PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

WAKAF : TALIAN HAYAT, TALIAN AKHIRAT

Agama Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling bantu-membantu dan tolong-menolong kerana dengan cara demikian dapat menimbulkan perasaan hormat-menghormati dan berkasih sayang sesama manusia. Dengan amalan demikian dapatlah kita nikmati kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni, baik dalam berkeluarga, bermasyarakat, mahupun bernegara.

Wakaf merupakan salah satu daripada cara perkongsian sesama manusia terutamanya di kalangan umat Islam. Sejarah khalifah Islam suatu ketika dahulu telah menunjukkan kepentingan dan kejayaan yang terhasil daripada amalan wakaf yang dilaksanakan oleh pemerintah. Demi untuk bekalan akhirat, umat Islam mewakafkan harta yang mereka miliki dan paling disayangi untuk dimanfaatkan oleh semua manusia. Hal ini adalah kerana mereka memahami firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 92:

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan (mendermakan) sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesuatu apa jua yang kamu nafkah, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".

Wakaf dari sudut syarak bermaksud : "menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud". Ini bermaksud, seseorang menyerahkan harta miliknya untuk dimanfaatkan oleh orang lain tanpa dapat menjualnya. Terdapat perbezaan di antara wakaf dan sedekah, iaitu sedekah akan diberikan khusus kepada orang yang memerlukan seperti fakir miskin, manakala fungsi wakaf lebih meluas dan umum iaitu dapat dirasai manfaatnya oleh semua orang termasuklah yang kaya dan berharta.

Ketahuilah bahawa orang yang berwakaf telah dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah SWT tidak kira bagaimana bentuk wakaf itu diberikan sama ada tunai ataupun aset kekal. Ganjaran ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu; ganjaran ukhrawi dan duniawi. Antara ganjaran ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah SWT ialah:

Pertama : Salah satu cara untuk memperolehi keberkatan dan pahala daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276:

"Allah menghancurkan riba' (dengan mengurangkan atau melenyapkan keberkatannya) dan menyuburkan sedekah-sedekah (dengan menambah dan mengembangkannya serta melipatgandakan pahalanya). Allah tidak menyukai setiap orang yang ingkar (yang menghalalkan riba) lagi banyak melakukan dosa".

Allah SWT telah memberikan perbezaan yang jelas di antara harta yang batil dan keberkatan yang akan dikembangkan melalui harta yang disedekahkan kerana Allah SWT.

Kedua : Orang yang bersedekah dan berwakaf akan mendapat naungan Allah swt di akhirat nanti.

"Naungan bagi seorang mukmin pada hari kiamat adalah sedekahnya".
(Riwayat Ahmad)

Ketiga : Pahala dan ganjaran yang berterusan walaupun selepas meninggal dunia.

Sabda Rasulullah SAW:

"Apabila seorang anak Adam mati, segala amalannya terputus kecuali tiga perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh mendoakan baginya".
(Riwayat Muslim)

"Sedekah jariah" di dalam hadis ini juga ditafsirkan oleh para ulama' sebagai wakaf. Jika dinilai, sedekah dan wakaf mempunyai kaitan yang sangat rapat. Kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT di akhirat kelak dengan ganjaran yang serupa tanpa berkurang sedikit pun.

Selain ganjaran Ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah SWT, amalan wakaf juga berperanan dalam membentuk pembangunan ummah. Antaranya;

Pertama : Wakaf dapat membantu mempertingkatkan tahap pendidikan ummah.

Ini kerana pendidikan merupakan satu aspek penting di dalam kehidupan kita masakini. Akan tetapi, ada sebilangan kita yang tidak mampu meneruskan pembelajaran disebabkan kekangan kewangan. Wakaf dapat diperluaskan dalam bidang pendidikan melalui penyaluran dana untuk pembangunan infrastruktur asas seperti bangunan sekolah yang lengkap, peralatan untuk pengajian dan keperluan asas lain yang diperlukan untuk memudahkan perjalanan proses pengajaran. Begitu juga, tanpa guru yang terlatih, pendidikan tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan tidak mampu mencapai tahap yang memuaskan. Oleh itu, dana wakaf juga boleh digunakan untuk menyediakan latihan dan penyelidikan intensif dalam melahirkan guru-guru terlatih. Di samping itu juga, melalui dana wakaf, pembiayaan untuk menyara yuran pengajian sehingga negara dapat melahirkan cerdik pandai dalam semua bidang keilmuan.

