PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

HIKMAH DI SEBALIK RAMADHAN


Ramadhan merupakan anugerah yang amat istimewa, dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala khusus kepada umat Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam anugerah yang tidak diberikan kepada umat-umat yang lain ini mengandungi seribu satu hikmah dan kebaikan yang seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam keseluruhannya.

Bulan Ramadhan diibaratkan seperti sebuah Institusi Pendidikan yang terpenting di dalam Islam. Ia merupakan suatu tempoh yang terbaik untuk mendidik jiwa setiap umat Islam agar menjadi insan yang berakhlak mulia. Ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilaksanakan di dalam bulan ini merupakan suatu proses tarbiyyah yang akan menghasilkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Amalan menahan diri dari makan minum, nafsu syahwat dan perkara-perkara maksiat di samping sentiasa taat mengerjakan suruhan Allah di sepanjang tempoh berpuasa adalah merupakan latihan yang paling berkesan untuk mendidik jiwa manusia supaya sentiasa tunduk kepada kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala. Manusia tidak akan dapat menumpukan seluruh ketaatannya kepada Allah Subhanahu Wata'ala selagi kantong perutnya masih dipenuhi makanan yang menjadi punca pembiakan nafsu syahwat dalam diri mereka.  

Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

"Seseorang yang meninggalkan puasa walau sehari di bulan Ramadhan tanpa sebab yang diizinkan dan keuzuran, nescaya tidak akan dapat melunaskan puasa tersebut walaupun ia berpuasa sepanjang tahun".

(Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Ibadah puasa di bulan Ramadhan, jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan dengan rasa kehambaan akan melahirkan individu yang memiliki jiwa dan jati diri yang kental di samping dapat menzahirkan diri dengan sifat-sifat yang terpuji. Puasa adalah ibarat perisai yang dapat digunakan untuk menghindari diri kita dari sifat-sifat mazmumah seperti mengumpat, mencerca, memaki hamun dan lain-lain lagi. Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah yang bermaksud;

"Puasa adalah perisai, apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata yang tidak elok atau kesat, jika ada orang mahu membunuhnya atau memakinya maka katakanlah kepadanya; sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa".

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya peluang untuk membina sifat-sifat mahmudah dalam diri kita terbuka luas di dalam bulan Ramadhan. Ini kerana pada ketika ini setiap umat Islam berada dalam keadaan berpuasa, sama-sama menahan lapar dan dahaga serta masing-masing berusaha merebut kelebihan yang ada di bulan ini. Ianya bertepatan dengan Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Ali ‘Imran ayat 133 yang menggalakkan umat manusia supaya berlumba-lumba mengerjakan kebaikan;

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"

Ramadhan merupakan bulan kemuliaan. Bulan ini telah dipilih oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menurunkan wahyu-Nya kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alahi Wasallam sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah".

Penurunan Al-Quran pada bulan Ramadhan ini adalah merupakan titik permulaan perpindahan umat manusia dari zaman kegelapan kepada cahaya keimanan, jahiliah kepada Islam dan daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Esa. Maka seharusnya, dengan peristiwa dan bulan yang bersejarah inilah umat Islam terus digalakkan memperbanyakkan membaca, mentadabbur dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran. Ini semua adalah sebagai tanda kesyukuran atas nikmat keimanan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Amalan membaca dan khatam Al-Quran yang dijadikan aktiviti wajib bagi sesetengah masjid di sepanjang bulan Ramadhan haruslah diteruskan dan diberikan sokongan oleh semua pihak. Ini adalah kerana ia merupakan salah satu syi'ar yang dapat mendekatkan umat Islam kepada Al-Quran. Aktiviti ini juga seharusnya menjadi titik permulaan bagi umat Islam untuk terus mengamalkannya pada bulan-bulan yang lain.

Bulan Ramadhan ini juga telah dipilih oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menganugerahkan satu malam yang amat bernilai kepada umat Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu malam Al-Qadr. Nilai amalan pada malam ini adalah lebih baik dari beramal seribu bulan. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al-Qadr ayat 3 ;

Maksudnya;

"Malam Al-Qadr itu  lebih baik daripada seribu bulan".

Sememangnya umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak diberikan umur yang panjang oleh Allah Subhanahu Wata'ala berbanding umat-umat yang terdahulu. Mereka mampu beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam jangka masa hingga ratusan tahun. Manakala bagi kita umat akhir zaman ini, perkara tersebut pasti mustahil dilakukan memandangkan usia kita yang hanya menjangkau sekitar lapan puluh tahun sahaja.  Namun kita sebagai umat Islam akhir zaman sebenarnya sangat beruntung kerana diberikan keistimewaan beramal ibadah dalam satu malam yang ganjarannya lebih baik dari seribu bulan.

Bulan Ramadhan yang sedang kita lalui ini juga sebenarnya mengajar umat Islam erti kasih sayang dan belas kasihan terhadap sesama insan. Detik lapar dan dahaga yang kita rasai di sepanjang hari berpuasa seharusnya menyedarkan kita akan nasib yang menimpa saudara seagama kita di sudut-sudut dunia yang lain seperti di Afghanistan, Kasymir mahupun di Palestin dan lain-lain negara. Mereka bukan sahaja kelaparan kerana kekurangan sumber makanan, bahkan mereka juga menghadapi tekanan dan kepungan musuh-musuh yang sengaja ingin menghancurkan umat Islam. Cabaran dan dugaan yang mereka hadapi sudah semestinya jauh lebih hebat dari apa yang kita rasai di tanahair kita ini.

Oleh kerana itu, perasaan belas kasihan yang wujud di dalam diri kita ini seharusnya dapat diterjemahkan melalui bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh saudara seagama kita. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda di dalam sebuah hadith yang maksudnya:

"Sesiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin maka tidak  termasuk kalangan mereka."

Amalan bersedekah dan memberi sumbangan terutamanya di bulan Ramadhan juga secara tidak langsung dapat menghilangkan sifat bakhil dan kedekut yang bersarang di dalam diri kita. Sifat ini amat dibenci dan dimurkai oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Adapun pahala bagi orang yang bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada orang lain yang lebih memerlukan amatlah besar di sisi Allah Subhanahu Wata'ala terutamanya jika dilakukan di dalam bulan Ramadhan. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya:

"Sesungguhnya sedekah seorang muslim itu memanjangkan umurnya, menghindarkannya menghadapi kematian yang buruk, ia dihindarkan Allah sifat-sifat keangkuhan dan kesombongan."

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud;

"Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, maka diampunkan Allah dosa-dosanya yang telah lalu".
(Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya hikmah dan pengajaran yang terkandung di dalam bulan Ramadhan ini amatlah besar bagi sesiapa yang mahu menghargainya. Apa jua bentuk ganjaran yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam bulan ini, maka seharusnya menjadi perangsang kepada kita semua untuk terus berusaha meningkatkan lagi kualiti ibadah kita kepada-Nya sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat-nikmat-Nya. Ianya tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja kerana nikmat-nikmat yang dicurahkan ini hanyalah terbatas di dalam bulan yang mulia ini sahaja.

(Az-Zumar: 7)

"Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmat-Nya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan kamu; dan ia tidak redhakan hamba-hamba-Nya berkeadaan kufur. Jika kamu bersyukur, Ia meredhainya menjadi sifat dan amalan kamu. (Ingatlah) seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan hanya memikul dosa usahanya sahaja), kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, lalu Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada".


Sumber : JAIS

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...