Keseronokan hidup di dunia akan tergugat dengan datangnya Malaikat Maut yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kesenangan, kemewahan dan berpisahlah dari orang yang kita kasihi. Mati membuktikan kepada kita bahawa pada hakikatnya kita tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangun dan menyedarkan kita daripada angan-angan yang panjang mengenai nikmat hidup yang tidak berkekalan. Kehidupan dunia adalah permainan, kehidupan sebenarnya adalah bermula di akhirat. Keyakinan kepada alam barzakh mampu menyedarkan manusia untuk bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan sekarang ini untuk menempuh perjalanan hidup di akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 32;
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan; dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”