PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

KEMUSNAHAN AKIBAT RIBA'


Riba' adalah merupakan salah satu bentuk amalan urusniaga mengambil hak orang lain secara batil. Amalan riba' ini telahpun dilakukan semenjak zaman jahiliah lagi. Apabila Islam muncul, Allah SWT telah mengharamkan amalan riba ini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 275:

"Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba' ".

Menurut Imam al-Syafie, riba dapat diertiikan sebagai satu akad yang disertai dengan nilai tambah untuk suatu usaha tertentu yang tidak jelas menurut syariat. Antara nilai tambah yang dianggap sebagai riba adalah seperti akad hutang piutang yang disyaratkan bayaran lebih tinggi ketika pemulangan atau kelewatan bayaran pinjaman tersebut. Begitu juga di dalam jual beli; apabila berlaku lebihan nilai di dalam pertukaran barangan tertentu seperti barangan emas, perak, gandum dan seumpamanya maka ia dianggap sebagai riba. Apa yang jelas, perbuatan riba ini adalah haram menurut syariat Islam.


Mereka terlibat dengan riba' di dunia ini telah diancam oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk azab dan kesusahan, antaranya:

Pertama : Orang yang terlibat dengan riba' tidak mendapat ketenangan dalam beribadah kerana Allah SWT tidak memberikan keberkatan pada harta yang dimilikinya dengan cara riba'.

Kedua : Orang yang terlibat dengan riba' akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan terhuyung-hayang sepertimana orang yang dirasuk syaitan.

Ketiga : Orang yang mengulangi amalan riba' ini akan dimasukkkan ke dalam api neraka dan kekal selama-lamanya.

Sekalipun Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan melalui perniagaan, tetapi keuntungan yang diperolehi daripada amalan riba' adalah dianggap keji menurut syariat Islam. Ini kerana amalan riba' itu merupakan suatu bentuk kezaliman dan penindasan ke atas orang lain demi mengaut keuntungan duniawi dengan cara yang salah di sisi syarak. Perbuatan zalim dan menindas orang lain melalui amalan riba' ini banyak dilakukan oleh agensi-agensi pinjaman haram seperti ah-long, ceti dan yang seumpamanya. Adakalanya, kezaliman mereka ini sehingga menyebabkan kecelakaan dan kematian kepada peminjam atau ahli keluarganya.

Antara bentuk penindasan di dalam amalan riba yang banyak berlaku pada hari ini ialah seperti menetapkan kadar bunga atau faedah dalam pinjaman, mengenakan bayaran berganda kerana lewat membayar pinjaman dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, apabila seseorang ingin membuat pinjaman akan dikenakan syarat supaya membayar lebih daripada pinjaman asal. Kemudian, apabila peminjam lewat melunaskan hutangnya, maka pihak yang memberi pinjaman tersebut akan mengenakan syarat supaya membayar dengan kadar yang lebih tinggi lagi. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya tekanan ke atas peminjam kerana terpaksa membayar pinjamannya sehingga berlipat kali ganda daripada jumlah pinjaman yang sebenarnya. Perkara seperti ini sudah tentu akan menjejaskan masa depan peminjam kerana terpaksa menanggung beban hutang riba yang sentiasa meningkat pada setiap masa.

Umat Islam telah diperintahkan agar menghindarkan diri daripada amalan riba kerana ia mendatangkan banyak kemusnahan samada kepada individu mahupun masyarakat. Antara bentuk kemusnahan daripada amalan riba adalah ia akan menyebabkan hilangnya semangat tolong-menolong di kalangan umat Islam. Memang pada dasarnya, amalan memberi hutang adalah suatu perbuatan yang baik kerana ia dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh orang lain. Malangnya, apabila amalan ini telah diresapi oleh unsur-unsur riba, maka ia akan merosakkan tujuan asal hutang ini diberikan, iaitu untuk membantu orang-orang yang memerlukannya.

Seterusnya, bentuk kemusnahan yang berlaku akibat daripada amalan riba ialah rosaknya institusi kekeluargaan di dalam Islam. Pada hakikatnya, institusi kekeluargaan ini memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk generasi yang bakal menjadi penentu masa depan negara. Oleh kerana itu, usaha untuk membentuk generasi ini perlu dilakukan sebaiknya dengan memastikan sumber pendapatan yang digunakan untuk membesarkan mereka adalah halal.

Apabila anak-anak dibesarkan dengan menggunakan sumber pandapatan yang halal, maka seluruh kehidupan mereka akan diberkati oleh Allah SWT. Sebaliknya apabila mereka dibesarkan dengan sumber pendapatan yang haram, kehidupan mereka pasti menjadi kucar kacir lantaran darah daging mereka sendiri mengandungi sumber-sumber yang haram termasuklah hasil daripada amalan riba. Kehidupan seperti ini, bukan sahaja merosakkan diri sendiri, bahkan juga akan meruntuhkan seluruh kehidupan ahli keluarganya. Sesungguhnya sebuah kehidupan yang bersumberkan hasil riba dan juga sumber-sumber haram yang lain adalah amat dicela oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana sabdanya :

"Setiap daging yang tumbuh daripada hasil yang haram, maka nerakalah tempat yang lebih utama baginya". (Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang tidak kurang penting juga akibat daripada amalan riba adalah ianya menjadi punca yang menyebabkan runtuhnya ekonomi umat Islam. Memang tidak dapat dinafikan, terdapat sebahagian peniaga yang tidak mempunyai modal mencukupi untuk menjalankan perniagaan. Oleh kerana itu, mereka terpaksa membuat pinjaman perniagaan samada daripada individu-individu tertentu mahupun daripada institusi-institusi kewangan. Apabila pihak pemberi pinjaman mengenakan riba' secara keterlaluan di atas pinjaman mereka, maka sudah tentulah akan menjejaskan pendapatan peniaga tersebut. Apatah lagi jika perniagaan tersebut tidak mendatangkan sebarang keuntungan. Dalam keadaan sebegini, sudah pasti peniaga itu gagal melunaskan hutang-hutangnya, bahkan tidak mustahil juga peniaga itu akan menjadi muflis. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 130:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba' dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya".

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana semua orang memakan riba, maka jika sekiranya dia tidak memakan riba, dia akan terkena debu-debunya juga".
(Riwayat Abu Daud & Nasa'i)

Inilah musibah yang menimpa umat akhir zaman ini apabila mereka menjadikan riba' sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan mereka. Lantaran itu, kita sebagai umat Islam tidak seharusnya memandang ringan mengenai amalan riba' yang masih berleluasa ini. Marilah kita bersama-sama memohon kehadrat ilahi agar dijauhkan olehnya daripada tergolong ke dalam kalangan orang-orang yang mengamalkan riba'. Marilah kita berusaha menghindarkan diri kita terlibat dengan sebarang bentuk urusniaga konvensional yang mengenakan unsur riba' sama ada dalam urusan jual beli, urusan pinjaman, pajak gadai dan lain-lain lagi. Marilah kita beralih kepada institusi-institusi kewangan yang menjadikan Islam sebagai landasan perniagaan mereka. Mudah-mudahan usaha yang kita lakukan ini akan dapat membebaskan diri kita sepenuhnya daripada debu-debu riba yang melanda umat akhir zaman ini.

"Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba' itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak akan selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa".

(Al-Baqarah : 279)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...