PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

WASPADA PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

Dunia globalisasi hari ini menyaksikan perkembangan media sosial baru yang sangat pesat membangun. Semua lapisan masyarakat tidak kira kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita seorangpun tidak mahu ketinggalan dalam menggunakan aplikasi media sosial baru seperti facebook, twitter, blog, ,sms dan sebagainya. Sehingga Januari 2012, sebanyak 62% dari 29 juta penduduk Malaysia adalah pengguna Internet. Daripada peratusan tersebut, sebanyak 87.9% pengguna internet di Malaysia adalah pemilik Facebook. Manakala 67% pengguna Malaysia pula adalah penonton Youtube. Statistik terbaru pula menunjukkan bahawa sebanyak 7.9 akaun baru facebook berjaya dibuka dalam setiap saat. Facebook mendahului senarai pertama sebagai laman web rangkaian sosial paling popular di Malaysia.

Sesungguhnya agama Islam sama sekali tidak menghalang kemajuan atau pemodenan, namun tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa nikmat media sosial hari ini telah bertukar wajah membentuk satu fenomena yang sangat membimbangkan. Banyak unsur-unsur kemungkaran telah timbul, membesar, membiak dan mewabak dalam masyarakat kita melalui media sosial ini. Bukan sahaja melibatkan pendedahan aurat di sana sini, membuka keaiban orang lain juga sudah tidak menjadi asing lagi. Melemparkan tuduhan, saling salah menyalah antara satu sama lain, menyebarkan cerita dan berita tidak pasti, menjadi punca pergaduhan suami isteri dan komuniti, seterusnya penggunaan bahasa caci mencaci seolah-olah sudah menjadi sebahagian budaya media sosial.

Umat islam hari ini pula menghabiskan masa yang sangat banyak melayari media sosial jika dibandingkan melayari ayat-ayat Allah yang suci. Persoalannya, berapa keratkah daripada kita yang melayari bahan-bahan berunsurkan kerohanian, keagamaan dan akhlak yang baik? Berapa banyakkah pula bahan atau ‘entry’ berunsur dakwah, nasihat atau akhlak murni yang dihidangkan kepada kita melalui media sosial? Setiap kali kita melakukan ‘klik” atau melayari laman media sosial kita, adakah pelayaran atau ‘klik’ pada laman itu membawa kepada kebaikan atau kemungkaran? Adakah semua itu membentuk saham akhirat yang benar-benar bermanfaat atau menambah bebanan dosa yang sedia
berat dan sarat?

Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan akal fikiran,mengurniakan kita nikmat yang tidak terhitung, namun pengaruh dunia maya dan alam siber ini kadang-kadang berjaya menjadikan kita seorang makhluk yang kotor lidahnya dan buruk penanya, insan yang dusta dan fasiq, insan yang terburu-buru, jiwa yang gopoh,tergesa-gesa dan lemah serta pemikiran yang celaru.

Firman Allah S.W.T dalam surah Luqman ayat 6:

"Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan."

Perlu diingat bahawa nikmat akal telah meninggikan taraf manusia dari makhluk yang lain. Dengan akal inilah manusia berjaya mencipta berbagai ciptaan samada untuk kegunaan di darat, udara dan lautan. Lihat sahajalah kemampuan akal manusia yang telah menjadikan dunia hari ini seperti sebuah
kampung yang kecil tanpa jarak dan sempadan melalui kecanggihan teknologi media sosial seperti facebook, whatsapp, dan sebagainya adalah ilham daripada akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Akal inilah juga yang akan memandu teknologi samada untuk menuju kebaikan atau keburukan. Al Imam al Ghazali RA pernah berkata yang bermaksud:

Sesuatu pekerjaan itu adalah merupakan kebaikan jika memenuhi tuntutan akal dan agama, dan sesuatu perkara itu dikira keburukan jika menyalahi tuntutan akal dan agama”.

