Pada kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur kepada Allah SWT, lantaran masih lagi diberikan kesempatan untuk terus berada di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Bulan yang penuh dengan keberkatan, dijanjikan ganjaran pahala yang berganda dan berlimpah-limpah bagi setiap amalan.
Zakat fitrah amat erat kaitannya dengan bulan Ramadhan. Menjelang sahaja bulan puasa ini, maka semua umat Islam merasa terpanggil untuk segera menunaikan kewajipan zakat fitrah. Namun begitu, fahamkah kita tentang ibadah yang dinamakan sebagai zakat fitrah ini?
Zakat fitrah adalah salah satu daripada dua jenis zakat, iaitu zakat harta dan zakat fitrah atau disebut juga sebagai zakat badan. Ia difardukan oleh Allah SWT pada tahun kedua hijrah.
Dari segi kewajipannya, zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya, bayi, anak-anak kecil mahu pun dewasa, orang yang berakal mahu pun orang gila.
Ibnu Umar r.a memberitahu bahawa:
"Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah ke atas anak kecil, orang dewasa, orang merdeka dan hamba sahaya daripada orang-orang yang di bawah tanggungan seseorang". (Riwayat Daruquthni)
Zakat fitrah mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Dalam hal ini, Islam menetapkan bahawa seseorang itu memiliki makanan yang cukup baginya untuk malam hari raya sehinggalah ke siangnya wajib ia mengeluarkan zakat fitrah.
Kadar zakat fitrah pula ditetapkan sebanyak segantang Baghdad berdasarkan makanan asasi sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, ia menyamai 2.7 kg dan ketetapan nilai kadar harga beras sebanyak itu pula adalah berubah-ubah dari setahun ke setahun bergantung kepada harga beras semasa.
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan harga zakat fitrah di Negeri Selangor yang menyamai harga beras semasa ialah RM7.00 iaitu kadar harga beras gred sederhana. Adalah dengan penetapan ini diharap umat Islam di Negeri Selangor mampu menunaikan zakat fitrah pada masa yang ditetapkan.
Bilakah waktunya bagi kita menunaikan zakat fitrah ini? Ada sesetengah orang suka menunggu saat-saat terakhir, yakni sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri untuk mengeluarkannya dengan alasan itulah waktu yang paling utama. Sesungguhnya, dalam kitab Fiqh al-Manhaji, Jilid Pertama telah membahaskan secara terperinci mengenai waktu mengeluarkan zakat fitrah ini seperti berikut;
"Sesiapa yang mengeluarkan zakat fitrah bermula dari 1 Ramadan, hukumnya adalah sah dan harus. Jika ia mengeluarkannya pada masa selepas tenggelam matahari pada akhir Ramadhan sehinggalah sebelum solat raya, maka ketika itu adalah waktu yang afdal. Adapun orang yang mengeluarkannya selepas solat Aidulfitri, maka hukumnya adalah makruh, tetapi sesiapa yang melambatkannya sehingga terbenam matahari 1 Syawal, maka dia adalah berdosa; namun ia tetap wajib mengeluarkannya dan ketika itu ia dianggap sebagai qada'.
Sungguh pun waktu yang terbaik ialah sebelum solat aidilfitri, namun janganlah kita menunggu sehingga ke saat itu. Tunaikanlah sejak awal Ramadhan lagi, kerana ia akan lebih memudahkan urusan dan dapat mengelakkan risiko terlambat atau terlupa menunaikannya. Pastikan juga kita menyerahkan zakat fitrah hanya kepada amil yang bertauliah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor.
Hikmah zakat fitrah amat banyak. Antaranya adalah;
Pertama : Dapat menjamin kegembiraan semua umat Islam.
Inilah yang telah disebut dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Bagi orang yang berpuasa ia akan mendapat dua kegembiraan; pertama ketika ia berbuka atau ketika berhariraya dan keduanya ketika ia berjumpa Allah". (Riwayat Imam Muslim)
Kedua : Zakat fitrah juga mampu mengikis sifat tamak dan kedekut dalam diri manusia. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi rezeki kurniaan Allah SWT ini. Seandainya mahu berkongsi RM7.00 pun sudah merasa susah, maka bagaimana pula mereka mampu memberi lebih banyak dengan membayar zakat harta dan bersedekah?
Ketiga : Zakat fitrah juga memupuk perasaan kasih-sayang khususnya dari kalangan fakir miskin kepada orang-orang kaya, sehingga dengan itu hilanglah rasa hasad dan dengki yang mampu merosakkan perhubungan yang harmoni dalam kalangan umat Islam.
Keempat : Zakat fitrah ini adalah suatu cara pembersihan diri kepada umat Islam.
Ibnu Abbas r.a memberitahu bahawa:
"Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tiada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin". (Riwayat Abu Daud)
Kelima : Zakat fitrah mampu menzahirkan kesatuan akidah dan kesatuan amal yang dikehendaki oleh Allah SWT, antaranya saling tolong-menolong dan meringankan beban.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
"Hendaklah kamu bantu-membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, janganlah pula kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah); dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab-Nya". (al-Maidah: 2)
Sesungguhnya, kedatangan Ramadan al-Mubarak inilah masanya bagi kita untuk menunjukkan betapa tingginya hemah kita sebagai seorang muslim, yakni seorang mukmin yang menyantuni sesama saudaranya dengan penuh keikhlasan dan kepatuhan kepada agama. Marilah kita menunaikan zakat fitrah ini dengan penuh keikhlasan dan kesedaran.
Daripada Salman al-Farisi r.a bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mendampingkan dirinya kepada Allah dalam bulan Ramadan dengan sesuatu daripada perkara-perkara kebajikan (sunat), maka samalah seperti dia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan (fardu) pada bulan itu, dan sesiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu (seperti zakat), maka samalah seperti dia menunaikan 70 perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain". (Riwayat Ibn Khuzaimah)
Inilah suatu ganjaran pahala yang amat besar, yang ditawarkan Allah SWT pada bulan Ramadhan ini. Maka, tidak salah sebenarnya bagi semua umat Islam untuk menjadikan Ramadhan sebagai bulan berzakat, yakni bukan sekadar zakat fitrah, tetapi juga menunaikan zakat harta yang lain seperti zakat emas, pendapatan, wang simpanan, zakat saham, zakat perniagaan, zakat ternakan dan zakat pertanian.
Yakinlah, zakat dan sedekah yang dihulurkan kepada fakir dan miskin ini ibarat baja yang akan menyuburkan harta. Fungsinya sama seperti baja dan air yang menyuburkan sepohon pokok. Akhirnya pokok itu membesar dengan rendang, batangnya teguh mengukuh awan, dahannya tegap mengeluarkan dedaunan dan akhirnya akan memutik buah-buahan yang kelak meranum bak manisan. Bukankah ini habuan bagi orang yang menanam dan sentiasa menjaga pokok yang ditanamnya. Maka, orang yang berzakat dan bersedekah, pahalanya dijanjikan Allah SWT bahkan diberikan keberkatan hidup sejak di atas dunia ini lagi.
"Dan perumpamaan (nafkah daripada) orang yang membelanjakan hartanya untuk mencari keredhaan Allah dan untuk meneguhkan (keimanan dan keikhlasan) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di dataran yang tinggi yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Namun, jika ia tidak ditimpa hujan lebat pun, maka hujan renyai-renyai sudah memadai. Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan". (Al-Baqarah: 265)
No comments:
Post a Comment