Antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT terhadap hambanya di muka bumi ini adalah nikmat keamanan dan kesejahteraan. Kedua-dua nikmat ini mampu membawa hambanya ke arah kehidupan yang harmoni dan kemajuan yang tidak terhingga nilainya.
Kita sebagai umat Islam perlu menyedari bahawa memelihara keamanan dan memupuk kesejahteraan adalah suatu yang amat dituntut oleh agama. Memelihara keamanan dan memupuk kesejahteraan perlulah dilaksanakan dalam kehidupan kita seharian tanpa mengira status sosial, pegangan agama, fahaman, bangsa atau keturunan.
Sebagai seorang muslim, kita perlu sedar bahawa membentuk kehidupan individu, keluarga dan masyarakat yang aman dan sejahtera merupakan sunnah para nabi. Ini dapat dihayati melalui kisah nabi Allah Ibrahim seawal beliau sampai ke bumi Mekah al-Mukarramah. Nabi Allah Ibrahim a.s lantas berdoa kepada Allah SWT supaya menganugerakan keamanan dan keselamatan untuk bumi Mekah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 126:
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka...".
Ayat tersebut menjelaskan betapa Nabi Allah Ibrahim menyedari kepentingan nikmat keamanan itu dalam kehidupan sesebuah keluarga. Beliau bukan sahaja mendoakan keamanan untuk ahli keluarganya sahaja bahkan juga untuk kota Mekah. Nabi Allah Ibrahim menyedari keamanan adalah lambang kesejahteraan dan kebahagiaan diri dan masyarakat. Dengan keamanan, manusia mampu mencapai segala kebahagiaan, ketenangan, kebaikan dan juga mampu melakukan pembaharuan yang diimpikan oleh manusia.
Nilai keamanan dan kesejahteraan yang dianjurkan Islam adalah amat sesuai dipraktikkan bagi setiap masa dan zaman dan ini bersesuaian dengan kedudukan Islam itu sendiri sebagai agama pembawa rahmat dan kesejahteraan. Kita semua perlu sedar bahawa Islam bukanlah agama yang mencetuskan keganasan dan perasaan takut atau menyeru ke arah persengketaan dan pertumpahan darah. Sebaliknya Islam menjadi perantara bagi mengajak semua bangsa ke arah keamanan dan kesejahteraan
Menyuburkan dan mengekalkan keamanan adalah amat penting bagi sesebuah masyarakat. Ini kerana.
Pertama : Dapat menjamin kehidupan yang harmoni.
Kedua : Dapat menjadikan kita umat yang dihormati dan disegani bangsa lain.
Ketiga : Dapat memberikan keselesaan untuk beribadat kepada Allah SWT tanpa dibayangi perasaan takut dan bimbang.
Keempat : Merealisasikan objektif agama Islam iaitu sebagai rahmat kepada seluruh alam, samada manusia dan juga makhluk lain.
Model yang mesti dicontohi oleh kita semua dalam mempromosi nilai keamanan dan kesejahteraan adalah dengan merujuk kepada amalan Nabi Muhamad s.a.w. Secara umum, prinsip yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menyelesaikan segala permasalahan masyarakat Islam yang timbul adalah sentiasa menjuruskan kepada keamanan dan kesejahteraan. Prinsip yang sama juga dipraktikkan oleh Baginda s.a.w. ketika berdakwah dan berdepan dengan musuh.
Sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda
"Seorang mukmin adalah dia yang memberi jaminan rasa aman kepada manusia atas darah dan harta mereka".
(Riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa'ie dan Ahmad)
Begitu juga dalam hadith daripada Abdullah bin ‘Amru R.A. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Seseorang Muslim yang sempurna (keislamannya) ialah seseorang yang sejahterakan kaum Muslimin daripada lidahnya dan daripada tangannya dan seseorang yang benar-benar berhijrah ialah seseorang yang meninggalkan apa jua yang ditegah oleh Allah daripadanya".
