PENGUMUMAN / HEBAHAN / INFORMASI

Assalamualaikum

Selamat Datang ke MASJID TAMAN CHERAS JAYA


Jangan layar Laman Web ini menggunakan GEOGLE CHROME atau MOZILLA FIREFOX
jika PC anda ada gangguan MALWARE.

Sila guna browser IE (Internet Explorer) atau yang lain.
Sekian, terima kasih.
ADMIN





JADUAL KULIAH MTCJ BAGI TELAH DIKEMASKINI.
Sila semak.


SEMAKAN YURAN KHAIRAT KEMATIAN.
Anda boleh menyemak pembayaran yuran keahlian Biro Khairat Kematian dengan klik pada Pautan dalam Blogspot ini.
Sekian, terima kasih.


HADIS
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan pula menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim)

MENGINGATI MATI MENYUCIKAN JIWA

Keseronokan hidup di dunia akan tergugat dengan datangnya Malaikat Maut yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kesenangan, kemewahan dan berpisahlah dari orang yang kita kasihi. Mati membuktikan kepada kita bahawa pada hakikatnya kita tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangun dan menyedarkan kita daripada angan-angan yang panjang mengenai nikmat hidup yang tidak berkekalan. Kehidupan dunia adalah permainan, kehidupan sebenarnya adalah bermula di akhirat. Keyakinan kepada alam barzakh mampu menyedarkan manusia untuk bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan sekarang ini untuk menempuh perjalanan hidup di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 32;

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan; dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Syeikh Said Hawwa Rahimahullah telah menyatakan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran sifat Mazmumah. Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW telah ditanya;

“Siapakah dikalangan mukmin yang paling bijak? Rasulullah SAW bersabda; “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik persediaannya untuk selepas daripada mati, mereka itulah orang-orang yang bijak”.  (Riwayat Ibnu Majah).

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan apabila berhadapan dengan kematian;

Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia. Kalau boleh mereka tidak mahu langsung ingatkan mati. Kalau ingat pun mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama, serta terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anaknya nanti.

Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah yang bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri kepada Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat.

Diriwayatkan bahawa Ibnu Mu’ti, apabila tercetus di dalam hatinya tentang rasa kagum melihat rumah besar dan harta benda, terus sahaja ia menangis dan berkata: 

Kalau tiada kematian, aku akan mencintai mu dan gembira sekali dengan rumah besarku. Andai kita tidak memasuki lubang kubur yang sempit, tentu mata kita akan terpesona selalu dengan kemewahan duniawi”.

Imam Syaddad Rahimahullah pernah berkata: 

Kematian itu adalah sesuatu yang paling menakutkan bagi mukmin di dunia, maut lebih sakit dari digunting, digergaji dan dicampak ke dalam kawah yang menggelegak. Andaikata mereka yang telah meninggal dunia dibangkitkan dan menceritakan kepada orang yang hidup, nescaya tiada orang yang mengambil berat tentang dunia dan tiada yang akan dapat tidur lena”.

Oleh itu, sebagai contoh, Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal sebagai pemimpin yang kuat pegangan agamanya boleh dikatakan saban minggu menjemput para ulamak berhimpun di istananya untuk memberikan tazkirah kepadanya tentang kematian. Setiap ulama diberikan kebebasan menegur dan menyentuh tentang keperitan mati dan azab di alam barzakh. Biasanya majlis itu akan diakhiri dengan tangisan khalifah kerana beliau bimbang dan takut akan azab yang menunggu sekiranya berlaku sebarang kezaliman di dalam pemerintahannya.

Hasilnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz sebagai ketua agama Islam dizamannya telah berjaya menegakkan kembali kegemilangan pemerintahan Islam di zamannya meskipun hanya berkuasa selama dua setengah tahun. Setiap hari ada sahaja maksiat yang dihapuskan dan syariat yang ditegakkan. Natijahnya maksiat terus berkurangan manakala syariat Islam dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.

Untuk mengingati mati supaya jiwa kita sentiasa suci dan bersih, marilah kita mengambil langkah-langkah berikut:

1. Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikat maut akan menjemput kita. 

2. Ingat bagaimana keadaan mereka meninggal dunia. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung. Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba. Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini?.

3. Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah Taala. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah Taala. Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan kengerian.

4. Ziarahi orang yang sakit dan nazak. Lihat bagaimana azabnya sakaratul maut dan betapa seksanya berhadapan dengan saat kematian. 

Akhirnya, sedarlah bahawa kematian pastinya akan menjenguk kita. Samada kita pemimpin atau rakyat, kaya atau miskin, tua atau muda, sihat atau sakit. Oleh itu segeralah bertaubat. Bagi yang sering melakukan maksiat seperti minum arak, meninggalkan solat, berzina , rasuah, berjudi dan sebagainya maka tinggalkanlah segera sebelum terlambat. Agar tidak menyesal apabila dimasukkan ke dalam liang lahad kelak. Selesaikanlah segala tanggungjawab dan kewajipan kita. Hutang kepada Allah dan Rasulnya, juga sesama manusia hendaklah diselesaikan sebelum kematian menjemput kita. Semoga dengan mengingati kematian dan sentiasa bersedia menghadapinya, boleh menyucikan hati dan jiwa kita semua.

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.  (Surah ali-Imran: 185).



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...