PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

TARBIAH RASULULLAH SAW PEMANGKIN PEMBANGUNAN UMMAH

Tarbiah atau pendidikan merupakan asas yang sangat penting dalam membangunkan sesebuah ummah, sama ada pembangunan jasmani mahupun rohani. Manakala ilmu pula dapat membimbing manusia ke arah kehidupan yang sejahtera dan harmoni. Justeru, pendidikan dan ilmu adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya saling berkait dan memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia.
Penekanan Rasulullah SAW terhadap kepentingan pendidikan ini telahpun diterjemahkan dalam kehidupan baginda sendiri yang berperanan sebagai guru sepanjang  tempoh menyampaikan risalah Islam. Ketika di zaman permulaan Islam, baginda telahpun menjalankan siri-siri tarbiah kepada para sahabat termasuklah di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Proses pentarbiahan ini berterusan sehinggalah baginda berhijrah ke kota Madinah, di mana baginda telah mendirikan Masjid an-Nabawi untuk melaksanakan solat berjemaah dan menjalankan aktiviti-aktiviti pentarbiahan serta pentadbiran negara.
Berkat keazaman dan kesungguhan baginda dalam mentarbiah para sahabat ini akhirnya telah melahirkan generasi yang kuat pegangan akidah kepada Allah SWT, kuat cinta mereka kepada baginda dan juga kuat cinta mereka kepada ilmu. Mereka menjadi pejuang yang berada di saf-saf hadapan ketika berjihad bersama Rasulullah SAW dan mereka jugalah yang memenuhi ruang Masjid an-Nabawi ketika mana Nabi SAW menyampaikan risalah Islam.
Mimbar jumaat pada hari ini menyeru agar kita mengambil iktibar dan menghayati keazaman serta kesungguhan baginda dalam membangunkan umat Islam menjadi insan yang berilmu, beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Kita juga seharusnya menjadikan para sahabat Rasulullah SAW sebagai penyuntik semangat dalam meningkatkan azam serta kesungguhan untuk terus bangkit, menjadi umat yang terbaik di akhir zaman ini.
Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 110 :

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) ".
Pada hakikatnya, matlamat untuk menjadi umat yang terbaik dan bertaqwa pada hari ini tidak mungkin akan tercapai melainkan ianya mestilah bermula dengan proses tarbiah ataupun pendidikan. Adapun perkara terpenting dalam pengisian tarbiah ini adalah dengan mendahulukan ilmu keagamaan yang dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Dalam waktu yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa ilmu-ilmu yang lain juga perlu diberikan penekanan sebagai memenuhi keperluan hidup di dunia. Sesungguhnya, iman yang kental dan jiwa yang dipenuhi dengan ilmu ini akan menjadi perisai kepada kita dalam mengharungi apa jua rintangan untuk menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan juga di akhirat.
Sebagai umat nabi Muhammad SAW, kita seharusnya bersama-sama meningkatkan azam dan tekad untuk terus belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu. Ini kerana apabila umat Islam memiliki ilmu, mereka akan mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain. Sebaliknya pula, apabila tidak dapat menguasai ilmu, kita akan menjadi bangsa yang lemah dan mudah ditindas oleh bangsa lain yang jauh lebih maju daripada kita. Hal ini dapat kita lihat dengan jelas di sesetengah negara yang miskin, di mana mereka terpaksa meminta belas ihsan daripada kuasa-kuasa besar dunia yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Justeru beringatlah, bahawa punca kelemahan dan kemunduran umat Islam pada hari ini adalah kerana kurangnya ilmu dan kejahilan yang melanda diri mereka.
Firman Allah dalam surah Al- Mujadalah ayat 11:

"wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu supaya memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (seba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan".
Sesungguhnya ilmu adalah seumpama cahaya yang dapat menerangi kehidupan kita daripada kegelapan dan kesesatan. Dengan ilmu, kita akan menjadi insan yang bersikap positif dan amanah terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Dengan ilmu juga, akan menjadikan kita insan yang sentiasa bermotivasi untuk meningkatkan mutu kerja serta bergerak pantas untuk lebih maju ke hadapan.
Kewajipan mempelajari ilmu bukanlah terbatas hanya kepada pelajar-pelajar di sekolah ataupun siswa siswi di institusi pengajian tinggi sahaja, sebaliknya setiap umat Islam yang mukallaf sama ada yang masih bekerja mahupun yang telah bersara juga mempunyai kewajipan yang sama. Apatah lagi mempelajari ilmu merupakan suatu tuntutan daripada junjungan besar nabi kita Muhammad SAW.
Hadis daripada Anas R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

"Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim
Golongan pelajar mempunyai tanggungjawab belajar yang amat besar kerana mereka merupakan generasi pelapis yang akan mewarisi takhta pemerintahan dan pentadbiran di negara ini. Oleh itu, nasihat dan tegurlah anak-anak kita supaya  tinggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat seperti permainan video game, berpeleseran, terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dan lain-lain lagi. Apabila bermulanya sesi persekolahan yang baharu, kita menyeru kepada  ibubapa mahupun guru dan pensyarah, untuk menanamkan semangat dalam jiwa mereka dengan keazaman untuk bangkit menjadi insan yang dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan juga negara. 
Pada masa yang sama,kita sebagai ibubapa, penjaga, pekerja dan pesara tidak terkecuali daripada kewajipan mempelajari ilmu terutamanya yang dapat meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah  SWT. Sekalipun kita sibuk dengan tugas-tugas seharian, seharusnya kita bijak mengatur dan membahagikan masa yang ada, sebahagiannya untuk kerja-kerja menyara kehidupan dan sebahagiannya lagi untuk mempelajari ilmu-ilmu yang menjamin kebahagiaan di akhirat kelak.
Hadis daripada Abu Darda' bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

"Sesiapa yang menempuhi jalan yang dimanfaatkan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan jalannya menuju ke syurga"
Sejak kebelakangan ini, umat Islam di Selangor khasnya berpeluang untuk mengikuti siri-siri kuliah pengajian agama yang di adakan di masjid-masjid dan juga di surau-surau. Kuliah pengajian ini dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang bertauliah dan dipantau oleh pegawai-pegawai agama yang berkelayakan. Justeru, kita sebagai umat Muhammad SAW hendaklah sentiasa menggunakan peluang yang diberikan oleh Allah S.W.T ini untuk menimba ilmu-ilmu agama dengan sebaik-baiknya sebagai langkah memahami tarbiah Rasulullah SAW. Sesungguhnya keazaman dan kegigihan kita dalam menunaikan tanggungjawab mencari ilmu adalah menjadi lambang keagungan cinta kita kepada Rasulullah SAW.
Hadis daripada Abu Darda' R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :

"Jadilah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama atau orang yang mencintai (tiga golongan tersebut) dan janganlah kamu menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya kami akan binasa"
Marilah kita sama-sama berusaha untuk melaksanakan perkara-perkara yang berikut :
1)           Kita hendaklah mematuhi nasihat Rasulullah SAW yang menyarankan supaya kita menuntut dan cintakan ilmu.
2)           Kita hendaklah memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti hidup kita dengan berilmu.
3)           Ibu bapa hendaklah mentarbiah anak-anaknya sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW.
4)           Ibu bapa hendaklah sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di Masjid-masjid dan surau-surau sebagai bukti cintakan Rasulullah SAW.

" Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang maha pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".
                                                                                                                   (Surah Al-Alaq:1-5)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...