Semua ini membuktikan bahawa dalam menangani fenomena media sosial ini, agama dan aqal perlu berrjalan seiring. Apa sahaja berita dan cerita yang muncul di media sosial akan jadi harmoni jika dicerna oleh aqal yang berlandaskan agama. Kebijaksanaan mengolah berita dan cerita ini juga sangat
memerlukan sifat malu dan taqwa. Malu untuk berkongsi mata dan telinga membaca maklumat yang mengaibkan orang lain. Takut dan malu kepada Allah jika tangan dan jari seseorang yang menyebar, berkongsi maklumat yang belum dipastikan kebenarannya. Bimbang anggota dan pancaindera kita menjadi bahan saksi dan bukti kemungkaran di hadapan Allah S.W.T di hari perhitungan kelak. Tidakkah takut amalan kebaikan kita hilang begitu sahaja akibat tersalah “share” atau berkongsi perkara tidak baik di sana sini. Unsur-unsur agama, akal, malu dan takwa ini jika kita gabungkan ketika menerima sebarang maklumat akan menjadi kunci kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Takutlah kita dengan amaran Allah S.W.T.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 22:

Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun (dengan akal fikirannya)”.

Saban hari fenomena ini semakin merisaukan apabila terdapat lebih 370 juta laman web lucah yang bergelandangan saban hari dalam internet. Terdapat 2.5 billion email yang dihantar setiap sehari adalah bahan lucah porno. Paling menyedihkan apabila sebuah akhbar pernah melaporkan bahawa negara kita yang tercinta menduduki tempat kelapan didunia dalam pencarian bahan lucah diinternet. Terdapat pula kajian yang boleh dipercayai yang merumuskan bahawa 60 peratus remaja berzina adalah disebabkan kerana menonton bahan lucah. Realiti yang berlaku di Malaysia hari ini pula melaporkan 90 peratus pelajar sekolah melayari laman web lucah tanpa sengaja kerana laman-laman tersebut berlindung di sebalik nama yang bersih.

Inilah realiti yang perlu dihadapi dengan teliti supaya iman yang dibina bertahun-tahun lamanya tidak mudah robek hanya dengan sekeping gambar atau sekilas berita. Ketika berhadapan dengan lambakan berita dan cerita yang tumbuh melata di media-media sosial dan seumpamanya, mari kita segarkan diri kita dan anak-anak kita dan rakan sekeliling kita dengan pesanan Allah supaya berhati-hati dengan cerita yang datang kepada kita.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:

Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Mari kita bina tembok supaya kita tidak melanggar larangan Allah agar menjauhi syak wasangka. Mari kita jauhkan diri sejauh-jauhnya dari turut sama meratah daging saudara-saudara kita. Mari kita suburkan rasa iman dan taqwa agar kita peroleh keampunan dan kasih sayang Allah yang amat berharga. Oleh itu marilah kita hayati sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW mengingatkan kita yang bermaksud:

Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu-satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jarak keluasannya adalah lebih luas dari jarak antara timur dan barat.”  (Muttafaqun ‘Alaih).

Allah SWT juga mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam surah Qaf ayat 18:

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisi-Nya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."

Sebagai penutup khutbah pada hari mulia ini, mari kita pastikan bahawa diri kita,anak-anak dan isteri kita, saudara mara kita, rakan taulan dan sahabat-sahabat kita adalah pengguna maklumat media sosial yang patuh syariah Allah S.W.T. Umpama barang dagangan yang hendak dibeli di pasar, barang itu dibelek, diteliti, di persoal harganya dan dibanding-bandingkan kualitinya agar tidak rugi. 

Justeru:

1. Mari kita jadikan setiap detik masa yang diluangkan pada halaman media sosial sebagai jambatan kebaikan dan saham menuju ke akhirat.

2. Ayuh kita bentuk jari jemari kita menjadi pena yang menulis tentang apa sahaja perkara ma’ruf atau kebaikan supaya timbangan mizan kita menjadi berat hasanaatnya di hadapan Allah SWT.

3. Segeralah kita bentuk iman dan hati kita supaya menjauhi fitnah, caci hina dan permusuhan sesama manusia, serta takut untuk membawa segala keburukan yang tersembunyi di media sosial apabila mengadap Allah S.W.T.

Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masingmasing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”.  (az-Zalzalah: 6-8).



Petikan  Khutbah JAIS 10 April 2015


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...