Hari ini seluruh umat Islam di dunia meraikan ‘Idulfitri. Mereka menyatakan kesyukuran dengan bertasbih, bertahmid memuji Allah dan bertakbir mengagungkan-Nya sebagai tanda kegembiraan kerana berjaya memerangi nafsu dan pengaruh syaitan sepanjang bulan Ramadhan. Nafsu adalah musuh utama dan paling besar terhadap manusia. Mereka yang berjaya mengalahkan pengaruh nafsu dan syaitan itulah orang yang bertaqwa kepada Allah.
Allah SWT. telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
“Wahai orang-orang yang beriman!, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.
Bukti taqwa yang lahir dari kesan Ramadhan itu berada dalam diri kita:
Pertama : Kita akan sentiasa bersemangat untuk menunaikan perintah Allah dengan ikhlas.
Kedua : Kita akan terus merasa bimbang jika ketinggalan untuk mengerjakan perintah Allah.
Ketiga : Kita akan sentiasa menjaga diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Keempat : Kita akan terus menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk ke jalan yang benar, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.
Kelima : Kita akan merasa perubahan pada diri ke arah yang lebih baik, lebih berintergriti, telus dan berkeperibadian soleh.
Ini adalah kerana Al-Quran yang diturunkan di bulan ramadhan itu, berautoriti menjadi petunjuk untuk membimbing manusia ke jalan yang benar, berautoriti menjadikan seseorang muslim itu mampu memikul amanah, bertanggungjawab dan melaksanakannya dengan baik. Kesannya kita akan menjadi orang yang ceria dan bahagia dengan nur hidayah Allah SWT. Maka wajarlah hari ini, kita semua bergembira dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid sebagai tanda syukur kita menjadi hamba-Nya yang bertaqwa.
Saban tahun, selepas kita berpuasa Ramadhan dan membayar zakat fitrah, kita menyambut ‘Idulfitr, kita menunaikan solat sunat ‘Idulfitr, bertakbir membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya. Maka nama Allah begitu agung bermain-main di bibir kita. Tetapi agungkah Allah dalam kehidupan kita?, agungkah Allah dalam makan minum kita?, agungkah Allah dalam harta yang kita miliki?. Agungkah Allah dalam gelaran dan pangkat kebesaran kita?. Agungkah Allah dalam perjuangan hidup kita?, agungkah Allah dalam bilik-bilik pejabat kita?, agungkah Allah dalam organisasi yang kita bertungkus lumus kerananya?. Agungkah Allah dalam negeri dan Negara kita yang kita pertahankan bermati-matian?. Jangan sampai yang kita agung-agnungkan itu, hanyalah sekadar mengagungkan nafsu yang kita kuburkannya di bulan Ramadhan, kemudian kita suburkannya semula selepas Ramadhan.
Sebagai umat Islam yang mahu kepada perubahan sebenar, bengkel Ramadhan banyak membantu kita mencapai taraf manusia bersopan santun dan berhati murni. Ibn ‘Athaillah dalam kitabnya “Al-Hikam” menyatakan;
“Bahawa pengaruh nafsu “haiwaniyyah” di dalam hati tidak akan dapat dibersihkan, kecuali dengan adanya dua perkara dalam hatinya”:-
Pertama : Seseorang itu mestilah merasa takut dan gerun terhadap Allah SWT.
Kedua Seseorang itu mestilah merasa kasih dan rindu kepada Allah SWT.
Kenapa nafsu haiwaniyyah menjadi musuh utama? Kenapa nafsu itu sentiasa terdorong untuk melakukan apa sahaja yang dilarang Allah? Sesungguhnya nafsu itu sentiasa tidak mahu dan enggan menurut apa sahaja yang Allah perintahkan. Suruhan Allah walaupun mudah, tetapi nafsu tidak mahu, nafsu merasa terlalu payah. Sebaliknya apa sahaja larangan Allah walaupun susah dan terlalu payah, namun nafsu haiwaniyyah itu tetap merasa mudah, ringan dan mahu melakukannya. Allah SWT. berfirman dalam surah Yusuf, ayat 53;
“Dan aku tidaklah berani mengaku diriku suci ( daripada dosa ), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh melakukan kejahatan, kecuali nafsu (orang) yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha pengampun lagi Maha penyayang”.
Imam Ghazali Rahimahullah menjelaskan;
Antara sifat-sifat jahat itu ialah sifat-sifat syaitaniyyah seperti riak, takbur, sombong, ujub, iri hati, hasad dengki, suka dipuji, suka disanjung, tidak suka dicerca, bersikap degil, keras hati dan bersikap kasar dan sebagainya. Sifat-sifat syaitaniyyah itu juga akan melahirkan sifat-sifat haiwaniyyah seperti banyak makan dan minum, suka duduk berehat dan banyak tidur, gemarkan keseronokkan seks, tidak mengenal halal haram dan sebagainya. Maka lahirlah sikap tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.
Kita mengharapkan bahawa sifat-sifat haiwaniyyah tersebut telah terkubur dihapuskan oleh ibadah yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Sifat-sifat syaitaniyyah dan haiwaniyyah itu telah hangus tebakar dengan puasa, terawih, tilawah Al-Quran, wirid dan solat tahajjud disepanjang bulan Ramadhan. Kita mesti berusaha kuat menghadapi cabaran sengit nafsu syaitaniyyah dan haiwaniyyah sepanjang bulan Ramadhan. Kita akan memperoleh kejayaan jika usaha gigih itu disambung dengan berpuasa enam hari selepas ‘Idulfitri ini. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abi Ayub Al-Ansori r.a:
“Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun”.(Riwayat Muslim)
Di hari ‘Idulfitri ini, wajarlah kita meraikan kejayaan ini dengan takbir, tahmid dan tahlil mengagungkan Allah sepanjang hayat dan zaman. Bermaafmaafan sesama kita, ziarah-menziarahi menghubungkan silaturrahim.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Walillahil-hamd,
( surah Al-A’ala : 14-17)
“Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan diri (dengan iman), dan menyebut-nyebut (dengan lidah dan hatinya), akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat (dengan khusyuk). Tetapi kamu (orang yang kafir) memilih dan menyayangi kehidupan duniawi pada hal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal”.
Sumber : JAIS
No comments:
Post a Comment