Tarikh : 15 November 2012 (Awal Muharam)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tajuk : Hijrah
Penceramah : Ustaz Hj. Ahmad Hafiz
Sama ada kita sedar atau tidak, kita bakal memasuki Tahun baru 1433 Hijriah dalam beberapa hari sahaja lagi. Tahun hijrah merupakan tarikh yang amat penting kerana ia telah memahat sejarah agung perjuangan Rasulullah s.a.w di peringkat awal Islam. Hijrah juga menjadi lambang perubahan dan memberi makna yang cukup besar kepada pembangunan tamadun umat Islam. Maal Hijrah yang saban tahun kita sambut dan raikan sebenarnya perlu difahami dan dihayati agar kita dapat memenuhi tuntutannya dan beriktibar daripadanya.
Peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W ke Kota Madinah yang telah berlaku lebih 1400 tahun yang lalu merupakan satu titik permulaan transformasi bagi masyarakat Madinah secara keseluruhannya. Kedatangan Baginda telah menyatukan Kabilah Aus dan Khazraj, mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin, bahkan Baginda telah dapat menundukkan golongan Yahudi Madinah agar menerima perjanjian damai yang ditawarkan oleh Baginda. Budaya hidup berpuak-puak pada ketika itu telah berjaya diubah oleh Baginda menjadi masyarakat yang bersatu-padu serta saling sayang menyayangi sesama mereka. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hasyr ayat 9:
"Dan orang - orang (Ansar) yang mendiami Kota (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak pula dalam hati mereka perasaan irihati terhadap apa-apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, serta mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu melebihi diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan (sangat memerlukan pemberian itu), dan (ingatlah) sesiapa yang dipelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya".