PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

ROH YANG TERGANTUNG

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia menjelaskan hutangnya”.
(Riwayat at-Tirmizi). 

Adakah kita ingin melihat jiwa kita tergantung kerana tidak menjelaskan hutang? Adakah kita ingin meninggal dunia dalam keadaan berhutang? Adakah kita ingin hidup dalam keresahan akibat hutang? Adakah kita ingin melihat keluarga porak peranda kerana tidak membayar hutang? Oleh itu fikirkanlah dan muhasabahlah diri kita. 

Islam mengharuskan seseorang itu berhutang untuk memenuhi keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara dharuriyyat (tersangat penting). Umat Islam pula dituntut mengamalkan sikap tolong menolong antara satu sama lain termasuk memberikan bantuan sama ada melalui sedekah ataupun pinjaman bagi meringankan bebanan dan memenuhi keperluan yang ditanggung.

Terdapat dua keadaan seseorang yang ingin berhutang;

Pertama; seseorang yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan kehidupan seperti mendapatkan makanan, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya.

Kedua; seseorang yang sengaja berhutang demi memenuhi tuntutan nafsu semata-mata seperti hiburan dan perhiasan, tambahan pula peluang pinjaman mudah diperolehi.

Pada 4 Mac 2016 sebuah akhbar tempatan melaporkan hasil daripada Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI), mendapati 68 peratus daripada rakyat Malaysia dibebani dengan hutang. Ini merupakan rekod tertinggi dalam kalangan lapan Negara di Asia iaitu Filipina 41%, Singapura 33%, China dan Taiwan 32%, Hong Kong 22%, Indonesia 21% dan Jepun 15%.

Statistik sejak tahun 2010 hingga April 2015 menunjukkan daripada 107,000 individu yang telah diisytihar muflis, 23,484 daripadanya adalah golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun. Seramai 1,469 belia di bawah umur 25 tahun turut muflis manakala individu yang berumur antara 35 hingga 44 tahun pula merupakan golongan tertinggi yang diisytiharkan muflis iaitu sebanyak 37,888 orang daripada jumlah keseluruhan.

Dalam keadaan lain, terdapat juga individu yang mendapatkan pinjaman kewangan daripada ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan sekerja. Pelbagai janji dan jaminan diberikan, namun bila sampai waktu dan ketikanya, dia sengaja melewat-lewatkan bayaran malah lebih memalukan tidak mahu membayar balik. Sesungguhnya akhlak seperti ini tidak disukai oleh Allah SWT.

Islam menganjurkan antara perkara-perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ialah membayar segala hutang piutang selain daripada menyegerakan pengkebumian jenazah dan mengahwinkan anak perempuan apabila telah dipinang orang.

Ingatlah! Seseorang yang tidak melunaskan hutang setelah berkemampuan, akan mendatangkan kesan yang buruk bukan sahaja didunia bahkan di akhirat kelak. Antaranya :-

1) Bertemu Allah SWT sebagai seorang pencuri. Hadis daripada Suhaib al-Khair RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Sesiapa yang berhutang lalu berniat tidak mahu membayarnya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai pencuri.”  (Riwayat Ibnu Majah).

2) Perbuatan melewatkan bayaran hutang sebagai seorang yang zalim. Hadis daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa (mampu) membayarnya adalah satu kezaliman.”  (Riwayat Ibn Majah).

3) Mereka adalah berdosa besar. Hadis daripada Abu Musa alAsy’ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti, selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”  (Riwayat Abu Daud).

4) Tidak diampunkan dosa walaupun mati syahid. Hadis daripada Abdullah Bin Amr’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutang”  (Riwayat Muslim).

5) Rasulullah SAW sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang.

Hadis daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa bila didatangkan kepada Rasulullah SAW satu jenazah, Rasulullah SAW tidak akan bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.  (Riwayat Muslim).

6) Kehidupan mereka dan ahli keluarga, sentiasa dalam ketakutan kerana diancam bunuh malah boleh membawa kepada membunuh diri. Justeru, mimbar ingin mengingatkan, sekiranya telah berkemampuan dan sampai tempoh pembayaran, maka bersegeralah membayar segala hutang piutang agar tidak menimbulkan fitnah dalam masyarakat serta menjadi orang yang munafik kerana tidak menepati janji-janjinya.

Betapa beratnya tanggungan dan akibat orang yang tidak membayar hutang, maka marilah kita menginsafi bahawa;

1. Umat Islam hendaklah menjadi contoh apabila berhutang maka hendaklah melunaskan pembayarannya.

2. Setiap orang diharuskan berhutang (khususnya pada perkaraperkara dharuriyyat), tetapi hendaklah diingat jangan jadikan hutang sebagai budaya hidup sehingga membebankan diri kita sendiri.

3. Islam mewajibkan orang yang berhutang untuk membayar semula hutang mengikut tempoh perjanjian yang ditetapkan. 

4. Islam mensyariatkan bahawa perjanjian hutang piutang hendaklah ditulis dengan adil dan disaksikan oleh dua orang lain supaya tidak berlaku penipuan atau mungkir janji.

5. Islam menghendaki supaya orang yang berhutang berniat untuk melunaskan hutangnya sebelum dia meninggal dunia, supaya Allah memudahkan urusannya untuk melunaskan hutang.

6. Rasulullah SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauh dan dibebaskan dari belenggu hutang dengan doanya yang masyhur:

Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan-Mu dari bebanan hutang dan paksaan dari orang yang memaksa”.

Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan”.  (Surah al-Hasyr: 18).



Sumber : Teks khutbah JAIS 25 Mac 2016




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...