PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

ISRAK DAN MIKRAJ : HUBUNGANNYA DENGAN SOLAT


Kita sedia maklum, pada bulan Rejab umat Islam menyambut dan mengingati kedatangan peristiwa Israk dan Mikraj, iaitu suatu malam yang bersejarah lagi luar biasa. Pada malam tersebut, Rasulullah s.a.w. telah melakukan satu perjalanan yang jauh, iaitu dari Mekah ke Baitul Maqdis, Palestin. Kemudian, daripada tempat tersebut, Baginda naik ke langit yang dinamakan Mikraj. Dimulai langit pertama, hinggalah ke langit ke tujuh. Selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w. naik ke Sidratul Muntaha pula, hingga sampai ke suatu tempat yang bernama Mustawa'. Perjalanan dengan roh dan jasad itu berlaku dalam masa yang amat singkat sekali. Menurut jumhur ulama', terjadinya pada 27 Rejab, setahun sebelum Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah.


Peristiwa yang luar biasa itu merupakan satu mukjizat yang besar bagi Nabi Muhammad s.a.w. kerana belum ada manusia yang melakukannya sebelum Baginda. Allah S.W.T. merakamkan peristiwa tersebut dalam surah Al-Isra' ayat 1;

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Peristiwa Israk dan Mikraj ini mempunyai hubung kait dengan perintah menunaikan ibadah solat. Ibadah ini diperintah oleh Allah S.W.T., dengan menjemput Rasulullah s.a.w. datang mengadap-Nya di Arasy, bukan dengan mengutus malaikat Jibril a.s., untuk menyampaikannya ke dunia, seperti mana perintah menunaikan ibadah puasa, zakat dan haji.

Status ibadah solat, di sisi Allah SWT adalah perkara utama dalam ibadah. Dengan berdirinya solat, maka tegaklah agama, dan apabila meninggalkan solat, maka runtuhlah agama.

Hadis daripada Umar al-Khattab R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Solat itu adalah tiang agama. Barang siapa yang mengerjakannya, bererti ia menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya, bererti ia telah merobohkan agama".
(Riwayat Al-Baihaqi)

Ibadah solat pada mulanya difardhukan sebanyak 50 kali solat, siang dan malam. Rasulullah s.a.w. berulang kali mengadap Allah SWT, mohon supaya diringankan. Allah SWT memperkenan permintaan Baginda dengan mengurangkannya kepada 5 kali sahaja. Allah SWT berfirman:-

"Wahai Muhammad, itulah solat lima kali, setiap siang dan malam. Pada setiap sekali daripadanya, dikira sepuluh. Jika 5 kali, maka ia menjadi 50 solat".

Ini menunjukkan bahawa solat itu hebat statusnya, iaitu hebat cara menyampaikannya kepada Rasulullah s.a.w., malah hebat juga cara melakukannya.

Allah SWT menilai seseorang Islam sama ada baik atau tidak, melalui amalan solatnya. Amalan yang akan dihisab terlebih dahulu di hari akhirat, adalah amalan solat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;

"Persoalan pertama yang akan ditanya (dipertanggungjawabkan) kepada manusia di hari akhirat, ialah solat. Apabila solatnya dapat diterima (oleh Allah), maka akan diterima seluruh amalnya, dan sekiranya solatnya ditolak (oleh Allah), akan ditolak seluruh amalnya".
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hadis ini memberi pengajaran kepada kita, bahawa sekalipun seseorang itu melakukan puasa Ramadhan, membayar zakat, menunaikan haji, bersedekah kepada fakir miskin, berjasa besar kepada bangsa dan negara, namun jika tidak mengerjakan solat atau melalaikannya, maka seluruh amalan kebaikannya akan ditolak oleh Allah SWT.

Solat adalah suatu ibadah yang dilakukan dengan menggerakkan seluruh jasmani dan rohani. Manakala lisan pula, mengucap kalimah-kalimah yang sangat indah, mengandungi pujian, penghormatan, dan harapan tinggi yang ditujukan kepada Allah SWT. Apabila setiap gerak badan dan bacaan yang kita lakukan dengan ikhlas, sempurna, khusyuk dan penuh kesedaran, maka semuanya itu akan mempengaruhi diri, jasmani, rohani dan pemikiran serta akhlak, sehingga solat itu benar-benar dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45;

"Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya, solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".

