Komunikasi adalah salah satu keperluan manusia yang sangat penting dalam berkongsi dan berhubung dengan orang lain. Namun dalam proses berkomunikasi, kita hendaklah berpandukan kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang merupakan rujukan tertinggi. Sejak dahulu lagi, pelbagai kaedah dan medium komunikasi telah digunakan dalam menyampaikan mesej terutamanya mesej dakwah Islamiah. Namun, sesuai dengan peredaran zaman masa kini, kita mendapati media sosial menjadi nadi kepada sebaran sesuatu maklumat. Sememangnya berkomunikasi dan bersosial itu amat digalakkan dalam Islam sebagai mengukuhkan lagi silaturahim. Dalam hal ini, Allah SWT menyatakannya dalam Surah Al- Hujurat, ayat 13:
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antaramu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Zina adalah hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang dilakukan tanpa akad pernikahan yang sah. Zina adalah suatu perbuatan yang amat terkutuk, keji dan kotor dan golongan yang melakukannya adalah sungguh besar dosanya serta dilaknat oleh Allah SWT. Orang yang melakukannya juga adalah melakukan perbuatan syaitan dan berada dalam kesesatan, kemungkaran yang mendatangkan akibat yang sangat buruk kepada pembinaan generasi, institusi keluarga dan Ummah. Larangan ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 32:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu
adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan) ".
Remaja adalah satu tempoh peralihan dari alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Jika dianggarkan dengan umur, mereka dikategorikan sebagai golongan berusia di antara12 hingga ke 20 tahun. Di dalam usia sebegini, berbagai kecelaruan dan masalah yang timbul di dalam jiwa mereka. Fasa perubahan fizikal, emosi dan minda inilah yang menjadi punca kecelaruan dan permasalahan jika mereka tidak difahami, dibimbing dan dididik dengan sebaiknya. Di peringkat usia ini, mereka sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba untuk mencapai tahap matang menjadi seorang dewasa. Usia remaja juga sewajarnya merupakan satu jangka waktu melengkapkan diri dengan segala keperluan rohani dan jasmani untuk menuju ke alam kedewasaan. Jika kita gagal membimbing mereka menghadapi cabaran dan keperluan di peringkat ini, remaja akan tampil ke tengah masyarakat dengan menimbulkan pelbagai masalah dan kekalutan.