PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

MEMPERSIAP KETURUNAN BERTAQWA


Anak adalah amanah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada para ibubapa untuk memelihara dan membentuknya menjadi insan yang berguna. Mereka ibarat kain putih yang bersih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya mengikut acuan yang mereka kehendaki. Anak-anak juga merupakan keturunan kita yang bakal mewarisi tugas sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi ini.

Justeru sebagai ibubapa, kita seharusanya berusaha untuk mempersiapkan anak-anak dan keturunan kita dengan nilai ketaqwaan. Abdullah Nasih Ulwan telah menggariskan beberapa perkara penting yang menjadi tanggungjawab ibubapa dalam usaha mempersiapkan anak-anak menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah SWT, iaitu tanggungjawab pendidikan keimanan, akhlak, jasmani, mental, rohani dan sosial.


Anak-anak hendaklah dididik sejak awal usia mereka dengan menerapkan nilai-nilai yang mampu membentuk keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT. Apabila mereka telah mendapat didikan mengenai perkara-perkara keimanan dari usia kecil, dan akal fikirannya telah dimantapkan dengan dalil-dalil yang kukuh mengenai tauhid dan keesaan kepada Allah SWT, nescaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang merosakkan akidah.

Antara cara-cara untuk menanamkan perasaan taqwa dalam jiwa anak-anak ialah ;

Pertama : Hendaklah membiasakan mereka mematuhi perintah solat semenjak peringkat usia mumaiyiz sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 43;

"Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat, serta rukuklah (solat berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk".

Kedua : Hendaklah mendidik mereka supaya boleh membaca al-Quran.

Ketiga : Hendaklah mempersiapkan anak-anak dengan pendidikan akhlak dan rohani kerana ini adalah perkara yang amat dituntut oleh Islam. Pendidikan akhlak yang mulia menurut kacamata Islam adalah berkait rapat dengan pemerhatian dan penjagaan diri daripada batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Justeru sebagai ibubapa, seharusnya mengambil berat terhadap pendidikan akhlak ini dengan cara memerhatikan dan mencegah anak-anak daripada kebiasaan tabiat yang buruk dan sifat-sifat yang keji. Di antara tabiat-tabiat buruk yang mesti dijauhkan daripada anak-anak adalah seperti tabiat menipu, mencuri, mencaci dan memaki, meniru dan lain-lain lagi.

Dalam masa yang sama, ibubapa juga mestilah mengambil berat terhadap nilai-nilai kerohanian yang mendorong kearah ketaqwaan mereka kepada Allah swt. Nilai kerohanian ini mestilah diterapkan kedalam jiwa anak-anak semenjak mereka masih kecil lagi. Di antara nilai yang dapat membentuk kerohanian yang baik ini adalah seperti sifat malu, amanah, tawadhu', taat kepada ibubapa, guru-guru, orang-orang tua, tidak sombong, tidak takbur dan lain-lain lagi. Kesemua nilai ini jika tidak diterapkan ke dalam jiwa anak-anak, dibimbangi akan menyebabkan jiwa mereka menjadi kosong dan mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif sehingga menjadikan mereka manusia yang liar dan terpesong jauh dari landasan agama.

Keempat : Ibubapa bertanggungjawab memastikan kesihatan fizikal anak-anak berada dalam keadaan yang terbaik. Kesihatan fizikal adalah merupakan salah satu faktor luaran penting yang dapat membantu melancarkan proses membentuk akidah dan akhlak anak-anak yang bertaqwa kepada Allah SWT. Hal ini juga bersesuaian dengan saranan Rasulullah s.a.w sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

"Seorang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dibandingkan dengan seorang mukmin yang lemah". (Riwayat Muslim)

Perkara penting yang mesti ditekankan oleh ibubapa terhadap anak-anak demi memastikan kesihatan jasmani mereka adalah dengan memberi makan minum yang halal dan berkhasiat, mengelakkan tabiat buruk dan aktiviti-aktiviti negatif yang boleh merosakkan diri mereka sendiri. Anak-anak mestilah diberikan kesedaran tentang bahayanya tabiat merokok, mabuk, khayal dan sebagainya kepada kesihatan mereka. Mereka juga perlu disedarkan tentang buruknya perbuatan-perbuatan maksiat seperti pergaulan bebas, zina dan lain-lain yang boleh merosakkan kualiti kehidupan mereka, disamping mendapat celaan di sisi Allah SWT.

Kelima : Mendidik anak-anak dalam aspek sosial dan kemasyarakatan. Aspek ini juga mestilah dibudayakan dalam kehidupan mereka kerana sebagai manusia, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab hidup bermasyarakat yang mengutamakan hubungan persaudaraan.

Islam sendiri amat menitikberatkan hubungan persaudaraan dalam kehidupan bermasyarakat. Sesungguhnya seseorang itu tidaklah dikira sebagai beriman selagi mana mereka tidak mengasihi di antara satu dengan yang lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10;

"Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Sesungguhnya mendidik anak-anak mengenai pelbagai bidang kehidupan adalah amat penting sebagai persiapan untuk mereka menjadi insan yang benar benar memahami erti kehidupan ini. Kesedaran anak-anak terhadap matlamat kehidupan di dunia ini akan mendorong mereka meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Justeru, kita sebagai insan yang dikurniakan zuriat dan keturunan oleh Allah SWT seharusnya dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya keatas amanah yang telah diberikan ini.

Marilah kita teruskan tekad dan berusaha mendidik anak-anak mengikut saranan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Persiapkanlah anak-anak ini dengan ilmu yang berteraskan keimanan agar mereka dapat menjadi insan yang sentiasa tunduk dan taat kepada perintah Allah SWT. Mudah-mudahan usaha yang kita lakukan ini akan dapat menghasilkan keturunan yang bertaqwa kepada Allah SWT.

"Tidaklah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang dapat mendekatkan kamu di sisi Kami walau sedikit pun, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan. Mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di syurga) dengan aman sentosa". (Saba' : 37




.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...