Sementara bagi solat yang dikerjakan secara sambil lewa, sekadar untuk diketahui orang, tanpa kesedaran mendalam, bukan sahaja tidak mendapat keredhaan Allah S.W.T., tetapi sebaliknya akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Solat seperti itu, tidak akan merubah dan memperbaiki akhlak seseorang.

Falsafah yang terkandung dalam ibadah solat amat banyak, antaranya:-

Pertama : Solat berjemaah. Sebelum solat dimulakan, imam dikehendaki memastikan saf jemaah berada dalam keadaan lurus dan rapat, kerana kerapian saf tersebut termasuk dalam kesempurnaan solat berjemaah. Ini memberi pengajaran kepada kita, betapa pentingnya peranan penyatuan yang terlaksana dengan rapi, lurus dan berdisiplin supaya tidak mudah ditembusi oleh musuh.

Kedua : Arah solat, mestilah sama, iaitu mengadap Ka'abah. Di mana saja solat itu didirikan, tidak boleh menyimpang dari arahnya. Ini bermakna, di mana sahaja kita berada, walau dalam apa keadaan sekalipun, jangan sedikit pun menyimpang daripada landasan yang ditentukan Islam, iaitu bersatu mematuhi ajaran al Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Ketiga : Solat sebagai Mikraj orang Mukmin, mesti dilakukan dalam keadaan bersih daripada najis, sama ada badan, pakaian atau tempat tinggal. Ini bermaksud, orang Islam sentiasa mensucikan aqidah daripada syirik dan khurafat, membersihkan seluruh amalnya daripada riak dan hasad dengki yang boleh meruntuhkan martabat serta kehormatannya sebagai manusia.

Malang sekali, terdapat segelintir di kalangan orang Islam yang mempertikai kewajiban ibadah solat. Mereka menyatakan bahawa solat itu, memadai dengan niat sahaja, tanpa perlu berdiri rukuk dan sujud. Terdapat juga yang berpendapat, solat boleh dijamakkan sepanjang hayat, dilakukan tiga kali sehari semalam. Mereka menyatakan bahawa hidup di dunia ini adalah musafir. Orang musafir, harus menjamakkan solat. Malah, ada yang lebih sesat lagi menyatakan, solat tidak wajib, boleh diganti dengan membuat amal kebajikan sahaja sudah memadai.

Ajaran dan fahaman seperti ini sedang mempengaruhi segelintir masyarakat Islam yang cetek ilmu agamanya. Ajaran tersebut sudah difatwakan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, sebagai ajaran sesat.

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. telah diperlihatkan kepada satu kaum yang dihempap kepalanya dengan batu-batu besar. Setiap kali dihempap, kepala mereka berkecai. Kemudian, bercantum semula seperti sedia kala. Hal ini terus-menerus berlaku tanpa henti. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada malaikat Jibril a.s. tentang peristiwa tersebut. Malaikat Jibril a.s. lantas menjawab, "mereka itu adalah orang-orang yang sentiasa malas untuk menunaikan solat fardu". Demikianlah betapa dahsyatnya seksaan kepada mereka yang malas dan meninggalkan ibadah solat.

Oleh itu, tidak ada ertinya beriman dengan peristiwa Israk dan Mikraj, seandainya kita tidak tunjukkan dengan bukti, iaitu menunaikan perintah Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa itu, iaitu kewajipan ibadah solat.

Marilah kita menginsafi diri dan istiqamah dalam mendirikan ibadah solat. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang lalai. Tidaklah memadai dengan solat seminggu sekali sahaja, iaitu solat Jumaat, tetapi melalaikan solat fardhu lima waktu sehari semalam.

Islam juga memerintahkan kita agar sentiasa memastikan ahli keluarga telah menunaikan solat, termasuk isteri dan anak-anak. Oleh itu, kita disuruh memimpin dan memastikan anak-anak supaya menunaikan solat ketika berumur 7 tahun dan memukul mereka yang tidak menunaikannya, ketika berumur 10 tahun.

"Perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan solat. Dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu (bahkan), Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah), kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".
(Toha : 132)
.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...