PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

AKHLAK CERMIN KEPERIBADIAN MUSLIM


Islam disyariatkan oleh Allah berdasarkan kepada aqidah tauhid yang benar, kepada Syariat Islam yang adil, dan berdasarkan kepada akhlak yang mulia atau sering disebut sebagai ehsan. Jika akhlak yang mulia itu ditinggalkan, maka tidak sempurnalah Islam kita, cacatlah agama yang kita anuti dan tercalarlah sahsiah kita sebagai seorang muslim yang sempurna, kerana akhlak itu mencerminkan peribadi dalaman seseorang muslim sejati, akhlak adalah cerminan dari akidah iman dan amalan syariat yang dihayati.

Akhlak yang menjadi cermin kepada peribadi seseorang muslim, adalah selaras dengan makna ehsan yang telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya;

"Bahawa ehsan itu ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Allah melihat kamu".(Riwayat Muslim)

Sememangnya nabi s.a.q diutus oleh Allah dengan tujuan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia dalam kehidupan, sehingga umatnya dapat mencerminkan keperibadian muslim yang tinggi, membersihkan amalan, menyucikan hati nurani dengan sebersih-bersihnya, sehingga ia dapat menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Seorang muslim mestilah memilik akhlak yang sempurna, berasaskan akidah dan keimanan yang bersandar dan bergantung kepada Allah SWT, bahkan segala pergerakan hambanya lahir daripada kehendak dan kuasa Allah. Maka kerana itu, seluruh aktiviti pergerakan hambanya mencerminkan ketundukannya kepada Allah SWT yang Maha berkuasa sehigga Allah mengasihi dan meredhainya.

Apakah tanggungjawab kita sebagai seorang Islam? Kita ada Allah, Tuhan yang kita sembah. Kita ada syariat, undang-undang dan peraturan agama yang kita junjung. Mengapa soal pembentukan akhlak kita tinggalkan? Sesungguhnya kita tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab sebagai ibu bapa, kerana kitalah yang mencorakkan akhlak dan akidah anak-anak kita, samada mereka menjadi yahudi, nasrani atau majusi.

Jika kita cuai, maka lahirlah generasi yang rosak dan tidak berakhlak. Kadang-kadang kita lebih mementingkan kecemerlangan akademik anak-anak tetapi kita tidak pedulikan agama dan akhlak mereka, maka akan lahirlah anak yang bijak tetapi rosak moralnya dan runtuh akhlaknya, akibatnya bukan hanya ibu bapa yang menghadapi masalah, tetapi masyarakat turut terheret dengan keruntuhan akhlak anak-anak kita.

Apakah kita sudah cukup bersedia untuk menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir dalam kubur nanti, yang tidak ada seorangpun dari kita yang terlepas dari soalan; Siapakah Tuhan kamu? Apakah Syariat kamu? Siapakah nabi kamu? Apakah ikutan kamu? Siapakah saudara kamu?

Bolehkah kita menjawab persoalan-persoalan tersebut sekiranya mulut, mata, telinga, tangan, kaki dan hati kita tidak benar-benar menjadikan Allah sebagai Tuhan, dan sekiranya budaya dan cara hidup kita tidak mengikut syariat dan agama yang Allah tentukan, dan tidak menjadikan kehidupan nabi s.a.w sebagai contoh?.

Sesungguhnya hidup kita bukan ikut suka hati kita, bukan boleh ikut nafsu kita. Kita ada Tuhan untuk kita patuhi, kita ada syariat untuk kita ikut, dan kita ada nabi untuk membimbing dan memimpin kita. Jika kita percaya kepada Tuhan selain Allah, dan beramal dengan peraturan selain dari Syariat Allah sebagai panduan hidup, maka hasilnya kita tidak berakhlak dengan akhlak Islam. Apakah jawapan yang boleh melepaskan kita daripada seksaan Allah itu nanti, melainkan hanya penyesalan yang tidak berguna lagi.

Firman Allah dalam surah Yasin ayat 67;

"Jika Kami kehendaki, pasti Kami mengubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya. Maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang".

Satu contoh akhlak buruk yang bukan dari budaya Islam ialah pemakaian rantai leher oleh lelaki Muslim kerana rantai adalah budaya pemakaian lelaki Yahudi, Nasrani dan Majusi. Pemakaian rantai mencerminkan kepatuhan mereka beramal dengan agama mereka. Apabila mereka menganut Islam dengan mengucap syahadat, maka pemakaian itu dilarang bagi orang lelaki muslim, sebagai tanda kemuliaan akhlak yang mencerminkan kepatuhan orang Islam kepada ajaran Islam dan hokum-hakamnya.

