Merujuk kepada satu kisah yang telah dipaparkan dalam sebuah akhbar mengenai seorang lelaki luar Negara yang bukan Islam telah memulangkan sebuah buku yang dipinjamnya dari sebuah perpustakaan selepasnya 47 tahun, yang mana buku tersebut telah disahkan hilang, tetapi ditemui semula, dipulangkan bersama-sama cek bayaran denda kerana lewat memulangkan buku tersebut. Menurutnya, "Saya sedar, saya tidak perlu menunggu sepuluh tahun lagi untuk memulangkannya. Itu lebih memalukan".
Kisah ini menunjukkan bahawa walaupun tidak berada dalam lingkungan masyarakat Islam, namun tindak-tanduknya sangat bertepatan dengan ajaran Islam.
Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal hak, amanah dan tanggungjawab. Ia dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah An-Nisa' ayat 58:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)...."
Penegasan tentang hak dan amanah ini juga dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadithnya yang bermaksud:
"Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan maruahmu adalah haram atasmu semua seperti kesucian harimu ini, di Negerimu ini dan dalam bulanmu ini. Dan engkau semua kan menemui Tuhanmu lalu Dia akan menanyakan kepadamu semua perihal amalan-amalan kamu. Ingatlah!, maka janganlah kamu semua kembali menjadi orang-orang kafir selepasku, sebahagiannya menetak leher sebahagian yang lain (berbunuhan tanpa dasar kebenaran)".
(Muttafaqun ‘Alaih)
Kehormatan yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadith tersebut ialah wajib melindungi nyawa orang yang tidak berdosa dan tidak boleh direnggut, darah tidak boleh ditumpahkan, harta tidak boleh dirampas tau diambil sewenang-wenangnya dan maruah tidak boleh dicemarkan tau diaibkan. Persoalan hak dan amanah ini sangat ditekankan oleh Islam, sehingga Baginda mengiaskannya dengan kehormatan dan kesucian Hari Raya Korban, Bulan Haram Zulhijjah dan Tanah Haram Makkah. Baginda menegaskan dalam hadith yang lain:
"Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepada kamu dan janganlah kamu mengkhianati seseorang yang pernah mengkhianati kamu".
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tarmizi)
Persoalan hak dan amanah itu pula tidak mengira sama ada ia besar atau kecil. Cukup membimbangkan kita, amal-amal yang mulia pun akan terhalang dengan pengkhianatan dalam perkara yang kita anggap remeh, tetapi besar di sisi Allah S.W.T. Dalam hadith yang lain, Rasulullah S.A.W. telah menjelaskan hakikat ini. Umar bin Al-Khattab R.A telah meriwayatkan bahawa:
"Ketika terjadi perang Khaibar, ada sekelompok dari sahabat-sahabat Nabi S.A.W. datang menghadapi Baginda, kemudian mereka mengatakan: " Si Polan itu mati syahid dan Si Polan itu juga mati syahid", sehingga akhirnya mereka menyebutkan nama seseorang lalu mereka berkata; " Si Polan itupun mati syahid pula". Lalu Baginda bersabda: "Tidak sama sekali, Si Polan itu hanya saya lihat masuk ke dalam neraka kerana sehelai baju dari hasil rampasan perang yang disembunyikannya".
(Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim)
Justeru, Rasulullah S.A.W. sendiri telah menunjukkan contoh sifat amanah yang tinggi, walaupun kepada golongan bukan Islam yang tinggal dalam masyarakat Quraisy yang memusuhi Baginda S.A.W. Ulama' mencatatkan bahawa sebelum Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah, Baginda telah mewasiatkan kepada Saidina Ali bin Abi Thalib supaya memulangkan barang-barang Wadi'ah dan amanah dalam jagaan Baginda kepada pemiliknya di kalangan penduduk Makkah.
Sifat jujur dan amanah inilah yang mat ditekankan dalam Islam kerana amanah sangat berkait rapat dengan iman. Sabda Rasulullah S.A.W. seperti diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
" Tiada sempurna iman bagi orang yang tidak amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji ".
(Riwayat Ahmad)
Sekarang, marilah kita menilai diri kita pula. Setakat manakah kita menghormati hak orang lain sama ada pada tubuh badannya, hartanya atau maruah dirinya. Adakah di kalangan kita yang pernah memukul atau mencederakan orang lain, walaupun hanya kerana kesilapan kecil di jalanraya? Adakah kita mengambil hak orang, hak majikan, hak kerajaan atau hak syarikat walaupun hanya sekadar sebatang pen? Bagaimana pula orang yang memanipulasi atau menyalahgunakan gambar orang lain untuk menjatuhkan maruahnya hanya dengan mudah memetik tetikus komputer beberapa kali?.
Banyak hadith Rasulullah S.A.W. yang mengingatkan kita tentang soal hak dan amanah pada jiwa, harta dan maruah. Antaranya adalah hadith yang bermaksud:
" Sesiapa yang kami lantik di antara kamu semua sebagai petugas atas sesuatu pekerjaan, kemudian dia menyembunyikan dari kami sebatang jarum, apalagi yang lebih besar dari jarum itu, maka hal itu adalah pengkhianatan yang ditanggung sendiri pada hari kiamat". Kata perawi hadith: Kemudian ada seorang lelaki berkulit hitam dari kaum Ansar berdiri. Saya rasa seolah-olah terbayangkan susuk tubuh lelaki tersebut. Dia berkata: "Ya Rasulullah! Ambillah kembali tugas yang Tuan serahkan kepadaku dahulu (dia mohon ditamatkan tugas)". Rasulullah S.A.W. bertanya: "Mengapa engkau mohon berhenti?". Ia menjawab:" Saya mendengar Tuan bersabda begitu dan begini". Baginda S.A.W. lalu bersabda pula: " Saya tegaskan sekali lagi: "Sesiapa yang kami lantik sebagai petugas untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan, maka hendaklah menemui kami dengan menyerahkan hasil kutipan sama ada sedikit atau banyak. Apa-apa yang diberikan padanya, ambillah itu dan apa-apa yang dilarang, janganlah ambil".
(Riwayat Muslim)
Manakala hadith kedua dari Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: " Adakah engkau semua tahu, siapakah orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab: " Orang muflis di kalangan kita ialah orang yang sudah tidak memiliki lagi sesuatu benda apapun." Baginda S.A.W. lalu bersabda: " Orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan solat, puasa dan zakatnya ketika di dunia dahulu, dia pernah mencaci, menuduh, memakan harta dan membunuh seseorang (tanpa alasan yang benar). Maka orang yang dianiaya itu diberikan pahala orang tadi. Mangsa yang lain pun diberikan pahalanya juga. Jikalau pahala-pahalanya sudah habis sebelum terlunas tanggungan kezalimannya, maka ambillah dari dosa-dosa orang-orang yang dianiayanya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, kemudian orang tersebut dilemparkanlah ke dalam neraka".
(Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, marilah kita meningkatkan kepekaan dan sensitiviti kita terhadap soal hak dan amanah ini. Semoga kita mendapat keselamatan di dunia dan akhirat dari segala kesengsaraan dan azab Allah S.W.T.
"Dan mereka menjaga amanah dan janji; dan mereka yang tetap memelihara solatnya (pada waktunya). Mereka itulah orang yang mewarisi; yang kan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya".
(Al-Mukminun: 8-11)
.
No comments:
Post a Comment