Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah, umur aku masih panjang. Tuhan masih memberi izin untuk aku menghirup udara pada Ramadhan kali ini. Esok lusa, tulat, tungging belum tahu lagi. Itu Tuhan punya kuasa. Seperti biasa, ya seperti biasa kebanyakan orang puasa itu berlapar dan berdahaga; tidak makan dan tidak minum. Begitulah mudahnya berpuasa. Yang susah ialah berpuasa yang membuahkan taqwa. Aku? Ya, aku sendiri terkial-kial melewati garis perjuangan untuk berpuasa seperti itu. Semoga Tuhan memimpinku, menolong dan memberiku kekuatan untuk istiqamah. Insya'allah.
Dalam puasa juga banyak episod-episod klise yang kadang-kadang orang awam sudah cukup masak dan faham, tetapi buat-buat separuh masak dan buat-buat tidak faham. Apa dia? Puasa, ya puasalah iaitu menahan lapar dan dahaga. Ya, puasalah iaitu dengan tidak makan dan tidak minum. Ramai yang begitu, besar kemungkinan aku pun di situ juga. Ha ha, inilah dia puasa adat! Puasa yang bukan lagi ibadat sebaliknya hanya menjadi adat saja. Adat hidup atau adat kebiasaan. Orang berpuasa maka aku pun berpuasa. Orang tidak makan dan tidak minum, maka aku pun tidak makan dan tidak minum jugalah.
Entahlah, aku sendiri sungguh tidak faham dengan feel macam itu. Berpuasa tetapi berseluar pendek ke bazar Ramadan. Berpuasa tetapi tidak pula solat lima waktu. Berpuasa tetapi mengumpat tidak pernah reda. Berpuasa tetapi fitnah bukan main lagi. Dan macam-macam lagilah jenis-jenis puasa adat ini yang hanya adatnya saja berpuasa tetapi sungguh kontra dengan tujuan dan pensyariatan puasa.
Aku pun bukanlah ustaz yang arif sangat pasal selok-belok agama. Cuma, bagi aku kalau agama Islam itu sudah diangkat sebagai cara hidup dan Islam itulah agama yang dianuti, maka anuti dan angkat ia sebagai cara hidup yang sebenar-benarnya. Masuklah secara seluruhnya ke dalam Islam itu sepenuhnya. Janganlah Islam hanya pada puasa iaitu hanya berlapar dan berdahaga tetapi tidak pula Islam pada tutur kata, tidak pula Islam pada cara berpakaian. Tidak pula Islam dalam hal ehwal berbelanja.
Pada aku, tidaklah susah sangat untuk mengikut apa yang telah disyariatkan oleh Islam. Susah sangatkah hendak berpakaian yang menutup aurat. Susah sangatkah hendak solat. Susah sangatkah untuk tidak mengata orang dan berbuat fitnah. Entahlah...
Semoga Allah memberikan hidayah-Nya buat aku dan kita semua. Amin.
Sumber : Secanggih Kopi Semanis Puan
No comments:
Post a Comment