Pada saat ini, jutaan umat Islam sedang berkumpul di sekitar Baitullah al-Haram, Makkah, untuk memenuhi panggilan Allah, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hajj ayat 27;
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhan-Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta kurus (kerana lamanya perjalanan), yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh".
Haji adalah salah satu daripada rukun Islam. Ia merupakan sendi-sendi Islam yang terkuat. Diwajibkan sekali seumur hidup. Dengan melaksanakan ibadah haji itu, akan sempurnalah Islam seseorang dan lengkaplah agamanya.
"Ya Tuhanku, aku menyahut seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu! YaTuhanku, aku menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya segala kepujian dan nikmat bagi-Mu sahaja, dan kerajaan sebenarnya milik-Mu juga, tiada sekutu bagi-Mu (tiada Tuhan yang lain daripada-Mu)".
Membaca talbiah dengan hati yang ikhlas dan penuh khusyuk, akan mendapat berita gembira iaitu syurga Allah.
Sesungguhnya ibadah dalam Islam ada yang bersifat badaniyah, iaitu ibadah yang menitikberatkan pada kekuatan fizikal seperti solat dan puasa. Ada yang bersifat qalbiyah, iaitu ibadah yang pengamalannya pada hati, seperti zikir serta ada pula ibadah yang bersifat maliyah iaitu dengan wang seperti zakat, infaq dan sedekah.
Adapun ibadah haji adalah gabungan ketiga-tiganya iaitu badaniyah, qalbiyah dan maliyah. Badan ikut melaksanakan, hati ikut berperanan dan harta pun ikut menentukan. Ketiga-tiganya merupakan satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan.
Kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Terpilih mendapat peluang ke Tanah Suci merupakan satu nikmat dan kejayaan dalam kehidupan seseorang hamba di sisi Allah.
Ibadah haji mentarbiyyah seseorang itu bermujahadah dengan mengeluarkan belanja yang besar, tekad yang kuat dan azam yang mendalam. Mereka mesti rela meninggalkan tanah air, keluarga yang dicintai, kesibukan kerja yang sukar ditinggalkan, menghadapi udara terlalu panas atau sejuk, dan makan minum yang terkadang tidak sesuai dengan selera. Namun, kerana panggilan Allah, mereka tetap menempuhinya dengan tabah, sehingga dengan begitu tahap keimannya menjadi semakin kukuh dan kuat.
Perjalanan ibadah haji menuntut bekalan yang cukup, dan persiapan yang sempurna. Selain daripada ilmu pengetahuan, maka perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah seperti berikut;
Pertama : Ketika hendak melangkahkan kaki meninggalkan rumah dan kampung halaman menuju ke Tanah Suci, hendaklah dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Niat inilah yang akan membezakan apakah seseorang yang berangkat menunaikan haji benar-benar untuk memenuhi panggilan Allah, atau sekadar pergi bersukaria. Niat menjadi dasar utama, baik dalam ibadah haji mahupun ibadah-ibadah lainnya. Jika niat dan azamnya tidak kuat, maka ibadahnya pun tidak akan sampai ke puncak kesempurnaan. Inilah yang dinyatakan dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda;
"Sesungguhnya setiap perbuatan itu ditentukan dengan niatnya". (Riwayat Bukhari)
Kedua : Ketika sampai di tempat yang dituju, hendaklah memanfaatkan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Pergunakanlah seberapa banyak masa untuk beribadah, memastikan rukun dan wajib dipatuhi serta berdoa di tempat-tempat yang mustajab, InsyaAllah doa akan dimakbulkan Allah. Perbanyakanlah ibadah sunat seperti tawaf, solat, iktikaf, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar di dalam Masjidil Haram. Ini adalah kerana satu rakaat solat di Masjidil Haram sama nilainya dengan 100,000 rakaat di masjid-masjid lainnya dan solat di masjid Nabi lebih utama daripada 1,000 rakaat di masjid-masjid lainnya.
Ketiga : Tanah Suci Mekah dikatakan seumpama taman mini akhirat. Ungkapan itu mengandungi erti bahawa ketika di sana, seseorang mesti jujur pada diri sendiri. Apabila menemui kesulitan, jangan sampai menyalahkan orang lain. Sebaliknya, hendaklah mengembalikan kesulitan yang dihadapi itu pada diri sendiri. Ia hendaklah mencari sebab kesulitan itu pada dirinya sendiri. Oleh sebab itu, setiap perkataan dan perbuatan hendaklah dijaga dan dikawal supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.