Kedua : Wakaf membantu pertumbuhan sektor ekonomi.

Prof. Ali Jumu'ah, Mufti Mesir, menyatakan di dalam artikelnya "Wakaf dan kesannya dalam pertumbuhan ekonomi" bahawa, Wakaf telah memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi umat Islam kerana wakaf adalah satu dana yang tidak boleh lupus atau hilang dan mesti diuruskan dengan amanah.

Lihat sahaja kecemerlangan wakaf yang dilaksanakan di Turki dan Singapura. Sebagai contohnya di Singapura sahaja, pada tahun 2008, sebanyak 1.7 juta Dollar Singapura telah diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), satu kenaikan sebanyak 35% berbanding 1.25 juta Dollar Singapura pada 2007. Ia juga adalah hasil pendapatan daripada lebih 100 hartanah wakaf yang bernilai 135 ribu dollar Singapura. Manakala di Selangor, bermula tahun 2006 hingga 2012, agihan sumbangan wakaf melebihi 232 ribu ringgit telah dicatatkan untuk membangunkan 26 projek-projek seperti surau, masjid, sekolah tahfiz dan juga klinik untuk manfaat masyarakat awam.

Begitu juga, Waqaf An-Nur Corporation Berhad telah melaburkan semula dana wakaf sebanyak 28 juta ringgit dan keuntungan pelaburan yang dicatatkan dalam tahun 2011 berjumlah 314 ribu ringgit. Sehingga Disember 2011, jumlah keseluruhan keuntungan pelaburan yang telah diterima adalah berjumlah 596 ribu ringgit. Demikianlah wakaf itu menjadi modal harta yang berkekalan demi kepentingan umat Islam sepanjang zaman.

Ketiga : Wakaf dapat membantu mempertingkatkan tahap kesihatan ummah.

Melalui dana wakaf yang terkumpul, ia dapat digunakan bagi membangunkan sektor kesihatan dan perubatan. Hari ini, keperluan kepada perubatan semakin mendesak. oleh itu, dana wakaf akan membantu dalam pembangunan infrastruktur seperti hospital dan klinik untuk kemudahan masyarakat awam. Di samping itu, wakaf juga dapat membantu melengkapkan peralatan perubatan yang terkini, menjalankan penyelidikan, serta menampung kos rawatan perubatan yang semakin tinggi pada masa kini.

Kelebihan menginfaqkan harta secara umumnya telah digambarkan dengan indahnya oleh Islam. Terlalu banyak nas-nas al-Quran dan sabda Nabi s.a.w. yang mengiyakan gesaan yang mulia ini. Sudah tentu apabila sesuatu perkara-perkara itu sentiasa diwarwarkan berulang-kali oleh Allah SWT, ini menunjukkan bahawa perkara tersebut amat penting dan sangat serius bagi-Nya. Anugerah dan ganjaran kepada pengamalnya juga sangat luar biasa. Namun malangnya tidak semua manusia yang benar-benar sudi menerima tawaran yang hebat daripada Allah SWT. Ini adalah akibat daripada tipisnya keimanan dan kefahaman terhadap ayat-ayat Ilahi.

Ayuh! kita rebutlah peluang berwakaf dan menginfaqkan harta di jalan Allah sebanyak-banyaknya selagi hayat dikandung badan. Sebagai contoh, melalui perkhidmatan wakaf yang ditawarkan oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), ia memberi peluang kepada masyarakat untuk berwakaf dengan cara yang mudah.

Akhirnya, suka juga diingatkan bahawa, apa yang paling penting untuk kita terapkan ialah keikhlasan dan niat yang betul ketika berwakaf, bukan kerana untuk mendapat penghargaan dan nama yang disebut-sebut di dunia ini. Hakikatnya, amalan tersebut akan dinilai di sisi Allah SWT di akhirat nanti.

"Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui".
(Al-Baqarah: 261)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...