PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

TAKUT KEPADA ALLAH

Dari segi bahasa takut memberi maksud gentar, gerun, ngeri, kecut, berasa bimbang dan sebagainya. Ada pun takut atau takwa kepada Allah SWT bermaksud ketaatan dalam menjunjung segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT. Sesungguhnya, orang-orang yang takut kepada Allah SWT itu sentiasa bimbang dan takut kemurkaan Allah SWT. Sifat mereka itu antaranya ialah bersegera dalam mengerjakan kebaikan. Mereka tidak mempersekutukan Allah SWT dengan yang lain. Mereka beriman kepada ayat-ayat Allah SWT dan mereka menafkahkan apa yang mereka miliki sedang hati mereka bimbang pemberian tersebut tidak diterima oleh Allah SWT. Sifat takut merupakan benteng bagi orang yang beriman. Sifat takut adalah penyelamat bagi orang beriman daripada melakukan maksiat. Sifat takut adalah pendorong bagi orang yang beriman untuk menjunjung segala perintah Allah serta menjauhi segala larangan Allah SWT.

Ringkasnya, sifat takut kepada Allah SWT yang dimiliki oleh seseorang Muslim amat besar manfaatnya dalam kehidupan seseorang insan yang beriman. Kerana itu, Rasulullah SAW sendiri turut bermohon doa supaya dikurniakan perasaan takut kepada Allah SWT.

Hadis daripada Ato’ bin al-Saib RA bahawa Rasulullah SAW berdoa antaranya:


Ya Allah! Aku bermohon akan perasaan takut kepada-Mu pada waktu (aku) tidak dilihat (orang) dan pada waktu (aku) dilihat.” (Riwayat An-Nasa’i).

Sifat takut kepada Allah SWT itu terbahagi kepada dua: iaitu takut kepada Allah SWT sewaktu berada di khalayak ramai atau dilihat orang dan takut kepada Allah SWT sewaktu diri berada bersendirian. Inilah yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam doa Baginda dengan al-ghaib iaitu pada waktu tidak dilihat oleh orang lain dan ash-shahadah iaitu pada waktu dilihat oleh orang lain.

Sesungguhnya wujud dalam diri seseorang insan bahawa sikap apabila dilihat orang maka dia menjauhi perkara maksiat atau perkara yang memalukan. Namun apabila bersendirian serta tidak dilihat oleh orang lain maka secara diamdiam dia melaksanakan perkara-perkara yang terlarang. Bahkan, wujud insan yang sedang melaksanakan perkara maksiat lalu dia meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan bayi atau budak kecil yang sedang memerhatikannya. Persoalannya, mengapakah perasaan malu hanya wujud terhadap bayi atau budak kecil yang sedang memerhatikannya sedangkan Allah SWT itu Maha Melihat setiap perbuatannya? Sesungguhnya, Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan dosa-dosa hamba-Nya dan Allah SWT sekali-kali tidak lalai daripada apa yang dikerjakan oleh setiap makhluknya.

Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita akan sikap di atas sebagaimana hadis daripada al-Thauban RA bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

Akan datang suatu kaum pada hari kiamat dengan amalan yang banyak seperti Gunung Tihamah namun Allah SWT menjadikan amalan mereka itu seperti debu yang berterbangan. Kata Thauban: Wahai Rasulullah! Sifatkan kepada kami ciri-ciri mereka supaya kami tidak menjadi sebahagian dari mereka sedang kami tidak mengetahuinya. Baginda SAW bersabda: Mereka itu saudarasaudara kamu, dari kalangan kaum keluarga kamu, mereka melakukan amalan pada malam hari seperti kamu tetapi apabila mereka bersendirian mereka menodai larangan-larangan Allah.” (Riwayat Ibnu Majah).

Antara persoalan-persoalan yang boleh kita jadikan sebagai penilaian atau ukuran perasaan takut kita kepada Allah SWT ialah adakah kita merasakan takut, gentar atau merasakan keagungan Allah SWT apabila disebutkan nama-nama atau sifat-sifat Allah SWT? Adakah kita merasakan ngeri, kecut atau merasa bimbang apabila mengingatkan dosa-dosa terdahulu yang pernah kita lakukan atau dosa-dosa terkemudian yang mungkin kita akan laksanakan? Adakah kita mengurangkan dosa-dosa yang sering kita laksanakan kerana takut, bimbang dan tidak sanggup untuk menghadapi azab dan neraka Allah SWT? Adakah kita ngeri dan amat takut mati dalam keadaan dosa yang tidak diampun oleh Allah SWT.

