PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

IMARAHKAN MASJID FADHILAT DIRAIH

Masjid merupakan rumah Allah yang mulia. Mengimarahkan masjid bermaksud memakmurkan rumah Allah dengan membinanya dan beribadah di dalamnya. Masjid menjadi tempat perkumpulan umat Islam melakukan pelbagai aktiviti ibadah, berukhuwwah dan saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan.

Betapa pentingnya kedudukan masjid dalam Islam yang perlu diimarahkan ini dapat dilihat seawal tibanya nabi SAW di Madinah. Perjalanan Hijrah nabi SAW berakhir dengan pembinaan Masjid Nabawi, di samping mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin serta mewujudkan Piagam Madinah. 

Mengimarahkan masjid terbahagi kepada dua cara, iaitu secara fizikal dan secara spiritual (kerohanian). Kedua-duanya disyariatkan dalam Islam dan dijanjikan dengan fadhilat dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT sebagaimana huraian berikut:

Pertama: Imarah secara fizikal,

Mengimarahkan masjid secara fizikal ialah dengan membina dan menyiapkan bangunan masjid supaya orang ramai dapat melaksanakan solat di dalamnya. Ganjaran bagi sesiapa yang menginfakkan hartanya untuk tujuan pembinaan masjid ialah dibina untuknya yang seumpamanya dalam syurga. Hadis daripada Uthman bin Affan R.Anhu bahawa nabi SAW bersabda;

Maksudnya: “Sesiapa yang membina untuk Allah sebuah masjid, Allah akan membina untuknya yang seumpamanya di dalam syurga”. (Riwayat Imam at-Tirmizi).

Saidatina ‘Aisyah R.Anha menceritakan bahawa nabi SAW memerintahkan agar sebuah masjid dibina di sesuatu kawasan, dan hendaklah dibersihkan dan diwangikan. (Riwayat Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas betapa besarnya fadhilat dan ganjaran yang Allah SWT berikan kepada sesiapa sahaja yang mengimarahkan masjid secara fizikal dengan membina, membersih, dan mengemas masjid serta menyediakan kemudahan prasarana atau kelengkapan untuk keselesaan para tetamu rumah Allah Azza wa Jalla.

Kedua: Imarah secara spiritual,

Manakala mengimarahkan masjid secara spiritual pula ialah aktiviti kerohanian seperti melakukan ibadah di dalam masjid sama ada solat, zikir, i’tikaf, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Termasuk dalam maksud zikir ialah majlis ilmu yang dilaksanakan di dalam masjid. Kedua-dua pihak baik yang menguruskan pengajian ilmu mahupun yang hadir mendengarnya dikira sebagai mengimarahkan masjid.

Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah R.Anhu berkata bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud; 

Malaikat akan berselawat kepada seseorang daripada kamu selagi mana dia berada di tempat solatnya yang dia telah solat padanya selagi mana tidak terbatal wuduknya. Malaikat berdoa: Ya Allah berilah keampunan untuknya, ya Allah berilah rahmat kepadanya”. (Riwayat al-Bukhari).

Bayangkan, hanya dengan duduk sahaja di masjid pun akan didoakan keampunan oleh para malaikat apatah lagi mereka yang menuju ke masjid kemudian solat berjemaah, berniat iktikaf, bersalam-salaman sesama muslim dengan menguntumkan senyuman, serta menyusun dan meluruskan sejadah, bakal mendapat fadhilat yang berlainan bagi setiap satu perbuatannya. Bukan itu sahaja, dengan mengambil wudhu’ daripada rumah sebelum bertolak ke masjid, setiap langkahnya menghapuskan dosa dan meningkatkan satu darjat di sisi Allah SWT. 

Mereka yang mengimarahkan masjid dengan melazimi masjid setiap hari adalah bukti dan tanda adanya iman. Bahkan hanya orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat sahaja yang akan mengimarahkan masjid. Manakala orang yang tidak beriman bukan lah dalam kalangan mereka yang mengimarahkan masjid dengan erti kata sebenar. Imam Fakhruddin al-Razi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan bahawa ketika seorang musyrik ditawan dalam peperangan Badar, dia berkata kepada orang Islam;

Sekalipun kamu semua telah mendahului kami dengan Islam dan hijrah serta jihad, sesungguhnya kami telah mengimarahkan Masjid alHaram”.

Dakwaan orang musyrik ini telah disangkal oleh Allah SWT menerusi ayat 17 dan 18 surah al-Taubah yang bermaksud;

Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka. Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan agar mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”.

Justeru, hanya orang beriman yang akan mengimarahkan masjid. Sebab itulah nabi SAW meminta kepada umat Islam agar mengiktiraf orang yang sentiasa ulang alik ke masjid adalah orang yang beriman. Hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri R.Anhu bahawa nabi SAW bersabda;

Maksudnya: “Apabila kamu melihat seseorang yang berulang alik ke masjid, maka perakuilah bahawa dia seorang yang beriman”. (Riwayat Imam Ahmad).

Mengimarahkan masjid juga bererti menjaga kehormatan dan kesucian masjid. Masjid mesti diurus dan ditadbir dengan jujur serta penuh integrity dan ikhlas kerana Allah SWT. Jauhi perselisihan, pergaduhan, perebutan jawatan, fitnah memfitnah, penyelewengan wang dan harta masjid, mengadu domba dan kata mengata yang membawa kepada permusuhan dan perpecahan. Sewajarnya pentadbir masjid hendaklah bersatu padu, bersatu hati dan memikul amanah membangunkan jiwa ahli qaryah supaya mempunyai hati yang sejahtera ketika bertemu dengan Allah SWT. Ahli qaryah pula hendaklah menyambut segala program yang dianjurkan dengan semangat ukhuwah Islamiyah.

Nabi SAW melarang keras sebarang perbuatan yang mencemarkan kehormatan dan kesucian masjid sama ada dipihak pentadbir masjid ataupun ahli kariah, termasuk bersembang dengan perkara keduniaan. Hadis daripada Ibn Mas’ud R.Anhu bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud;

Akan berlaku pada akhir zaman satu kumpulan yang duduk di dalam masjid-masjid secara berkumpulan, perbicaraan mereka adalah hal-hal dunia, maka janganlah kamu duduk bersembang dengan mereka, sesungguhnya Allah SWT langsung tidak memerlukan mereka”. (Riwayat al-Tabrani).

Pesanan

1. Umat Islam hendaklah meneguhkan keimanan kepada Allah SWT dengan mengimarahkan masjid. 

2. Umat Islam mestilah meyakini akan fadhilat dan ganjaran yang besar disediakan untuk mereka yang mengimarahkan masjid.

3. Umat Islam perlu memastikan kehormatan dan kesucian masjid dan surau agar sentiasa dipelihara.

4. Umat Islam hendaklah bertanyakan pada diri sendiri apakah sumbangan kita kepada masjid sebelum kita bertanya apakah sumbangan masjid kepada kita.

5. Semua masjid hendaklah membudayakan membaca al-Quran dan terjemahannya selepas setiap kali solat fardhu supaya umat Islam sentiasa dimuliakan dan diberkati Allah SWT.

(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah Ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan Ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang”. (al-Nuur : 36).



Petikan Khutbah Jumaat JAIS 10 Mac 2017

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...