terus mentadbir KIMU sehingga sekarang.
Pada masa yang sama masalah KIMU kerap dibangkitkan dalam mesyuarat agung masjid kerana para ibu bapa dan ahli kariah tidak ada sebarang forum lain untuk berbuat sedemikian. Ini adalah kerana pihak pentadbiran KIMU tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat agung ataupun mesyuarat PIBG.
Mesyuarat seterusnya meluluskan usul tergempar yang dibawa oleh seorang ahli kariah mengkehendaki bahawa Masjid MTCJ menghantar surat kepada PAID dan mendesak supaya KIMU mengadakan mesyuarat agung perlantikan AJK baru.
Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, Tuan Haji Mohd Radzuan telah menyeru pihak Masjid supaya mempertingkatkan program-program untuk remaja sebagai langkah menangani gejala sosial yang melanda golongan tersebut.
Beliau seterusnya menegur bahawa kehadiran solat tarawih di masjid-masjid agak songsang kerana jemaah paling ramai ialah pada awal bulan. Kehadiran ahli jemaah mula berkurangan di pertengahan bulan dan semakin merosot di penghujungan bulan.
Ini bercanggah dengan amalan Rasulullah s.a.w yang menitikberatkan penghujung bulan Ramadhan untuk mempertingkatkan amalan kerana di situlah terdapat malam Lailatul Qadr.
Beliau seterusnya menggariskan beberapa program yang diadakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk kebajikan warga Selangor dan menyeru ahli kariah yang layak supaya mengambil manfaat.
Antaranya ialah :
1. Skim Mesra Usia Emas (SMUE)
2. Skim TAWAS, iaitu Tabung Warisan Anak Selangor
3. Skim untuk IPTA/IPTS di mana setiap pelajar diberi RM1,000.00 (Syarat pendapatan bulanan di bawah RM1,500.00)
Beliau memaklimkan bahawa borang-borang permohonan untuk skim-skim tersebut boleh didapati dari pejabat ADUN atau di pejabat beliau sendiri iaitu Penjabat Penghulu (berhampian Masjid Kuning, Batu 10 Jalan Cheras)
Sumber :Risalah Masjid Taman Cheras Jaya Bil.12 Ogos 2010.
No comments:
Post a Comment