(Riwayat al-Bukhari)
Kedua-dua hadith di atas menjelaskan prinsip dan amalan Rasululah s.a.w. dalam usaha menjamin keamanan dan kesejahteraan masyarakat. Sebagai contoh, usaha pertama Baginda s.a.w. apabila berada di kota Madinah adalah membuat perjanjian dengan kabilah dan puak yang mempunyai pelbagai budaya dan fahaman. Maka terhasillah Piagam Madinah atau Perlembagaan Madinah di mana intipati utama adalah keamanan dan kesejahteraan. Piagam tersebut menegah penduduk Madinah yang mempunyai pelbagai latar belakang, budaya dan fahaman dari melakukan sebarang bentuk keganasan dan penindasan.
Rasulullah s.a.w. pernah berjiran dengan seorang Yahudi. Baginda sangat menjaga hak-hak jiran. Baginda menghormati jirannya dan tidak pernah melakukan sesuatu yang menyakiti hati jirannya. Bahkan Baginda sentiasa menghadiahkan makanan dan lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.
Begitu juga sikap Rasulullah s.a.w. dengan masyarakat bukan Islam. Baginda s.a.w. sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir zimmi iaitu golongan bukan islam yang patuh kepada pemerintahan Islam. Baginda s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang menzalimi kafir zimmi, maka akulah pembelanya, sesiapa yang menjadikanku pembelanya, maka aku pasti akan membelanya juga pada hari Kiamat."
Persoalan yang perlu kita sama-sama fikir pada hari ini adalah bagaimana kita boleh mencapai keamanan dan kesejahteraan sebagaimana yang di anjurkan oleh Islam? Siapakah yang perlu memainkan peranan ini?
Justeru, untuk merealisasikan keamanan dan kesejahteraan dalam sesebuah Negara semua pihak hendaklah memainkan peranan bermula daripada peringkat individu, masyarakat dan pemimpin negara bertanggungjawab melaksanakannya. Ini bermaksud rakyat dan pemimpin semuanya mempunyai tanggungjawab dan peranan yang tersendiri.
Sebagai rakyat biasa, di peringkat individu mestilah patuh kepada pemerintah, tidak menceroboh hak orang lain, beramanah dalam menjalankan tugas, sentiasa berlapang dada, berusaha meningkatkan ketaqwaan dan keikhlasan kepada Allah SWT dalam apa jua tindakan.
Di peringkat masyarakat pula, sama-sama mematuhi peraturan, saling tolong-menolong, menghindari fitnah-memfitnah, bersikap terbuka, saling hormat menghormati, prihatin terhadap apa yang berlaku dan tidak mementingkan diri sendiri. Di samping itu, sentiasalah bertoleransi sesama manusia tanpa mengira batasan agama, fahaman, bangsa dan sebagainya.
Sebagai pemerintah sesebuah negara, para pemimpin mestilah berusaha menjaga keamanan negara dan rakyat sentiasalah bersikap amanah dalam menjalankan tugas dengan menjadikan prinsip adil sebagai asas dalam menentukan sesuatu perkara tanpa menekan dan menindas rakyat. Selain itu, hendaklah memberikan hak-hak yang sewajarnya bagi rakyat melalui apa jua mekanisma yang boleh menjamin keamanan dan kesejahteraan sesebuan negara.
Pengajaran yang dapat sama-sama kita hayati daripada khutbah ini adalah, marilah sama-sama kita memahami ajaran Islam secara menyeluruh. Sama-sama menghayati konsep keamanan dan kesejahteraan sebagaimana dianjurkan oleh Islam. Sama-sama kita berlapang dada dan bertolak ansur dalam menjalani kehidupan seharian.
Sama-samalah kita membantu dan menyokong mana-mana sahaja pihak yang ingin menjadikan Islam sebagai asas kehidupan ummah. Sekiranya ini difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan individu, masyarakat dan dikalangan pemimpin Negara, maka insyaAllah kita akan dapat hidup dalam suasana yang aman dan sejahtera walaupun hidup dalam Negara yang berbilang bangsa dan fahaman. Maka peliharalah keamanan dan kesejahteraan Negara kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama.
"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya".
(Al-A‘raaf : 56)
No comments:
Post a Comment