PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

GEJALA SOSIAL : SELAMATKAN REMAJA KITA


Remaja adalah satu tempoh peralihan dari alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Jika dianggarkan dengan umur, mereka dikategorikan sebagai golongan berusia di antara12 hingga ke 20 tahun. Di dalam usia sebegini, berbagai kecelaruan dan masalah yang timbul di dalam jiwa mereka. Fasa perubahan fizikal, emosi dan minda inilah yang menjadi punca kecelaruan dan permasalahan jika mereka tidak difahami, dibimbing dan dididik dengan sebaiknya. Di peringkat usia ini, mereka sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba untuk mencapai tahap matang menjadi seorang dewasa. Usia remaja juga sewajarnya merupakan satu jangka waktu melengkapkan diri dengan segala keperluan rohani dan jasmani untuk menuju ke alam kedewasaan. Jika kita gagal membimbing mereka menghadapi cabaran dan keperluan di peringkat ini, remaja akan tampil ke tengah masyarakat dengan menimbulkan pelbagai masalah dan kekalutan.

Gejala sosial yang berlaku di dalam masyarakat kita bukanlah perkara baru. Gejala sosial di kalangan remaja sebenarnya sudah parah dan amat memerlukan tindakan segera untuk memulihkannya. Di samping ia suatu bukti kegagalan kita mendidik mereka, ia adalah suatu kebimbangan yang wajar dipandang serius oleh semua pihak, khususnya ibubapa. Saban hari kita dihidangkan dengan berita-berita yang menjelaskan realiti keruntuhan akhlak remaja hari ini. Bemula dengan ponteng sekolah, melepak dan membuang masa, merempit, terlibat dengan dadah, berjudi, bergaduh, bergaul bebas sehingga ke tahap berzina, melakukan seks bebas dan akhirnya melakukan jenayah membunuh dengan cara menggugurkan kandungan dan membuang bayi.

Menurut sumber maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara, sebanyak 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa semenjak tahun 2000 hingga Julai 2008. Jika kita bahagikan, maka lebih daripada 28,000 kes yang telah berlaku dalam masa setahun, atau 78 kes dalam sehari! Ini adalah hasil perbuatan zina yang berakhir dengan kehamilan dan kelahiran. Jika kita renungkan berapa banyak pula perbuatan zina yang tidak menyebabkan kehamilan? Tentu sekali lebih banyak dari apa yang kita bayangkan. Sebahagian besarnya sudah tentu melibatkan golongan remaja.

Inilah gambaran sebenar kehancuran remaja masa kini. Apa dah jadi dengan anak-anak remaja pada hari ini? Wajarkah kita biarkan semua ini terus berlaku? Apakah tindakan kita untuk membendung gejala ini? Bukankah ini semua mala petaka yang besar ke atas kita?

Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan kita tentang bahaya maksiat zina melalui sebuah hadis daripada Sayidatina Maimunah RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

"Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya". (Riwayat Muslim)

Marilah bersama-sama kita selamatkan remaja kita. Keruntuhan moral dan gejala sosial yang berlaku adalah petanda kehancuran kepada kita semua. Azab dan kemurkaan Allah akan melibatkan kita semua jika kita gagal untuk membimbing mereka agar kemballi ke pangkal jalan. Kita juga perlu berusaha supaya gejala social yang berlaku di kalangan remaja dapat dibendung dan diatasi demi kesejahteraan seluruh umat Islam. Antara langkah-langkah yang perlu diambil ialah :

Pertama : Ibu bapa mestilah memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa seharusnya mengenali rakan-rakan anak mereka dan memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai akhlak yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa mereka untuk memberikan keyakinan, keberanian dan kesediaan mereka serta membentuk sikap yang positif anak-anak untuk berhadapan dengan masalah, tekanan emosi dan menerima sesuatu keputusan.

Kedua : Tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, iman dan nilai-nilai murni serta keperibadian yang mulia. Libatkan mereka dengan kuliah-kuliah pengajian agama, galakkan mereka untuk bersolat jemaah di masjid. Pupukkan rasa cinta terhadap agama supaya merasa takut untuk melakukan dosa dan gerun pada azab neraka. Sesungguhnya, tanpa iman dan taqwa dalam hati, remaja akan memandang ringan terhadap semua perlakuan maksiat dan dosa. Inilah yang dinyatakan Rasulullah s.a.w melalui hadis daripada Abdullah bin Mas'ud R.A :

"Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia duduk di bawah gunung yang ditakuti akan menimpanya, sebaliknya seorang yang fajir (Pelaku dosa) melihat dosanya hanya seumpama seekor lalat yang hinggap di hidungnya". (Riwayat Al-Bukhari)

Ketiga : Pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi juga perlu mengatur langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian seperti kaunseling dan program-program ceramah motivasi pembangunan sahsiah diri pelajar. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih berkesan jika diadakan secara berterusan dan dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman.

Keempat : Penguatkuasaan Undang-undang perlu berjalan seiring dengan program-program kesedaran. Undang-undang dan hukuman yang dijalankan secara berterusan dan telus akan membantu mencegah maksiat dan kemungkaran. Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman mengikut Enakmen Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut dalam kalangan masyarakat terhadap hukuman yang dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman ditetapkan oleh undang-undang Islam. Ia mesti dijayakan bagi menyedarkan manusia yang lalai daripada peringatan Allah SWT.

Firman Allah di dalam Surah az-Zukhruf ayat 48:

"Dan kami timpakan ke atas mereka azab supaya mereka kembali bertaubat ke jalan yang benar ".

Kelima : Walau apapun langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menangani masalah remaja, isu solat dan ibadah-ibadah yang lain perlu diberi keutamaan oleh ibubapa dan keluarga bagi menyelamatkan remaja. Kajian menunjukkan bahawa individu-individu yang menjaga solat lebih terjamin aqidahnya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 45;

"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya). (Ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".

Usaha-usaha menyelamatkan remaja hari ini perlu dilakukan dengan bijaksana dan memerlukan penglibatan semua pihak. Remaja hari ini adalah pencorak generasi akan datang. Jika baik mereka, maka akan baiklah masyarakat akan datang. Begitulah juga sebaliknya. Justeru usaha-usaha memperbaiki, mendidik dan membentuk generasi akan datang hendaklah diwujudkan bagi menjamin suasana masyarakat Islam yang baik, harmoni dan mencapai kejayaan.

Kesimpulan yang dapat dipetik, antaranya ialah :

Pertama : Gejala sosial di kalangan remaja hari ini telah sampai ke tahap yang amat membimbangkan. Semua pihak hendaklah bekerjasama menangani masalah ini.

Kedua : Golongan remaja adalah aset kita di masa akan datang. Keruntuhan akhlak yang melanda mereka hari ini adalah gambaran kepada kehancuran agama, bangsa dan negara kita. Usaha-usaha menangani gejala sosial dan menyelamatkan remaja perlu disusun dengan bijak dan dibuat secara berterusan bagi menjamin natijah yang diharapkan.

"Hendaklah di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya". (Ali-Imran : 104)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...