Setiap insan yang hidup di atas muka bumi ini pasti akan melalui saat kematian. Seringkali kita melihat, apabila berlaku kematian, perkara utama yang difikirkan oleh waris yang hidup, ialah harta peninggalan si mati atau dikenali sebagai ‘Harta Pusaka’. Sedangkan perkara-perkara utama yang perlu dilakukan sebelum para waris mengagihkan harta-harta tersebut ialah:
1. Menggunakan wang pusaka bagi urusan pengkebumian si mati.
2. Melunaskan segala hutang piutang si mati yang masih tertunggak.
3. Membayar zakat tertunggak, fidyah dan kaffarah serta Haji.
4. Melaksanakan wasiat-wasiat yang ditinggalkan oleh si mati berkaitan hartanya.
Amat menyedihkan apabila waris-waris hanya sibuk memikirkan bahagian fara’id masing-masing selepas kematian si mati hingga mengabaikan kewajipan-kewajipan berhubung harta tersebut yang perlu ditunaikan segera. Lebih malang lagi apabila harta itu menjadi sebab tercetusnya pertelingkahan di kalangan mereka sedangkan ‘tanah di pusara si mati masih lagi merah dan bunga yang ditabur masih belum kering.’ Tidak kurang juga ada di kalangan si mati sebelum kematiannya yang memandang remeh kepada peruntukan hukum fara’id dengan meninggalkan wasiat melebihi had-had yang dibenarkan oleh syarak sehingga menzalimi ahli-ahli waris yang lebih layak dan memerlukan.
Persoalannya, apakah punca sehingga berlaku kecelaruan yang sedemikian? Adakah syariat berdiam diri terhadap isu-isu sepenting ini? Dimanakah Umat Islam dalam memahami dan melaksanakan hukum-hukum Allah dan Sunnah Rasulullah berhubung pengurusan dan pentadbiran harta peninggalan si mati? Apakah pula jalan penyelesaian yang terbaik agar fenomena sebegini tidak berterusan?
Terlebih dahulu, perlulah difahami bahawa matlamat pentadbiran harta pusaka dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama : Melunaskan segala kewajipan yang dipikul oleh si mati berkaitan harta peninggalannya, merangkumi hutang kepada Allah seperti fidyah, kaffarah, zakat dan haji serta hutangnya kepada sesama manusia seperti hutang dengan individu, rumah, kereta dan sebagainya.
Kedua : Menunaikan hak-hak si mati pada harta tersebut yang merangkumi kos pengurusan jenazah, hibah serta wasiat (pemberian) yang tidak melebihi 1/3 harta peninggalan kepada para penerima selain ahli waris dan seterusnya melaksanakan agihan fara’id terhadap harta yang masih
berbaki untuk ahli-ahli waris yang masih hidup.
Bagi mencapai matlamat-matlamat tersebut secara adil dan sistematik, seterusnya mengelakkan pertelingkahan sesama manusia, suatu dokumen pentadbiran harta pusaka perlulah disediakan oleh setiap muslim yang berakal, baligh, berharta dan merdeka sementara masih berkesempatan berbuat demikian. Justeru kita perlu berbuat demikian sebelum kehadiran Malaikat Izrail menjemput kita kembali kepada Allah, agar segala harta kita tidak menjadi bebanan yang akan dipersoalkan dirinya di akhirat kelak.
Daripada Abdullah bin Umar R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidaklah patut seorang muslim yang memiliki wasiat (pesanan selepas mati) untuk tidur sehingga dua malam, melainkan wasiatnya itu hendaklah tertulis di sisinya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut Nafi’e, Abdullah bin Umar berkata: Semenjak daku mendengar kata-kata Nabi ini, daku tidak pernah tidur tanpa menulis wasiat di sisiku, walaupun hanya satu malam.
Demikianlah betapa besarnya kepentingan menulis dokumen wasiat dan pentadbiran pusaka sehinggakan penjelasan berhubung hukum dan kaedahnya diterangkan dengan begitu terperinci di dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w.
Selain itu, terdapat banyak lagi sebab mengapa kita perlu memiliki dokumen pentadbiran harta pusaka. Namun, kesedaran tentang keperluan menulis ‘pesanan terakhir’ ini cukup rendah terutama di kalangan orang Islam, sedangkan ia sepatutnya dijadikan sebahagian daripada keperluan
hidup kita sebagai seorang muslim.
Mengapakan terjadi demikian? Jawapannya adalah mungkin kerana kita tidak memikirkan tentang kematian yang akan datang pada bila-bila masa, atau kemungkinan kerana ilmu dan maklumat berkenaan pentadbiran harta pusaka yang agak dangkal pada diri kita. Aneh dan pelik apabila memikirkan Umat Islam sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk ber’sms’ menghantar ‘pesanan-pesanan ringkas’ setiap bulan, tetapi gagal untuk berbelanja demi ‘menulis pesanan terakhir’ yang hanya dilakukan sekali di dalam hidupnya.
Kelalaian serta kegagalan ramai Umat Islam hari ini untuk mendokumentasikan mandat pentadbiran harta pusaka individu sebelum kematian telah menyebabkan timbulnya pelbagai akibat buruk.
