PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

MEMPERTAHAN NEGARA TUNTUTAN ISLAM

Sambutan Hari Pahlawan cukup melakar pengertian kepada kita, sebagai anak bangsa yang cinta akan agama, bangsa dan Negara. Pahlawan Negara sama ada terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan lain-lain agensi keselamatan, serta individu yang secara bersama, mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Negara. Demikian juga mereka telah berjuang dan berkorban untuk kesejahteraan ummah dan Negara.

Sebagai pewaris Negara, kita sedar bahawa pengorbanan generasi terdahulu cukup berharga sekali. Maka, menjadi tanggungjawab kita ialah bersedia meneruskan serta memelihara semangat kepahlawanan, menyusun langkah bersama, mengatur perpaduan bangsa dan membangun kecemerlangan negara. Demikian persediaan yang perlu dibuat untuk menjadi sebuah Negara yang aman dan makmur serta mendapat keampunan dan keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 60:

Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi”.

Sesungguhnya, keamanan dan keharmonian yang diraih hari ini tidak datang sekelip mata, tetapi disumbangkan oleh titik peluh dan titisan darah pejuang silam, yang melakar cetusan kejayaan Negara kita hari ini. Mampukah kita menikmati suasana hari ini tanpa pengorbanan orang yang terdahulu? Sudah pasti tidak. Justeru, kita wajar mengambil iktibar dan tauladan di atas semangat juang yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang terdahulu, yang telah berkorban apa sahaja untuk mengecapi misi dan visi Negara. 

Rakyat Malaysia perlu memberi pengiktirafan sewajarnya kepada barisan pahlawan Negara. Perjuangan mereka ini sepatutnya menyedarkan kita, betapa kemerdekaan yang diperjuang, agama yang dijunjung, Negara yang berdaulat, perlu dipertahankan, walau dengan nyawa sekalipun. Kesanggupan mempertahankan kedaulatan Negara, adalah satu kewajipan.

Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan tentera Islam dahulu, adalah berasaskan daripada kekuatan iman dan ikhlas mereka berjuang kerana Allah SWT dan syariat-Nya, serta ketaatan kepada kepimpinan. Mereka berpegang teguh kepada ajaran Islam supaya tidak hilang pedoman.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 153:

Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus. Maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu daripada jalan Allah. Itulah yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa”.

Sesungguhnya fakta yang menyumbang kepada jihad ke jalan Allah ini sangat berkait rapat dengan keimanan, sifat jati diri, perasaan kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan seseorang kepada Agama dan tanah air secara menyeluruh.

Sejarah menunjukkan bahawa kegigihan tentera Islam sejak zaman kegemilangan Islam hinggalah semasa Kerajaan Umaiyyah, Abbasiyyah dan Uthmaniah Turki untuk menawan Kota Konstantinopel (Istanbul), serta kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh yang menjadi Sultan Kerajaan Uthmaniah Turki wajar dicontohi. Mereka adalah contoh tentera Konstantinopel, pahlawan yang kuat beriman, tawaduk, bijak, pintar dan berani, telah Berjaya memimpin tentera Islam menawan Kota Konstantinopel daripada Kerajaan Rom.

Kejatuhan kota itu memudahkan dan membuka laluan yang menjadi pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata beliau pada hari ke-53 kepungan untuk menawan Kota Konstantinopel ialah; “ Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku”. Menurut riwayatnya, beliau adalah sangat taat kepada perintah Allah dan tidak pernah meninggalkan solat fardu atau sunat rawatib dan tahajjud. Dengan izin Allah dia mampu bertahan dalam apa juga keadaan dan tidak mudah mengaku kalah. Begitu juga pahlawan Agung Salahuddin al-Ayyubi yang mampu mengalahkan tentera Salibiyyah dalam jumlah yang besar.

Demikianlah kehebatan generasi pahlawan terdahulu yang mengutamakan keteguhan iman dalam mempertahankan Negara.

Menurut Dr. Yusuf al Qardawi, seorang ulama’ tersohor dewasa ini dalam bukunya “Al Iman Wal Hayat”, menyatakan bahawa pokok kekuatan orang beriman ialah :

Pertama : Mempercayai Allah.
Orang beriman itu kuat, kerana dia memperoleh kekuatan dan bergantung kepada Allah semata-mata. Meyakini bahawa Allah bersama dengannya di mana sahaja dia berada. Bahkan Allah menolong orang-orang mukmin yang berpegang teguh dengan hikmah dan kebijaksanaan-Nya.

Kedua : Mempercayai Kebenaran.
Orang beriman mengambil kekuatan daripada kebenaran yang dianutinya. Dia tidak bekerja kerana dorongan syahwat dan nafsu, bukan kerana kepentingan peribadi, bukan kerana mempertahankan satu golongan dan bukan pula kerana hendak menganiaya dan melanggar hak orang lain.

Ketiga : Mempercayai Qadar.
Orang beriman memperoleh kekuatan daripada kepercayaannya terhadap qadar. Dia mengetahui bahawa segala cubaan yang datang menimpanya, adalah dengan izin Allah. Jika manusia dan jin berkumpul untuk mendatangkan sesuatu musibah, nescaya tidak akan memberikan bahaya, melainkan dengan sesuatu yang telah diputuskan oleh Allah untuknya.

Keempat : Mempercayai Persaudaraan.
Orang beriman itu memperoleh kekuatan kerana berjuang bersama saudara-saudaranya yang beriman, untuk membantu dan mempertahankan negara saudara-saudaranya yang beriman.

Sempena menyambut Hari Pahlawan pada tahun ini, marilah kita bersama-sama mempertahankan negara dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut;

1. Kita hendaklah semarakkan iltizam, cintakan negara berasaskan prinsip-prinsip Islam sebagai pejuang Fi Sabilillah.

2. Pahlawan negara hendaklah sentiasa mempersiapkan diri dengan iman yang mantap, semangat yang sentiasa berkobar-kobar dalam menyempurnakan amanah dan peranan sebagai perwira.

3. Umat Islam hendaklah bersatu padu, berkasih sayang, memperkukuh persaudaraan yang sejati untuk mencipta kekuatan ke arah meninggikan syiar Islam, demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

4. Umat Islam sewajarnya mendoakan Pahlawan Negara, baik yang telah syahid atau kembali menghadap Ilahi dengan iringan doa agar roh mereka mendapat rahmat dan keampunan. Bagi para pahlawan yang masih gagah, berdiri mengibarkan panji-panji perjuangan ini, demi negara yang dicintai, kita doakan agar mereka sentiasa istiqamah mempertahankan setiap inci bumi pertiwi ini walaupun dengan darah dan nyawa sebagai ganti.

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesiapa yang gugur dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak dapat menyedarinya (mengetahui keadaan mereka)”.  (Surah Al-Baqarah: 154).



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...