PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

PERSEFAHAMAN ASAS PEMBANGUNAN UMMAH


Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan merenung kembali tentang tahap persefahaman yang wujud di kalangan kita semua. Sejak kebelakangan ini, telah banyak dipaparkan tentang persengketaan yang timbul di dalam masyarakat kita, samada yang melibatkan hal-hal keagamaan mahupun perbezaan ideologi politik di peringkat bawahan dan juga di peringkat atasan. Ianya berpunca daripada kurangnya persefahaman berasaskan Islam sehingga menjejaskan hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat. Perkara ini tentunya menimbulkan keresahan terutamanya di kalangan kita yang peka dengan isu-isu kemasyarakatan yang berlaku pada hari ini. Apatah lagi perkara ini boleh menjejaskan proses pembangunan ummah itu sendiri.



Persefahaman adalah perkara yang amat penting sebelum sesebuah umat itu dapat dibangunkan. Persoalannya, bagaimanakah persefahaman ini dapat diwujudkan? Apakah faktor-faktor penting dalam membina persefahaman ini yang menjadi asas pembangunan umat Islam? Prof.Dr.Yusuf al-Qardawi telah menggariskan beberapa perkara penting yang menjadi tonggak persefahaman di kalangan masyarakat dan juga para pemimpin yang mempunyai tanggungjawab besar membangunkan umat manusia keseluruhannya. Perkara utama dan terpenting adalah sifat ikhlas di dalam melakukan apa juga kerja dan amal kebajikan semata-mata kerana Allah SWT.

Justeru dalam konteks pembangunan ummah pada hari ini, kekayaan, harta, pangkat dan jawatan sama sekali tidak boleh dijadikan punca perselisihan sesama ahli masyarakat mahupun para pemimpin. Sebaliknya, setiap individu harus menanamkan sifat ikhlas dalam diri sendiri agar setiap usaha yang dilakukan tidak tergelincir daripada landasan Islam yang sebenarnya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 96:

"(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal. Sesungguhnya Kami pasti aklan membalas orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan".

Persefahaman tidak akan wujud sekiranya kita hanya mementingkan pendapat diri kita sendiri tanpa mengambil kira pandangan orang lain. Persefahaman juga tidak akan wujud dalam ertikata yang sebenarnya jika kita hanya mengagung-agungkan pandangan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Sebaliknya setiap pandangan yang berbeza itu haruslah diberikan pertimbangan dengan meletakkan prinsip ukhuwwah atau persaudaraan Islam sebagai asasnya. Dengan ini, setiap perbezaan pandangan itu akan mendapat hak yang sewajarnya.

Rasulullah s.a.w telah membuktikan bagaimana baginda telah berjaya menyatupadukan dan mewujudkan persefahaman di kalangan masyarakat Islam Madinah melalui persaudaraan berlandaskan aqidah. Sebelum kedatangannya, kabilah-kabilah Arab seperti Aus, Khazraj, bahkan kaum yahudi dan lain-lain pada ketika itu saling bertelagah sesama mereka. Mereka lebih mengutamakan assabiah dan perkauman sehingga seringkali terjadi peperangan hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang kecil. Namun akhirnya, perbalahan ini telah berjaya diselesaikan oleh baginda dengan cara mempersaudarakan umat Islam dan membina masjid sebagai lambang perpaduan mereka. Baginda juga mengadakan perjanjian dengan kaum Yahudi agar sama-sama mempertahankan kota Madinah dari sebarang ancaman musuh. Usaha-usaha yang dilakukan oleh baginda ini akhirnya telah menjadikan masyarakat Madinah hidup dalam aman dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

Selain itu, perbincangan dengan cara yang baik juga dapat melahirkan persefahaman di kalangan semua pihak. Perkara ini telah diperjelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Ankabut ayat 46;

"Janganlah kamu berdebat dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali orang yang berlaku zalim antara mereka dan katakanlah: "Kami beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami dan kepada kamu. Tuhan kami dan Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami berserah diri".

Perbahasan atau perbincangan yang baik hendaklah diiringi dengan hati yang terbuka dan menumpukan kepada tujuan utama, iaitu untuk mencari titik persamaan yang dapat menyatukan pandangan semua pihak. Dalam masa yang sama, sikap bertolak ansur juga amat dituntut agar perbincangan dapat dijalankan dalam suasana yang penuh harmoni. Sifat-sifat yang tidak baik seperti sifat ego, bangga dengan kelebihan yang ada dan sikap meninggi diri hendaklah dihindari daripada menguasai pemikiran kita. Perkara yang buruk perlu dijauhkan daripada hati sanubari demi maslahah yang lebih utama iaitu untuk mencari kesepakatan dan mencapai persefahaman ummah yang kukuh.

Pembangunan ummah adalah bermula daripada penyatuan, manakala penyatuan ummah pula bukanlah suatu yang diberikan secara percuma. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 118 yang bermaksud;

"Kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan".

Penyatuan ummah itu sebenarnya adalah natijah daripada usaha-usaha persefahaman yang berjaya diwujudkan di kalangan mereka. Persefahaman ini seterusnya menjadi asas yang sangat penting untuk membangunkan ummah kearah yang lebih baik dan lebih bermakna mengikut landasan Islam.

Pembangunan ummah tidak akan berjaya sekiranya para pemimpin yang menjadi nadi penggerak utama pembangunan ummah ini tidak saling bersefahaman di antara sesama mereka. Apabila para pemimpin masyarakat mahupun pemimpin negara saling bertelagah maka rakyat juga akan menjadi kucar kacir dan tidak bersatu padu. Akhirnya masyarakat akan terus mundur dan terpinggir daripada arus kehidupan yang semakin mencabar ini.

Perselisihan para pemimpin dan kecelaruan umat ini pula seterusnya akan diambil peluang oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa menanti masa untuk menghancurkan umat Islam. Musu-musuh Islam tidak pernah leka ; semenjak kemunculan Islam di kota Mekah sehinggalah ke hari ini, mereka terus menerus berusaha untuk melemahkan umat Islam. Apabila umat Islam lemah, maka ia adalah masa yang paling baik untuk mereka melaksanakan tindakan menghapuskan Islam dan juga umatnya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 31 yang bermaksud;

"Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi, musuh daripada kalangan orang yang berdosa. Cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemberi petunjuk dan Penolong."

Marilah kita bersama-sama mempertahankan persaudaraan Islam dan persefahaman antara kita sehingga ke akhir hayat. Berwaspadalah daripada tipu daya syaitan dan kuncu-kuncunya yang sentiasa berusaha ingin memecah belahkan perpaduan umat Islam. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud:

"Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab-Nya".

Justeru, marilah kita berusaha untuk mengatasi segala perselisihan yang timbul dalam suasana yang harmoni dan bersifat kekeluargaan serta kasih sayang. Jadikanlah masjid sebagai pusat pembangunan ummah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulallah s.a.w. Mudah-mudahan ianya dapat dilaksanakan dan menjadi titik permulaan yang baik kepada usaha membangunkan ummah Islam sebagai ummah yang terbaik, InsyaAllah.

"Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih baik pula akibatnya".

(An-Nisa' : 59)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...