Malangnya pada hari ini, ada di antara kaum lelaki Islam yang suka menyerupai kaum perempuan seperti dalam pemakaian perhiasan dengan memakai rantai leher, gelang tangan dan anting-anting. Malah ada yang diperbuat daripada emas. Islam melarang lelaki memakai rantai leher dan gelang tangan kerana ia menyerupai kaum wanita. Hanya wanita sahaja yang diharuskan memakai perhiasan seperti itu. Bagi lelaki disunatkan memakai cincin perak kerana mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.

Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

"Rasulullah s.a.w telah melaknat kaum lelaki yang menyerupai wanita dan kaum wanita yang menyerupai lelaki"

(Riwayat Al-Bukhari)

Ada juga yang memakai gelang dan rantai kerana percaya ada tuah dan kelebihan, tanpa sedar, bahawa amalan itu adalah amalan khurafat, sama seperti percaya kalung azimat, gelang dan cincin hikmah itu membawa tuah atau boleh terhindar daripada musibah, amalan tersebut adalah syirik yang akan menghapuskan pahala amalan ibadah.

Muhammad Qutub dalam bukunya Jahiliah Kurun Kedua Puluh menegaskan;

"Bahawa masyarakat jahiliah adalah mereka yang tidak memiliki akhlak yang mulia, tidak ada budi bahasa, tidak bersopan santun dan tidak bersifat dengan sifat yang baik, mereka itu menyembah dunia dan menyembah segala bentuk kebendaan, mereka tidak berpegang dengan akidah tauhid yang sebenar kepada Allah SWT dan bersifat tidak suka dan tidak patuh kepada apa sahaja amalan dari Syariat Allah SWT".

Mereka yang berakhlak dan berjiwa ehsan itu benar-benar merasai betapa besar dan hebatnya kekuasaan Allah, perasaannya menusuk sampai ke hati nurani, jiwa ehsannya itu merasakan kelazatan nikmatnya berdamping dengan Allah, lebih lazat dan nikmat dari harta kekayaan yang dikumpulkannya, lebih lazat dari rumahnya yang tersergam indah, lebih nikmat dari keretanya yang besar menjalar, lebih lazat dari pangkat kebesaran yang disandangnya.

Firman Allah SWT surah an-Nur ayat 37;

"Lelaki yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah dengan mendirikan solat dan membayar zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar".

Untuk membentuk akhlak yang mulia sebagai cermin keperibadian seseorang muslim, Allah mewajibkan kita mengingat-Nya pada setiap waktu sehingga terasa khusyu'. Sebaliknya, kehidupan dunia yang dilakukan semata-mata kerana dunia sahaja, tanpa memperdulikan hubungannya dengan Allah dan hukum-hakamnya, menunjuk-nunjuk baik kepada orang dengan harapan supaya diberikan penghormatan dan pujian, maka amalan seperti itu tidak ada ganjaran di sisi Allah, malahan mendapat laknat daripada Allah SWT bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak.

Marilah kita kembali menyahut seruan Rasulullah s.a.w supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia, tunduk dan patuh kepada Syariat Allah, menjadikan Syariat dan undang-undang Allah pada amalan, menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin yang benar-benar diikuti sepenuhnya, menjadikan peribadi kita masing-masing cerminan akhlak yang tinggi dan mulia kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat kita, sehingga terpancarlah sifat rabbaniah (ketuhanan) melalui ketundukan dan kepatuhan seorang bapa sebagai hamba yang ingin menghampirkan dirinya kepada Allah, sehingga kita dikasihi oleh anak-anak dan keluarga serta jiran tetangga. Allah pasti menjadikan kita sebagai hamba-Nya yang dikasihi dan diredhai.

Marilah kita sebagai bapa contoh sama-sama bertanggungjawab mengikat anak-anak kita dengan ibadah solat tanpa bersikap tolak ansur. Melazimi mereka dengan Al-Quran, hadir berjemaah di masjid atau di surau bersama-sama. Seterusnya libatkanlah mereka dengan zikir supaya sering mengingati keagungan Allah, membimbing mereka dengan solat sunat dan puasa sunat supaya merasa hikmah dan kelebihannya, menanam keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa melihat tingkah laku hamba-Nya.

"Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta menjaga dirinya tidak terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang yang beroleh kemenangan". (An-Nur : 52)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...