PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

RUMAHKU SYURGAKU

Sesungguhnya telah menjadi fitrah manusia menginginkan sebuah kehidupan keluarga yang bahagia yang disebut-sebut sebagai Rumahku Syurgaku. Berkahwin dan hidup berkeluarga dengan bahagia adalah satu sunnah yang amat dituntut dalam syariat Islam. 

Namun pada hakikatnya, berapa ramai di antara kita yang benar-benar memahami erti Rumahku Syurgaku dan berusaha untuk memastikan matlamat tersebut tercapai?

Istilah “Rumahku Syurgaku” boleh difahami sebagai sebuah kehidupan keluarga yang bahagia dengan setiap ahli keluarga memainkan peranan di samping menjaga hubungan dengan Allah SWT agar keluarga itu mendapat rahmat dan keredhaan-Nya. Kesan daripada pengertian tersebut, maka perlulah kita fahami bahawa Rumahku Syurgaku itu mempunyai ciri-ciri seperti berikut;

i. Keluarga yang dibina dengan asas akidah yang benar.

Akidah adalah akar tunjang utama dalam membina keluarga yang bahagia. Akidah yang benar melalui pengakuan hati bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad SAW adalah nabi-Nya akan menjadikan setiap ahli keluarga berusaha menjadi hamba-Nya yang benar benar taat dalam melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Azzariat ayat 56:

Maksudnya :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku

ii. Keluarga yang menghidupkan suasana ibadah secara istiqamah.

Melaksanakan ibadah sama ada yang wajib atau sunat dalam kehidupan berkeluarga amat penting. Ini adalah kerana ibadah yang dilakukan dengan ikhlas akan menjadikan seseorang mempunyai jiwa yang tenang, sentiasa redha dengan ketentuan-Nya dan terus istiqamah dalam menjadikan rumahtangga yang dibina diberkati Allah SWT.

Hadis daripada Sufian Bin Abdullah As-Thaqafi bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Katakanlah; “aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah (dengan Islam)”. (Riwayat Muslim).

iii. Keluarga yang sentiasa bertanggungjawab dan berakhlak mulia.

Setiap ahli keluarga sama ada ibubapa dan anak-anak hendaklah sentiasa berakhlak mulia. Seorang bapa sentiasa mencari nafkah yang halal, memimpin keluarga dengan adil, tegas dalam mendisplinkan anak-anak. Seorang ibu pula hendaklah sentiasa berlemah lembut dengan anak-anak, membantu suami dalam pengurusan keluarga dan mendidik anak-anak berakhlak dengan akhlak yang mulia. Seorang anak pula hendaklah sentiasa mengasihi dan menghormati ibubapa, janganlah melakukan perbuatan derhaka terhadap mereka, sebaliknya hendaklah sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk mereka di dunia dan akhirat.

Hadis daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

Sesungguhnya lelaki mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkah lakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anaknya”. (Riwayat at- Tirmizi).

iv. Keluarga yang sentiasa menjaga hubungan baik dengan masyarakat.

Menjaga hubungan baik dengan masyarakat juga perlu diambil kira kerana tidak mungkin seseorang itu akan selamanya hidup bersendirian. Setiap keluarga hendaklah sentiasa bermuasyarah dan bermuamalah dengan ahli masyarakat sekeliling seperti saling kenal mengenali, saling hormat menghormati, tolong menolong, menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan dikalangan masyarakat atau pun jiran. Yakinlah semua itu akan memberikan kesan yang lebih baik dalam kehidupan kita berkeluarga.

Firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran ayat 112;

Maksudnya:

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintahperintah-Nya), dan mereka membunuh Nabi-nabi Dengan tiada alasan Yang benar. semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah)”.

v. Keluarga yang bijak menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

Lumrah kehidupan manusia, suka dan duka, ketawa dan gembira, berduka cita, pasti akan dilalui oleh setiap manusia dalam melayari kehidupan berkeluarga, namun setiap manusia hendaklah menerimanya dengan hati yang terbuka sebagai ujian daripada Allah SWT. Ahli keluarga sewajarnya mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku dengan baik kerana tanpa penyelesaian segera, ianya pasti akan menyebabkan permasalahan yang berterusan. Ini sudah tentu menyukarkan suasana bagi mewujudkan keluarga yang bahagia.

Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 159;

Maksudnya :

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabatmu), Kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada engkau. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap engkau), dan mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan permasalahan keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.

Sebagai kesimpulannya, ingin menjelaskan sekali lagi, pembinaan keluarga yang dikatakan Rumahku Syurgaku hendaklah melalui beberapa perkara seperti berikut;

1. Umat Islam hendaklah memastikan perkahwinan yang ingin ditempuhi oleh setiap pasangan hendaklah diniatkan kerana Allah SWT dan mengikut Sunnah Nabi Muhamad SAW agar ianya dikira sebagai ibadah.

2. Setiap ahli keluarga iaitu suami (bapa) isteri (ibu) dan anak hendaklah memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya agar wujud rasa tanggungjawab dan kasih sayang yang mendalam di kalangan ahli keluarga.

3. Setiap anggota keluarga hendaklah menghidupkan suasana agama dalam kehidupan seharian dengan memelihara akidah, syariat dan akhlak Islam agar Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya ke dalam keluarga kita.

4. Anggota keluarga perlu sentiasa bergaul mesra dengan masyarakat sama ada Islam atau pun bukan dengan mengukuhkan rasa saling hormat menghormati, saling berziarah ketika sihat ataupun sakit, bergotong royong dan sebagainya agar perasaan kasih sayang dengan masyarakat dapat diterapkan ke dalam jiwa setiap ahli keluarga. 

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.  (Surah ali-Imran: 31).




Petikan : Khutbah JAIS 15 April 2016 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...