Selain itu, antara tanda-tanda takut kepada Allah SWT yang boleh dimuhasabah dalam diri kita ialah:

Pertama: Lidah kita terperlihara dari berdusta, mengumpat, menyebar fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap perkara sia-sia. Sesungguhnya, lidah orang yang takutkan Allah SWT sentiasa berzikir mengagungkan kebesaran Allah SWT, membaca al-Quran dan bermuzakarah dengan saling ingat memperingati.

Kedua: Hati kita terpelihara daripada sifat hasad dengki dan permusuhan kerana kedua-dua sifat tersebut akan menghapuskan segala pahala amal kebajikan.

Ketiga: Mata kita terpelihara dari memandang perkara-perkara haram serta tidak terpikat atau tertumpu kepada hal keduniaan semata-mata.

Keempat: Perut kita terpelihara daripada dipenuhkan dengan hasil yang syubhah apatah lagi yang haram terkandung dalam makanan dan minuman kita.

Kelima: Tangan kita terpelihara dari digunakan untuk melaksanakan perkara-perkara haram sebaliknya kedua-dua tangan yang dimiliki digunakan untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT.

Keenam: Kaki kita terpelihara dari melangkah ke tempat maksiat sebaliknya kedua kaki yang dimiliki hanya melangkah ke tempat-tempat yang diredhai oleh Allah SWT.

Ketujuh: Segala amal dan ketaatan yang dilaksanakan kepada Allah SWT bukan dengan riak sebaliknya segalanya semata-mata dan ikhlas kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5:

Pada hal mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya, dalam menjalankan agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar."

Takut kepada Allah SWT diikuti dengan mengharap kepada rahmat-Nya dan syurga-Nya. Begitu juga takut kepada Allah SWT diikuti dengan mengharap pengampunan-Nya dan dijauhkan dari neraka-Nya. Seseorang insan apabila melakukan ibadat kerana mengharapkan pahala tetapi tidak takut dan melakukan larangan-larangan Allah menjadikan ibadahnya adalah sia-sia. Antaranya pengajaran daripada khutbah hari ini adalah:

Pertama: Umat Islam hendaklah menyuburkan keimanan atau keyakinan kepada Allah SWT, tentang adanya syurga, azab neraka, hisab serta hari pembalasan atau hari kiamat. Sesungguhnya, keimanan atau keyakinan tersebut dapat membuahkan rasa takut dan gerun kepada azab neraka dan mengharap
kepada ganjaran syurga Allah SWT. Rasa takut dan harap ini kemudian menimbulkan sifat sabar dalam melaksanakan segala ketaatan dan sabar dalam menjauhi segala kemungkaran. Kemudian, timbulnya rasa tenang, yakin dan tawakal dalam diri insan terhadap Allah SWT. 

Kedua: Umat Islam hendaklah sentiasa merenung, berfikir dan tadabbur terhadap janji baik dan janji buruk dari Allah serta sifat-sifat syurga dan neraka yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Kalau kita merenung azab-azab Allah SWT akan menimbulkan rasa takut kepada Allah diikuti dengan mengharap pengampunan-Nya serta dijauhkan diri kita daripada neraka-Nya. Begitu juga apabila kita merenung nikmat-nikmat Allah SWT nescaya akan menimbulkan rasa harap kepada syurga-Nya dan rasa takut tidak digolongkan dikalangan ahli syurga Allah SWT.

Ketiga: Umat Islam hendaklah sentiasa mempelajari, memahami dan mentadabbur nama-nama dan sifat-sifat keagungan, kemuliaan dan kehebatan Allah SWT. Sesungguhnya, Allah SWT itu Maha Pengampun, Maha Penyayang, Maha Pemberi Rezki, Maha Adil dan Maha Bijaksana sama sekali tidak akan mensia-siakan segala ketaatan hamba-hamba-Nya dan sesiapa yang berbuat kebajikan walau seberat habuk nescaya akan dilihat dan dinilai oleh Allah SWT. Sesiapa berbuat kejahatan walau seberat habuk nescaya akan dilihat dan dinilai juga oleh Allah SWT.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah."  (Surah Al-Anfal: 2).











No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...