Komunikasi adalah salah satu keperluan manusia yang sangat penting dalam berkongsi dan berhubung dengan orang lain. Namun dalam proses berkomunikasi, kita hendaklah berpandukan kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang merupakan rujukan tertinggi. Sejak dahulu lagi, pelbagai kaedah dan medium komunikasi telah digunakan dalam menyampaikan mesej terutamanya mesej dakwah Islamiah. Namun, sesuai dengan peredaran zaman masa kini, kita mendapati media sosial menjadi nadi kepada sebaran sesuatu maklumat. Sememangnya berkomunikasi dan bersosial itu amat digalakkan dalam Islam sebagai mengukuhkan lagi silaturahim. Dalam hal ini, Allah SWT menyatakannya dalam Surah Al- Hujurat, ayat 13:
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antaramu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Namun hari ini, kita dapati wujud perubahan mendadak persepsi sesetengah masyarakat dalam mendepani proses sosialisasi sehingga memberi kesan dan menjadi cabaran terhadap nilai, budaya, pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama.
Lebih membimbangkan, ia juga menghakis dan mengubah paradigma tauhid, syariah dan akhlak mulia sehingga menghilangnya nilai-nilai keinsanan. Justeru itu, suatu pendekatan yang menggunakan metodologi Islam perlu dilaksanakan bagi tujuan mengawal, mendidik dan menjamin agar pengaruh buruk media alaf baru ini tidak menjadi barah kepada penyakit sosial yang sedia ada.
Antara pendekatan tersebut ialah melalui konsep Tabayyun iaitu memeriksa dengan teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang sehingga menjadi jelas dan terang. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Konsep Tabayyun mengajarkan kita supaya
(i) tidak mendakwa atau memperkatakan sesuatu kecuali yang benar;
(ii) mengadakan berita bohong adalah tanda-tanda munafiq dan berdosa;
(iii) hanya berita yang telah diselidiki kebenaran atau kepalsuannya sahaja boleh disebarkan.
Untuk itu, kita perlu sering bertanya dan merujuk berita yang tidak diketahui kepada ahlinya agar tidak terkeliru, khilaf, salah faham dan sesat. Tidak rugi untuk kita bersikap merendah diri, bertolak ansur, saling memaafkan, hormat menghormati, bersikap adil dan saksama asal tidak menularkan api fitnah yang boleh mengancam keselamatan sesama kita.
Isu keselamatan amat penting apatah lagi jika ia melibatkan maruah dan nyawa akibat berlakunya kebocoran maklumat kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai pengguna media sosial, kita mesti tahu bahawa ada sesetengah perkara boleh dikongsikan dan ada yang perlu dirahsiakan. Jika tidak, ia boleh menjejaskan organisasi, keluarga, agama dan negara. Lantaran itu, satu garis panduan dan adab penggunaan media sosial diperlukan supaya dapat mengawal dan tidak membawa kesan buruk yang lebih besar.
Langkah-langkah utama yang boleh diambil ialah seperti
(i) mempertingkatkan ilmu terutamanya ilmu agama yang boleh bertindak sebagai sistem penapis minda supaya sihat dan sejahtera;
(ii) menguasai kemahiran media sosial dan bukan sekadar menjadi pengguna biasa sahaja supaya boleh berjihad dengan teknologi berasaskan panduan dan acuan Islam; dan
(iii) menyedari apakah kepentingan media sosial ini, ke manakah halatujunya kepada masyarakat dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan sebagai medan untuk berdakwah ke arah kesejahteraan ummah.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl, ayat 125:
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik; dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Sebagai mengakhiri, ingin mengajak sekalian untuk menghayati intipati yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:
Pertama:Komunikasi membantu manusia memahami segala peristiwa yang berlaku dalam usaha menjalin hubungan sesama manusia dan melahirkan banyak idea serta maklumat bagi manfaat bersama.
Kedua: Kegagalan proses sosialisasi memberi impak kepada pegangan dan penghayatan nilai-nilai murni agama serta akhlak manusia.
Ketiga: Konsep Tabayyun dapat menyekat penularan bahaya fitnah yang boleh mengancam keselamatan masyarakat dan negara.
Maksudnya: “Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah, maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.” (Surah Al Hajj: 30)
Petikan daripada Khutbah Jumaat JAKIM 17 Mac 2017.
No comments:
Post a Comment