Kita sedang berada dalam zaman yang penuh pancaroba. Zaman manusia saling kejar mengejar dalam merebut harta dunia. Zaman manusia tidak memperdulikan hukum halal dan haram dalam melakukan sesuatu tindakan. Zaman manusia sering merasa tertipu dengan sistem yang ada. Zaman manusia sering kecewa dengan nasib malang yang menimpa diri masing-masing.
Manusia bagaikan hilang arah apabila bercakaran sesama sendiri. Masing-masing saling salah menyalahkan antara satu sama lain. Masing-masing mendakwa merekalah yang benar. Akibatnya berlakulah pertelagahan yang tidak ada nokhtah penghujungnya. Dalam menyelesaikan segala kepincangan yang berlaku, manusia hari ini perlu merendah diri dan menoleh seketika kepada perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. Ini kerana sirah baginda s.a.w. bukan semata-mata kisah dan cerita panglipurlara. Ia adalah rencana hidup utusan Allah yang perlu diteladani dan diikuti oleh sekalian umatnya. Sirah Nabi s.a.w. adalah model kehidupan beragama yang dikehendaki oleh Allah Tuhan semesta alam.
Allah berfirman di dalam surah Al-Ahzab ayat 21:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah generasi yang menyaksikan penurunan wahyu Ilahi. Mereka menerima arahan dan perintah secara langsung dari Allah. Lantas mereka berdakwah dan berjihad pada jalan-Nya tanpa merasa gerun dan gentar. Mereka menyeru kepada yang maaruf dan menghalang segala kemungkaran dan maksiat. Hasilnya, mereka berjaya menebarkan keamanan dan keadilan di atas muka bumi ini. Mereka membuktikan kepada dunia bahawa merekalah kaum penyelamat di atas muka bumi Allah ini.
Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 74:
"Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia".
Pengutusan Nabi s.a.w. dan dakwah baginda telah Berjaya merubah landskap kehidupan manusia pada zaman berkenaan. Sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri berubah menjadi kelompok manusia yang bersatu padu dan bermuafakat. Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri oleh Ja'afar bin Abi Talib sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah.
Rasulullah s.a.w mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi. Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Uthman bin Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib.
Inilah antara intipati sirah yang mahu kita suburkan dalam masyarakat kita yang semakin hilang jatidiri sehingga agama dipinggirkan manakala hawa nafsu dijadikan Tuhan. Kesannya begitu dahsyat di mana jika pada zaman jahiliah anak perempuan ditanam hidup-hidup atas alasan mereka membawa sial sedangkan jahiliah moden membunuh anak lelaki dan perempuan akibat merebaknya zina.
Mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seramai 152,182 orang anak luar nikah dilahirkan sejak tahun 2008 hingga 2010. Itu belum kira masalah dadah, jenayah yang lain yang semakin merebak. Kejayaan dan kegagalan kita bergantung pada sejauh mana kita mahu berhijrah kepada keadaan yang lebih baik berasaskan Islam.
Manusia seolah-olah hilang pedoman dan buntu mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah pembuangan bayi. Mereka sentiasa berteori dan memerah otak memikirkan jalan penyelesaian tanpa sekelumit kesedaran untuk kembali kepada syariat Allah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Lihatlah bagaimana dengan pelaksanaan akhlak Islam, syariat Islam dan undang-undang Islam, baginda berjaya merubah kehidupan manusia yang caca merba menjadi manusia yang berdisiplin, berakhlak, bertamadun dan disegani oleh kawan dan lawan.
Nabi Muhammad s.a.w berjaya membina Tamadun hebat kerana melaksana sistem Islam dengan menghancurkan jahiliah sebaliknya umat Islam hari Islam mengagungkan jahiliah dengan meninggalkan sistem Islam sehingga merana dan hina di negara sendiri.
Di dalam Al-Quran, Allah memberi jaminan bahawa sesebuah negara itu akan menjadi aman sentosa serta maju dan membangun dengan syarat pemimpin dan rakyatnya mementingkan konsep keimanan dan ketaqwaan. Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah Al-A'raf ayat 96:
"Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".
Sirah Nabi s.a.w. Hijrah membuktikan bahawa umat Islam mampu untuk berdiri sendiri tanpa perlu bergantung kepada mana-mana kuasa besar sama ada Rom mahupun Farsi. Dalam mengurus tadbir negara, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berjaya mempamerkan pengurusan yang sangat amanah berasaskan Islam sehingga berjaya merubah kerajaan Madinah daripada sebuah kerajaan kecil yang akhirnya berjaya menumbangkan Empayar Rom Kristian dan Empayar Parsi Majusi seterusnya menguasai Empayar Hindu India dan Empayar Budha China. Tanpa perlu bergantung kepada kuasa dan penasihat luar, kerajaan Madinah mampu menyelesaikan masalah ekonomi, sosial dan politik dengan begitu cemerlang.
Kepimpinan nabi s.a.w. dan para sahabat juga sentiasa membuka ruang kepada rakyat Madinah untuk memberikan teguran dan kritikan membina yang sepatutnya menjadi contoh kepada umat akhir zaman. Sesungguhnya kegagalan kita untuk berhijrah kepada corak kepimpinan Rasulullah s.a.w. ini menyebabkan kita ketinggalan jauh ke belakang berbanding kaum lain.
"Katakanlah, jika kamu cintakan Allah, ikutlah aku (Muhammad) nescaya kamu akan dikasihi oleh Allah dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu".
(Ali-Imran : 31)
No comments:
Post a Comment