Solat merupakan rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Perintah mendirikan solat ini telahpun bermula semenjak berlakunya satu peristiwa besar di dalam Islam yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Solat mestilah dilaksanakan dengan segera mengikut waktu-waktu yang telah ditentukan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 103 :
"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya".
Ibadat solat mempunyai kepentingannya dan berkait rapat dengan kehidupan manusia. Di antara kepentingan solat yang dapat mempengaruhi kehidupan seharian kita ialah solat dapat membina keperibadian dan akhlak yang mulia. Ibadat solat dapat mempengaruhi jiwa seseorang hamba untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia. Apabila solat dapat dikerjakan secara istiqamah, maka jiwa kita akan mengalami perubahan dari satu keadaan yang buruk ke satu tahap yang lebih baik. Dengan solat, seseorang akan belajar mengenai sifat sabar, tenang, bersopan dan berlemah lembut sepanjang melakukan pekerjaan-pekerjaan solat. Secara tidak langsung, amalan ini akan dapat mendidik seseorang dan membiasakannya dengan akhlak-akhlak yang baik di dalam kehidupan sehariannya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 - 23:
"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya".
Ibadat solat dapat menjaga pelakunya daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan dosa serta mengikut hawa nafsu. Apabila solat dilakukan dengan sempurna dan khusyuk, ia akan dapat mempengaruhi jiwa pelakunya untuk tunduk dan taat kepada perintah Allah SWT. Pada masa yang sama juga, ia akan dapat mencegah pelakunya dari perkara-perkara keji serta membimbingnya ke jalan kebaikan dan sifat-sifat yang terpuji. Dalam hal ini, ada diriwayatkan bahawa nabi Syuaib A.S. pernah memerintahkan kaumnya agar mendirikan solat kerana solat dapat mendorong mereka melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Lalu kaumnya menjawab sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Huud ayat 87 :
"Mereka (kaumnya) berkata; wahai Syuaib, apakah solatmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami atau supaya kami tinggalkan apa yang kami suka lakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syu'aib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?".
Di antara kepentingan solat juga adalah ia menjadi jalan keluar bagi orang yang beriman apabila menghadapi sebarang kesulitan atau kesusahan. Sesungguhnya memang tidak dapat dinafikan, bahawa setiap manusia akan menghadapi ujian dalam hidup sama ada ujian harta, ujian ketakutan, kelaparan dan lain-lain lagi. Justeru solat adalah merupakan satu-satunya cara yang paling mujarab bagi seorang hamba yang ingin meminta pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT. Dengan solat, jiwa orang yang beriman akan menjadi tenang dan tenteram, lantas mereka dapat mengharungi segala ujian dan cubaan dengan tabah dan bertawakal kepada Allah SWT.
Rasulullah s.a.w, ketika mana baginda merasa resah dan terhimpit disebabkan oleh penghinaan kaum musyrikin terhadapnya, maka Allah SWT telah memerintahkan baginda supaya mendirikan solat dan berzikir kepada-Nya. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Hijr ayat 97-98 :
"Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud (solat)".
Selain daripada itu, solat juga dianggap sebagai pembuka jalan atau pemudah cara yang dapat mempermudahkan rezeki kita. Sebagai hambanya yang beriman, kita mestilah menerima hakikat bahawa setiap rezeki yang diterima adalah datangnya daripada Allah SWT. Dia berhak memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga berhak menahan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-A'raf ayat 96 ;
"Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".
Sesungguhnya orang-orang yang ditahan rezeki mereka adalah disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, dan mereka juga tidak menunaikan hak-hak Allah SWT. Oleh kerana itu, setiap daripada kita yang mengaku beriman kepada-Nya, wajib menunaikan hak-hak Allah SWT dengan melaksanakan ibadah solat dan yang lainnya agar rezeki yang telah ditentukan oleh Allah SWT akan diturunkan dengan mudah dan mendapat keberkatan daripada-Nya.
Sesungguhnya ibadat solat merupakan hak Allah SWT yang paling utama untuk kita laksanakan. Melalaikan ibadat solat atau meninggalkannya bererti kita telah merendah-rendahkan hak Allah SWT. Adapun orang yang merendah-rendahkan hak Allah SWT ini pasti akan mendapat akibat dan balasan azab yang sangat pedih daripada-Nya. Di antara akibat melalaikan dan meninggalkan ibadat solat ialah;
1. Mereka dianggap sebagai kufur dan juga munafik
2. Mereka tergolong di dalam golongan yang dimusuhi oleh Rasulullah s.a.w sehinggalah mereka mendirikan solat
3. Hati mereka akan menjadi gelap dan tidak mendapat nur hidayah daripada Allah SWT
4. Harta benda dari hasil usaha mereka tidak mendapat keberkatan, bahkan menjadi punca kecelakaan kepada mereka.
Selain daripada itu, perkara yang amat ditakuti apabila kita meninggalkan ibadat solat ialah mati dalam keadaan su'ul khatimah. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melihat seorang yang sedang solat, namun tidak menyempurnakan rukuknya dan tergesa-gesa dalam sujudnya, maka baginda bersabda;
"Seandainya orang ini meninggal dalam keadaan seperti ini, maka ia meninggal bukan dalam agama Muhammad s.a.w.".
(Riwayat Tabrani)
Sebagai kesimpulan daripada khutbah pada hari ini, bahawa kewajipan ibadah solat bukanlah sebenarnya suatu bebanan kepada kita semua, sebaliknya ia mempunyai banyak kebaikan dan kepentingan yang dapat dimanfaatkan di dalam kehidupan seharian kita. Di antara manfaat dan kebaikan solat ini ialah;
1. Ia dapat membantu diri kita, keluarga dan juga masyarakat kita untuk membina generasi yang baik akhlak dan budi pekertinya.
2. Ibadat solat juga dapat membantu kita dalam menangani pelbagai gajala yang merosakkan kehidupan masyarakat kita seperti rasuah, membunuh, merompak, zina dan perbuatan-perbuatan maksiat yang lain.
3. Ibadat solat juga dapat memotivasikan diri kita untuk terus tabah menghadapi segala cabaran yang datang kepada kita.
4. Ibadat solat juga menjadi kunci utama untuk kita mendapatkan rezeki yang halal dan diberkati oleh Allah SWT.
Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha meningkatkan kualiti solat kita setiap hari agar kehidupan yang kita jalani pada hari ini akan menjadi lebih baik dan lebih sempurna serta mendapat beberkatan daripada Allah SWT.
"Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (yang Maha Esa dan Maha kuasa) sentiasa bertasbih kepadanya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha mengetahui akan apa yang mereka lakukan".
(An-Nur : 41)
No comments:
Post a Comment