Keempat : Ketika berada di tengah-tengah jemaah umat Islam di sana, janganlah mempersoalkan amalan orang lain. Di sana, kita akan lihat pelbagai cara pelaksanaan amalan solat yang dilakukan berdasarkan ikutan mazhab yang mereka anuti. Oleh itu, kita janganlah mempertikaikan perbezaan amalan yang dilakukan oleh orang-orang lain.
Kelima : Ibadah haji merupakan ibadah yang mencabar. Oleh sebab itu, orang yang hendak menunaikan haji perlu mempersiapkan diri dengan penuh kesabaran. Dalam konteks kesabaran ini ada tiga hal yang dihadapi; iaitu sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan, sabar di dalam meninggalkan kemaksiatan dan larangan, serta sabar di kala menghadapi musibah dan cubaan. Diperingkat awal kita akan diuji dengan mengorbankan segala kesenangan serta kegiatan biasa. Namun, hati tetap sabar tanpa rasa menyesal dan hendaklah menganggap setiap kesulitan yang dihadapi adalah sebagai sunnatullah. Duka dan gembira, susah dan senang akan silih berganti.
Ibadah haji itu dapat membentuk manusia bersifat amanah, ikhlas, jujur dan bertanggungjawab serta melahirkan manusia yang tawadduk dan terhindar jauh daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti takabbur, riak, sombong dan khianat. Apatahlagi diwaktu menunaikan ibadah haji, tidak boleh berbuat kekacauan dan kefasikan. Sabda Rasulullah S.A.W.;
"Barangsiapa yang menunaikan haji kerana Allah, lalu tidak bercakap kotor dan tidak berbuat jahat, maka dia keluar daripada dosa-dosanya, seperti hari ketika ia dilahirkan oleh ibunya". (Muttafaq ‘Alaih)
Ibadah haji yang dikerjakan itu banyak mengandungi rahsia dan hikmah disebaliknya, antaranya adalah:-
1. Memakai kain ihram
Ini adalah simbol persamaan manusia di sisi Allah SWT. Tidak ada saudagar kaya-raya, tidak ada kaum bangsawan yang tinggi pangkatnya dan tidak ada pula hamba abdi yang dianggap hina. Dengan pakaian putih itu, semoga hilanglah darjat orang yang selalu merasa dirinya tinggi, jatuhlah martabat orang yang merasa dirinya mulia, runtuhlah keangkuhan dan kesombongan seseorang.
2. Wukuf di Arafah
Iaitu pada 9 Zulhijjah, mengingatkan kita kepada satu peristiwa ketika dikumpulkan para makhluk di Padang Masyar pada hari kiamat, semua risau dan sangat khuatir, apakah amalan yang mereka lakukan di dunia diterima atau ditolak oleh Allah SWT.
Dengan mengingati hal ini, hati pun tetap merendah diri dan sangat mengharap belas kasihan Allah SWT. Tidak seperti sesetengah umat Islam yang berbuat amal hanya sedikit, tetapi sudah berani mendakwa dirinya mendapat pahala yang besar, mereka menganggap dirinya lebih mulia daripada orang lain. Malah ada yang lebih berani dengan mendakwa dirinya pasti masuk syurga. Sikap seperti ini adalah simbol seorang manusia yang angkuh dan dikuasai dengan keangkuhan yang ditiupkan oleh iblis laknatullah.
Kita mengharapkan semoga semua saudara kita yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini akan memperoleh haji yang mabrur. Oleh itu, mereka hendaklah membetulkan niat sebelum melangkah ke Tanah Suci. Bersabar menghadapi situasi di sana. Mengambil kesempatan melakukan sebanyak mungkin amalan fardu dan sunat sepenuh masa. Pastikan diri tidak melakukan maksiat dan dosa. Segala anggota hendaklah diawasi seperti mata, mulut dan anggota badan pada keseluruhannya.
Umat Islam yang melaksanakan ibadah haji secara bersungguh-sungguh akan merasa sangat terharu dan rindu untuk dapat kembali lagi ke Tanah Suci, bahkan ada yang berharap dapat mati di sana.
Kepada kita yang belum menunaikan fardhu Haji, maka;
1. Beriat dan berazamlah untuk menunaikan fardhu Haji dengan segera.
2. Berusaha untuk menyimpan wang yang mencukupi.
3. Berusahalah menunaikannya dalam usia yang masih muda.
Berusaha mempelajari ilmu yang berkaitan amalan haji.
"(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadah haji itu pada bulan-bulan tersebut, maka tidak boleh mencampuri isteri (bersetubuh) dan tidak boleh membuat maksiat serta tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji. Apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan berbekallah dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa (memelihara diri daripada keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir serta memahaminya)". (Al-Baqarah: 197)
No comments:
Post a Comment