Akibat pertama :
Lebih 40 billion ringgit harta yang telah dibekukan kerana simati gagal berwasiat Menurut laporan akhbar, terdapat lebih RM 40 Bilion jumlah harta peninggalan yang beku. Ini termasuk wang ringgit yang tidak dituntut (4.4 Billion), caruman KWSP (277 juta) dan Tabung Haji sebanyak RM 60 juta. Harta yang terbeku ini antaranya adalah berpunca daripada ketiadaan dokumen wasiat si mati. Jumlah tersebut adalah nilai yang dicatatkan pada tahun 2010. Pada hari ini sudah tentu nilainya semakin bertambah.
Akibat kedua :
900,000 hak milik tanah masih atas nama simati Kesan yang paling merugikan daripada fenomena ini ialah banyak hartanah tidak dapat dibangunkan atau dijual beli. Ini bukan sahaja merugikan ahli keluarga si mati tetapi kepada orang Islam keseluruhannya kerana ekonomi orang Islam tidak dapat dikembangkan.
Akibat ketiga :
Menyumbang kepada masalah sosial. Kita dapat melihat berita-berita yang dipaparkan di dada-dada akhbar bagaimana ada di
kalangan anak yang tergamak memohon ibunya menjunjung al-Quran bagi menafikan wasiat bapanya yang telah meninggal dunia. Perkara ini terjadi kerana WASIAT yang dibuat tidak bertulis atau tidak ada wasiat langsung.
Antara gejala sosial yang lain ialah; lelaki tua yang diikat untuk diambil cap jarinya gara-gara tamakkan harta pusaka, nenek yang ditumbuk sepupu kerana tidak puas hati tentang pembahagian pusaka, adik sanggup mendakwa kakak sebagai ‘anak luar nikah’ kerana hendak
membolot keseluruhan harta pusaka dan berbagai-bagai perkara lagi yang berlaku akibat daripada perebutan harta selepas kematian seseorang.
Islam sebagai agama yang syumul telah menyediakan suatu kaedah terbaik untuk menguruskan harta seseorang sebelum mereka menghadapi kematian. Ia menggabungkan beberapa kaedah Syariah seperti amanah, wisayah, kafalah, wakalah, hibah, wasiyyah, hadhanah dan fara’id. Sekiranya kaedahkaedah ini disusun dan ditadbir dengan baik menurut kehendak syarak, maka nasib kaum kerabat terdekat yang memerlukan bantuan akan terbela. Begitu juga, golongan lain seperti anak angkat, anak susuan, bapa angkat, ibu angkat dan sebagainya yang mempunyai hubungan kasih sayang yang rapat tapi tidak berhak mendapat harta pusaka boleh diberikan wasiat atau hibah. Kewujudan Baitul Mal dan agensi-agensi kewangan yang menawarkan khidmat pengurusan, perancangan serta pentadbiran harta pusaka perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap muslim bagi mencapai matlamat-matlamat syarak (atau Maqasid as-Syariah).
Setelah menyedari kepentingan menulis dokumen ini dan akibat buruk dari ketiadaannya, mimbar Jumaat pada hari ini ingin menyarankan beberapa kaedah bagi menyelesaikan kemelut yang bakal berlaku selepas kematian yang berpunca daripada harta peninggalan simati. Antara
saranan Mimbar Jumaat pada hari ini, ialah:
1. Setiap Umat Islam perlu menyedari bahawa penulisan dokumen wasiat adalah perkara yang dituntut oleh syarak.
2. Mereka juga perlu menyedari bahawa penulisan dokumen wasiat ini dapat mengelakkan pertikaian berhubung kesahihan sesuatu wasiat,
memadamkan rasa tidak berpuas hati atas pengagihan harta lantas mengelakkan berlakunya pertelingkahan di kalangan waris si mati.
3. Setiap yang memiliki harta perlulah berusaha menyediakan dokumen pentadbiran pusaka dengan memanfaatkan khidmat penulisan dokumen ini melalui Baitul Mal atau agensi-agensi bertauliah yang mampu menguruskan harta pusaka selepas kematian.
4. Setiap anggota keluarga perlulah diberikan kesedaran berhubung fungsi dan kepentingan penulisan dokumen harta pusaka ini.
5. Segala hutang piutang yang perlu dijelaskan oleh setiap muslim hendaklah disenaraikan supaya dapat diuruskan oleh pemegang
amanah yang berkemampuan dan dikenalpasti semasa hidup, agar para waris tidak terbeban atau teraniaya selepas kematian mereka.
Semoga dengan mendengar Ayat ini, kita semua dikurniakan kesedaran oleh Allah tentang suatu hakikat sebenar bahawa kita hanyalah
pengurus-pengurus kepada segala harta benda dan anak serta keluarga bagi pihak pemiliknya yang sebenar iaitu Allah SWT. Kegagalan kita
mengurus dan mentadbir dengan baik pastinya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kelalaian kita meniggalkan pesanan terakhir yang berkesan tentang segala harta tersebut sehingga membawa padah kepada anak-anak serta waris yang masih hidup adalah satu kesalahan besar.
Insaflah! sebelum terlambat. Bertindaklah segera demi keselamatan diri kita di alam yang kekal abadi, dan kesejahteraan buat mereka yang
akan meneruskan amanah pentadbiran harta dan anak-anak yang bakal kita tingalkan.
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala
yang besar”. (Al-Anfal : 28)
No comments:
Post a Comment